“Villa yang dinamakan Rindu D’Villa Langkawi itu mengambil masa kira-kira tiga bulan pembinaan, selepas tercetusnya idea sejak Oktober lalu, ketika negara sedang melalui fasa peralihan ke endemik.”
Penyanyi Black Hanifah mengakui, usaha dan penat lelah selama tiga bulan berbaloi apabila villa impiannya di Pulau Langkawi, Kedah berjaya disiapkan sepenuhnya dalam masa ditetapkan.
Katanya, dia terlebih dahulu mengumpul maklumat, membuat kajian dan meneroka harga pasaran sebagai persiapan rapi memulakan projek terbabit, termasuk pembaharuan ditampilkan.
Menariknya, villa yang terletak di Kampung Bukit Lembu, Kedawang itu dibinanya sendiri, dibantu empat tukang yang dibawanya dari Kuala Lumpur.
“Idea tercetus tahun lalu selepas kita memasuki fasa peralihan ke endemik. Saya memang ada perniagaan rumah sewa di sini (Langkawi), jadi terfikir pula hendak menambah aset dan mengembangkan lagi pendapatan.
“Itu yang timbul idea untuk bina villa pula, tetapi boleh diinap oleh pelancong yang berkunjung ke sini.
“Tidak membuang masa, sekitar Oktober lalu, kerja pembinaan dimulakan dan saya bawa sendiri tukang rumah seramai empat orang ke Langkawi.
“Saya bina villa ini bersama mereka, berulang-alik dari Kuala Lumpur memandu sendiri kereta membawa barang binaan. Apa yang boleh dikatakan, saya puas dengan hasilnya hari ini,” kata Black yang kini berada di pulau peranginan tersebut bersama keluarganya.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah, 36, berkata, dia juga teruja kerana villa tersebut merupakan yang pertama di Asia berkonsepkan lantai ‘glow in the dark’.
“Konsep lantai ‘glow in the dark’ itu dicadangkan seorang rakan pembekal barangan. Dia boleh sahkan villa saya yang pertama menggunakan konsep itu di Asia kerana barangan berkenaan memang miliknya.
“Alhamdulillah, Rindu D’Villa sudah bersedia untuk menerima kunjungan tetamu dan tempahan sudah mula dibuka untuk bulan Mac ini,” katanya.
Ads
Mengulas mengenai harga yang dikenakan, Black memberi jaminan ia akan mengikut harga pasaran semasa pulau peranginan tersebut.
“Insya-Allah, harga mampu inap dan ikut pasaran di sini (Langkawi). Apa yang menjadi keutamaan saya ialah keselesaan pengunjung kami nanti.
“Villa ini ada empat bilik tidur yang dilengkapi dengan bilik air, ruang tamu, dapur dan kolam mandi peribadi serta boleh memuatkan sehingga 10 tetamu,” katanya.
Menurut Black, dia juga terlintas untuk menambah villa di sekitar lokasi tersebut pada masa hadapan.
Ads
“Punca pendapatan utama saya masih lagi menyanyi dan syukur terus relevan sehingga kini. Bagaimanapun, saya terfikir sekarang kena siap sedia kumpul aset untuk jaminan jangka masa panjang.
“Villa itu saya namakan sempena nama anak. Saya bercita-cita selepas ini akan bina projek perhotelan pula di Langkawi,” katanya.
Dalam pada itu, Black berkata, projek yang dirancang juga sebagai jaminan masa panjang buat keluarganya.
“Saya sedang mengumpul aset untuk anak-anak dan isteri. Semuanya demi masa depan kami anak-beranak.
“Saya pilih Langkawi kerana lokasi ini memang akan sentiasa menjadi tarikan pelancong dan pilihan tepat untuk bercuti,” katanya.
Seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas mengalami pendarahan dan retak tulang kepala dipercayai terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya di Paka pada Ahad.
Bayi berusia 14 bulan itu meninggal dunia kira-kira jam 10 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata mangsa yang sebelum ini tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak HSNZ.
Baharudin berkata susulan itu, pihaknya akan menahan pengasuh wanita berusia 24 tahun itu untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan fizikal.
“Bagaimanapun pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati mangsa mengalami pendarahan di ubun kepala serta keretakan di bahagian belakang tulang kepala,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kes yang mulanya disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kini akan dibuat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
Pada Ahad, seorang bayi lelaki berusia 14 bulan mengalami pendarahan dan retak tulang selepas dipercayai terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya.
