Niat pasangan suami isteri membawa dua anaknya bercuti pada hujung minggu ke taman tema air berakhir tragedi apabila anak sulungnya ditemui lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa Muhamad Uzir Amri Muhamad Nur Fiqri Zakaria, 4, dikeluarkan dalam keadaan lemah dari salah sebuah kolam renang dewasa oleh orang ramai.
Ibu mangsa Norshazela Rosli,27, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu dilihat begitu teruja untuk mandi-manda sejak beberapa bulan lalu selepas memberitahu hasrat mengunjungi taman tema air itu.
Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya kerana percutian yang dirancang sejak minggu lalu adalah hajat arwah untuk mandi di situ.
Katanya, dia bersama suaminya bertolak dari rumah di Kulai, Johor kira-kira jam 10 pagi sebelum tiba di taman tema tersebut pada jam 1 petang.
“Memang dari dulu arwah nak sangat bercuti di taman tema air dan kami tunaikan hajatnya namun ini yang berlaku. Saya reda dengan ketentuan takdir Allah.
“Ketika sampai di tama tema air arwah begitu seronok dan tak sabar nak mandi serta cepat-cepat tukar baju.
“Sebagai ibu saya tak minta insiden ini terjadi dan percaya kehidupannya di sana lebih baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Forensik Hospital Melaka.
Nor Shazelah berkata, sebelum ini dia tidak sedap hati untuk bercuti sehingga ada rakannya menegur apabila dia suarakan rasa itu.
“Rakan kata sepatutnya saya gembira nak bercuti, tetapi sebaliknya. Memang saya tidak sangka rasa yang saya alami itu petanda kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, dia juga perlu kuatkan semangat menerima kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu kerana suaminya, Muhamad Nur Fiqri Zakaria, 29, lebih terkesan disebabkan rapat dengan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro & Sinar Harian