Rasa Letih Sebab Menyusu, 4 Makanan Tambah Tenaga Ini Ibu Boleh Amalkan

Share

Ibu rasa letih sebab menyusu bayi? Ya ada benarnya. Secara logik, ibu berkongsi makanan dengan bayi ketika menyusukan kerana segala sesuatu yang ibu makan bertukar menjadi susu untuk bayi anda. Itulah sebabnya mengambil makanan berkhasiat dan bervariasi bukan sahaja penting ketika ibu hamil, tetapi juga ketika sedang menyusu.

Tetapi perkara ini lebih mudah diucapkan daripada dilakukan. Apabila ibu menyusu selama berjam-jam, peluang untuk mengambil diet seimbang bukanlah keutamaan lagi. Kalau nak mudah ada beberapa makanan tambah tenaga yang dikongsikan oleh Nuha Hayati untuk ibu sediakan dan ambil dalam masa yang singkat.

4 makanan yang membantu ibu-ibu mengurangkan rasa letih badan.

1) Oat

Cuba ibu tambahkan oat dalam diet harian. Selain kandungan serat yang tinggi, oat juga menyediakan magnesium, protein dan fosforus, tiga nutrien yang secara langsung mempengaruhi tahap tenaga, menjadikannya sebagai makanan ideal untuk memerangi keletihan.

Oat juga merupakan sumber vitamin B1 (tiamin), yang berperanan penting dalam penghasilan tenaga oleh badan.

2) Yogurt

Teksturnya yang lembut, membuatkan yogurt diproses dengan cepat menjadi tenaga berbanding makanan padat. Ia mengandungi probiotik – bakteria baik yang membantu mempertahankan ekosistem usus agar sentiasa sihat dengan melindunginya dari patogen dan membantu tubuh menyingkirkan bakteria berbahaya.

Kajian Universiti Toronto menunjukkan probiotik dapat membantu mengurangkan gejala keletihan kronik dengan meningkatkan kadar asid amino triptofan pada otak.

Triptofan dikenali sebagai pemangkin serotonin, suatu neurotransmitter yang membantu merangsang tidur dan mempromosikan perasaan tenang, membantu mengatasi keletihan sama ada dari segi fizikal dan emosi.

3) Bayam

Sayur bayam sarat dengan kandungan nutrien penting yang membantu melenyapkan keletihan. Sayuran ini tidak hanya menjadi sumber terbaik daripada segi sumber zat besi, tetapi juga sangat kaya dengan magnesium dan kalium.

Zat besi memainkan peranan secara langsung dalam menghindari keletihan. Kadar zat besi yang rendah dalam tubuh menyebabkan keletihan baik daripada aspek fizikal dan mental.

4) Kekacang dan biji-bijian

Biji labu, badam, kacang gajus dan kacang hazel mempunyai semua sumber magnesium yang membantu melawan keletihan otot.

Kandungan triptofan yang banyak ditemui dalam biji bijan, biji bunga matahari, biji labu, biji gajus, walnut dan badam berfungsi melawan keletihan emosi yang secara langsung membantu meringankan keletihan fizikal.

 

 

 

Published by
Wan Amy