Rezeki Mentua Kejar Lori Milo Untuk Menantu Yang Mengidam, Nestle Hantar Lori Milo Ke Rumah

Share

“Saya hanya teringin secawan Milo saja tetapi tidak sangka pula dapat satu lori,” kata Natasya Rose Nizam, 23, yang kisahnya mengidam air Milo lori tular di laman sosial.

Viral Ibu Mentua Kejar Lori Milo

Video ibu serta bapa mentuanya mengejar lori Milo itu tular sejak Isnin lalu sekali gus berjaya menarik perhatian pihak Nestle Products Sdn Bhd.

Terkejut Nestle Kirim Lori Milo Ke Rumah

Natasya yang kini hamil lapan bulan anak sulungnya berkata, dia tidak menyangka apabila pihak Nestle memberi kejutan dan ‘mengirimkan’ sebuah lori Milo ke rumah mentuanya, hari ini.

Menurutnya, dia dimaklumkan sebelum itu oleh suaminya, Muhammad Azmer Mohd Badrul Merzam, 23, mahu mengadakan majlis makan-makan dan menjemput anak yatim sempena menyambut ketibaan Ramadan.

“Tiba-tiba saya melihat ada lori Milo berhenti di hadapan rumah dan ketika itulah baru suami memaklumkan yang Nestle sudi menyumbangkan air untuk majlis itu.

Enam Bulan Mengidam

“Selepas hampir enam bulan mengidam akhirnya keinginan saya tertunai juga, malah saya berasa seakan mahu menangis saat menghirup air Milo lori ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Istana di Kuantan.

Ketagih Milo Sejak Usia Kandungan Dua Bulan 

Menurutnya, dia menjadi ketagih Milo sejak usia kandungannya dua bulan dan setiap hari akan minum sama ada dibancuh sendiri atau dibeli di kedai.

“Saya sudah minum pelbagai jenis Milo, baik dibancuh sendiri, di kedai makan, tin atau kotak tetapi saya teringin sangat minum Milo lori.

Keinginan Mungkin Dipengaruhi Kenangan Ketika Zaman Sekolah

“Keinginan itu mungkin dipengaruhi kenangan ketika zaman sekolah dulu…saya bersyukur dan terharu kerana ramai pihak prihatin akan keinginan saya,” katanya yang dijangka bersalin pada 27 Jun depan.

Mengenai video yang tular itu, Natasya berkata, ia dirakam oleh adik iparnya sebelum dimuat naik di Twitter oleh Muhammad Azmer.

Menahan Lori Kerana Menantu Mengidam

Sementara itu, ibu mentuanya, Datin Hasmazurah Shahbudin, 46, berkata, insiden itu berlaku ketika dia bersama suami serta seorang lagi anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mereka keluar bersarapan.

“Ketika melalui Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, kami terserempak dengan lori Milo dan kemudian mengejar sebelum meminta pemandunya memberhentikan kenderaan.

“Saya memaklumkan kepada pemandunya bahawa menantu saya mengidam Milo lori berkenaan tetapi mereka memaklumkan tidak dapat membancuh air berkenaan kerana perlu bergegas ke satu acara di Kemaman,” katanya.

Menurutnya, pekerja terbabit, Shahrul Nizam Abu Bakar, 36, memintanya ke sebuah pasar raya di Batu 3, hari ini kerana mereka mempunyai satu acara di sana.

Sudah Tertulis Rezeki Menantu

“Mungkin sudah tertulis rezeki menantu saya, dia sebenarnya tidak pernah memaksa kami untuk memenuhi keinginannya itu cuma saya memahami perasaan orang mengandung mengidam ini.

“Kami juga berkongsi rezeki dan kegembiraan ini bersama kira-kira 30 anak yatim dari Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah,” katanya.

Pengurus Pemasaran Milo, Maria Murni Nur Azmi pula berkata, pihaknya terpanggil untuk memenuhi keinginan Natasya selepas melihat kesungguhan keluarganya mengejar dan menahan lori mereka.

“Ini sebagai penghargaan dan keprihatinan kami kepada Natasya sekeluarga, kami terharu dengan kesungguhan mereka.

“Hari ini kami membawa lori Milo terus ke hadapan rumahnya dan diharapkan Natasya gembira dengan sumbangan ini,” katanya.

Sumber: my metro

Published by
NuFa