Berita

Rezeki Juara! Bonnie Bunyau Dianugerahkan RM500,000

Share

Sarawak kini menambah satu lagi nama besar dalam arena sukan antarabangsa, apabila Bonnie Bunyau Gustin, pemenang dua pingat emas Paralimpik, berjaya mencipta sejarah sebagai ikon sukan para Malaysia dan lebih manis memecahkan rekod dunia!

Kejayaan atlet powerlifting negara yang merupakan atlet kelahiran Sarawak berusia 25 tahun itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) setelah berjaya melakukan angkatan 232kg pada angkatan ketiga.

Kejayaan luar biasanya tidak hanya mengharumkan nama negara, tetapi juga memecahkan rekod dunia, sekaligus menjadi contoh terbaik untuk generasi muda yang bercita-cita mahu mengikut jejak langkahnya.

Dalam satu majlis penuh gemilang di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500,000 sebagai penghargaan terhadap pencapaian gemilang Bonnie di Paralimpik Paris 2024. Beliau menegaskan bahawa Bonnie adalah model inspirasi yang wajib dijadikan teladan oleh atlet-atlet muda khususnya dalam kalangan atlet Para Sukma.

“Bonnie adalah contoh nyata bahawa kekuatan mental dan semangat yang tidak mudah patah adalah kunci kejayaan seorang atlet. Beliau telah buktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata Abang Johari. Kejayaan atlet kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian ini bukan sekadar meraih pingat, tetapi juga membuktikan bahawa “impossible” kini telah menjadi “I’m possible” bagi atlet para di Malaysia.

Menurut Abang Johari, sukan para bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu medan yang menguji semangat dan ketahanan jiwa. Kejayaan seperti yang dicapai oleh Bonnie ini memberi inspirasi kepada atlet-atlet muda lain untuk terus berusaha, tanpa melihat kekurangan sebagai penghalang. Beliau juga berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan para di peringkat akar umbi, selaras dengan agenda negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau juga menyentuh tentang bagaimana sukan mampu menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme. “Sukan mengajar kita erti kerjasama, perpaduan, dan cinta kepada negara. Ia menyatukan kita sebagai satu bangsa, tanpa mengira kaum dan agama,” tambah Abang Johari.

Pencapaian Bonnie bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak, tetapi juga seluruh Malaysia. Ia membuktikan bahawa batasan fizikal bukanlah halangan untuk mencapai kejayaan di peringkat dunia. “Dengan semangat dan keberanian, setiap atlet para mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan meletakkan Malaysia di peta dunia,” katanya lagi.

Kejayaan Bonnie Bunyau Gustin adalah bukti nyata bahawa dengan kecekalan dan semangat yang tidak mudah patah, apa sahaja boleh dicapai. Beliau kini bukan sahaja seorang juara, tetapi juga ikon sukan yang menginspirasikan seluruh negara.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nor Yusoff