Menjadi kebiasaan bagi kita untuk menyuapkan makanan kepada anak-anak yang masih kecil. Tapi tahukah anda bahawa bayi seawal umur 6 bulan sebenarnya sudah boleh menyuapkan makanan mereka sendiri?
Namun ada ibu bapa yang menganggap membiarkan anak makan sendiri mungkin tak mengenyangkan kerana lebih banyak makanan tumpah dari masuk ke mulut. Itu mungkin betul. Tapi tak salah anda latih mereka sambil menyuap ke mulutnya.
Bersepah masa makan itu perkara biasa. Bila anak dah pandai kawal dan kemahiran ototnya makin kuat, lama-kelamaan anak boleh urus sendiri.
5 sebab mengapa anda perlu mula membiarkan si kecil menyuapkan makanan mereka sendiri.
Meningkatkan kemahiran menggunakan deria
Waktu makan adalah antara waktu yang paling banyak mereka terdedah dengan deria-deria baru: rasa, bau, dan tekstur yang baru.
Membiarkan mereka memegang makanan mereka sendiri adalah cara yang baik untuk mereka mengembangkan kemahiran menggunakan deria mereka. Biar anak belajar makan sendiri, jangan suap anak makan, ajar anak makan dengan tangan atau sudu. Daripada tak pandai lama-kelamaan boleh dengan sendirinya.
Meningkatkan kemahiran koordinasi
Pergerakan mencedok dan menyuapkan makanan memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi tangan mereka.
Tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk tidak menumpahkan makanan sewaktu makan.
Memupuk nilai berdikari
Membiarkan bayi anda menyuap makanan mereka sendiri dapat memupuk nilai berdikari pada diri bayi anda.
Tetapi pastikan juga anda mengawasinya agar tidak terlalu gelojoh dan mereka benar-benar memakan makanan tersebut.
Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang lebih baik
Di dalam anak-anak anda melatih diri mereka untuk menyuapkan makanan mereka sendiri, mereka akan mempelajari dimana letaknya mulut mereka, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan mereka, bagaimana untuk menggunakan tangan mereka untuk memegang cawan, dan lain-lain lagi anggota badan yang digerakkan.
Pembangunan saraf motor
Apabila anak menyuapkan makanan mereka sendiri, sebenarnya anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor mereka.
Mereka akan belajar sendiri bagaimana untuk membuka mulut mereka, bagaimana untuk mengambil makanan daripada sudu, atau bagaimana untuk mengambil makanan yang tertinggal di bibir mereka. Semua ini memerlukan dan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak-anak anda.
Akhir sekali, diakui proses mereka mempelajari cara menyuapkan makanan mereka sendiri tentunya akan menyebabkan tempat makanan mereka berselerak. Tetapi fikirkan kelebihan jangka panjangnya apabila anak anda mempunyai sifat berdikari serta perkembangan minda yang baik.
Sumber: ragamanak.com