Rengat lepas bersalin, siapa yang pernah rasa? Sakitnya memang tidak dapat digambarkan. Ikuti penerangan doktor ini.
Bagi ibu yang baru bersalin, rengat akan menjadi mimpi ngeri. Kesakitan pada bahagian ari-ari selepas bersalin ini tidak dapat digambarkan, hanya yang pernah menghadapinya akan tahu.
Rengat akan berlaku kepada ibu selepas melahirkan, tidak kira secara normal atau pembedahan. Malah ada ibu yang menyamakan rengat dengan kontraksi bersalin dan mengatakan lebih dari itu bagi menggambarkan tahap kesakitan teramat sangat yang dialami.
Menurut Dr Afiq Rahim, sakit rengat ini juga perlu diketahui oleh para suami bagi membantu dan memahami isteri yang sedang mengalaminya.
SAKIT RENGAT. DERITA SELEPAS BERSALIN BUAT SI IBU
Mungkin ada yang pertama kali mendengarnya terutama kaum Adam.
Ketahuilah, ilmu ini barangkali boleh membantu kamu saat isterimu butuh pertolonganmu selepas bersalin.
Sakit Rengat atau bahasa Mat Don ‘AFTER BIRTH PAIN” adalah sakit menyerupai senggugut selepas bersalin. Ada pihak mengatakan sakit ini lebih kuat daripada sakit kontraksi semasa hendak bersalin.
Ini adalah antara proses pengecutan rahim kepada saiz dan posisi asalnya.
RENGAT BERLIPAT KALI GANDA SEMASA MENYUSU
Kesakitannya akan diamplifikasikan berlipat kali ganda apabila penyusuan ibu dilakukan sehingga ada ibu yang tewas melawan sakit ini.
Mengapa pula?
Penyusuan ibu merangsang penghasilan hormon oxytocin, hormon yang diperlukan si ibu untuk mengecutkan rahimnya segera.
Rahim yang lambat mengecut boleh menyebabkan berlaku TUMPAH DARAH seperti yang berlaku kepada pesakit saya semasa banjir 2014 (nak tahu kisah ibu tersebut, bolehlah dapatkan senaskah buku saya “I NEED A HELICOPTER, MY PATIENT IS DYING”)
RENGAT BANYAK BERLAKU SELEPAS KELAHIRAN ANAK KEDUA & KE ATAS
Biasanya sakit rengat ini hanya berlaku pada anak kedua dan ke atas dan jarang berlaku kepada ibu yang baru pertama kali menimang cahaya mata.
Durasi kesakitan pula sekitar 2-10 hari bergantung kepada keadaan.
Akan tetapi kebanyakkan ibu yang pernah melalui mengatakan durasinya bergantung kepada bilangan anak. Semakin banyak anak, semakin lama sakitnya.
4 TIP HILANGKAN KESAKITAN RENGAT
Ada kajian di PubMed yang menunjukkan assosiasi stress dan depresi kepada ibu yang kesakitannya gagal diuruskan dengan baik selepas bersalin.
Jadi penting menguruskan kesakitan ibu selepas bersalin dengan baik!
#1. UBAT PENAHAN SAKIT
Pilihan terbaik adalah penggunaan ubat penahan sakit NSAID yang telah terbukti secara kajian memang berkesan. Gabungannya dengan Ubat Paracetamol juga dilihat berkesan.
#2. TEKNIK PERNAFASAN
Teknik pernafasan atau hipnosis juga dapat membantu mengawal kesakitan.
#3. MENGOSONGKAN PUNDI KENCING
Antara tips lain adalah sentiasa membuang air kecil untuk mengosongkan pundi kencing. Pundi kencing yang penuh antara punca menaikkan tahap sakit rengat selepas bersalin.
#4. TUNGKU ATAU LOSYEN PANAS
Petua tradisional juga boleh diamalkan seperti meletak tungku / batu panas ke atas rahim / losyen panas untuk mengurangkan sakit dan mempercepatkan proses pengecutan mengikut kadar yang disarankan sahaja dan tidak berlebihan.
Bagi yang bersalin secara pembedahan, perlulah mendapat nasihat doktor terlebih dahulu. Dibimbangi rawatan yang tanpa kajian boleh mengganggu penyembuhan luka dalaman.
Paling penting si ibu dan pasangannya perlu bersabar dan menguatkan semangat untuk melalui ujian ini.
Saya dan isteri juga baru menempuh episod baru seperti ini. Memang sakit yang teramat. Kasihan melihat isteri mengerang sakit rengat.
Jadi saya berharap artikel ini dapat membantu para ibu dan pasangannya untuk bersedia menghadapi saat tersebut.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Afiq Rahim