
Seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Johor (SMS Johor), Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, disahkan meninggal dunia selepas rebah di hadapan khemah pasukannya.
Selepas menerima rawatan kecemasan, allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 11.18 pagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Pendarahan dalaman akibat koyakan otot pinggul kanan dikenal pasti sebagai punca kematian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, keputusan itu adalah hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB terhadap mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum perlawanan dan laporan polis dibuat oleh jurulatih pasukan sekolah berkenaan.
“Pelajar berkenaan tiba-tiba rebah di hadapan khemah pasukan dan pemeriksaan awal oleh petugas perubatan mendapati mangsa disyaki mengalami sawan kerana badannya menggigil dan menjadi keras.
“Pasukan perubatan kemudiannya melakukan bantuan pernafasan kerana nadinya lemah sebelum dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Abang Zainal Abidin berkata, susulan itu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika mangsa bersama pasukannya hendak memasuki padang bagi separuh masa kedua menentang Sekolah Menengah Sains Rembau.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


