Kanak-kanak berusia lima tahun terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan kerana menderita penyakit jantung kompleks sejak lahir.
Lebih malang, ‘talian hayatnya’ itu mengalami kerosakan pada bahagian bateri menyebabkan pergerakan Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid menjadi sukar.
Tak Mampu Beli Set Bateri Baru
Ibunya, Annur Syakirah Mahazir, 23, berkata bateri itu rosak hampir 11 bulan lalu dan dia tidak mampu membeli set bateri baru yang mencecah RM4,500.
“Bateri ini penting bagi membolehkan mesin ini digunakan di luar selain sebagai persediaan sekiranya tiada bekalan elektrik di rumah.
“Jadi apabila Rayyan perlu ke hospital, mesin ini tidak boleh digunakan, pernah sekali saya terpaksa membawa Rayyan ke hospital tanpa mesin ini, pernafasannya terganggu,” katanya yang menetap di Kampung Padang Gelanggang di Pendang.
Katanya, pendapatan suami, Mohd Yazid Lazim, 28, tidak menentu kerana suaminya hanya bekerja sebagai penoreh getah.
“Rayyan juga mengalami masalah saluran injap jantung bocor, saluran pernafasan sempit, jantung berlubang serta masalah paru-paru kronik,” katanya.
Katanya, keluarganya ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi ia tidak mencukupi kerana kos perbelanjaan anaknya mencecah ribuan ringgit membabitkan pembelian susu khas, lampin pakai buang dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, penderitaan Muhammad Rayyan sedikit terubat apabila mendapat perhatian Pengerusi Sahabat Charity Balqish (SCB) Rukiza Abu Bakar yang tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan kanak-kanak itu serta wang tunai.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun BSN atas nama Annur Syakirah (0211341100006135) atau menghubunginya di nombor 013-8610858.
Sumber: Metro