Mangsa sebelum itu dihantar bapanya berusia 30 tahun ke rumah pengasuh itu kira-kira jam 10.15 pagi.
Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan anaknya mengalami masalah di rumah pengasuh sebelum dia bergegas ke rumah pengasuh terbabit.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Menjadi ibu Datin Sri Zizie Ezette galas tugas lebih besar. Bukan seperti pendapat kebanyakan orang hanya melahirkan dan membiarkan anak dijaga pembantu semata-mata.
Anak adalah anugerah yang terindah bagi seorang ibu. Datin Sri Zizie Ezette amat menghargai momen menjadi ibu.
Dengan 5 orang pembantu bagi menjaga 5 cahaya mata, aktres ini dapat menjalankan tugas sebagai ibu dengan lebih efisien. Ibu kepada Nayla Nurjenna, 3 dan Aaric Zayn Izette, 2, pasangan kembar Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izzete, 1 tahun 8 bulan dan Aalisa Belle Izette, 4 bulan.
Menerusi kemaskini Instagram, Zizie mencoretkan perasaannya tentang tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa anak-anak lebih rapat dengan pengasuh/ pembantu.
“Alhamdulillah, anak-anak paling rapat dengan saya walau pun ada yang berpendapat bila mereka ada pengasuh, mereka akan lebih rapat dengan pengasuh dan ada juga yang berpendapat, mereka akan ingat pengasuhlah ibu mereka.
“Silap sama sekali andaian mereka itu kepada saya.
“Mungkin bukan kerja saya yang mencuci pakaian anak-anak, merapikan tempat tidur mereka dan tugas membersihkan rumah bukan juga tugas saya.
“Tetapi saya juga mengambil tahu tentang semua perkara dari A to Z berkenaan anak-anak. Saya sentiasa ada bersama anak-anak dan berikan sepenuh perhatian dan memupuk kasih sayang secukupnya kepada mereka semua.
“Saya nak mendidik dan lihat setiap perkembangan mereka depan mata saya. Tugas saya adalah lebih besar kerana mereka adalah amanah Allah buat saya seorang ibu. Bukan seperti ada yang fikir, hanya beranak tapi lain-lain maid yang buat.
“Adohai, jauh sama sekali pandangan orang tu.
Para follower mengakui tidak puas melihat layanan Zizie kepada anak-anak. Lembut dan sentiasa ada dengan si kecil. Malah anak-anaknya juga memperlihatkan bonding yang kuat dengan ibu mereka.
BEST MOMMY IN THE WORLD
KASIH SAYANG TERCURAH DAPAT DILIHAT PADA WAJAH CERIA ANAK-ANAK
ABAIKAN KATA-KATA ORANG
“MOMMY MOMMY ALL THE TIME”
Sumber: Instagram Datin Sri Zizie Ezette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Dia satu-satunya anak kami, puas saya mencarinya sekeliling rumah namun tidak jumpa. Luluh hati ini sebaik dimaklumkan dia lemas,” kata Shaiful Lizam Mat Hudin, selepas mayat anaknya ditemui mati lemas di dalam kolam bersebelahan rumahnya di Kampung Bukit Merah, Paka, Dungun, petang Sabtu (16 Mei).
Shaiful Lizam, 21, berkata, anaknya, Nur Ara Raisha berusia satu tahun setengah di percayai terjatuh ke dalam kolam terbabit, kira-kira jam 5.15 petang.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang membaiki keretanya kira-kira jam 5 petang sementara Nur Ara Raisha sedang bermain di tempat duduk belakang kereta.
“Ketika kejadian, isteri Siti Nur Suhada Mohd Zakariayudin, 26, sedang berniaga santan di Bandar Paka.
“Beberapa minit selepas itu, saya dapati anak saya tiada di belakang kenderaan sebelum mencarinya sekeliling rumah namun tak jumpa.
“Saya meminta tolong orang kampung dan bapa saudaranya membantu mencari dia (Nur Ara Raisha) sebelum bapa saudara menemuinya di dalam kolam itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun.
Katanya, sebaik mengangkat anaknya dari kolam terbabit dia sedaya-upaya memberi bantuan pernafasan sambil berharap anaknya itu masih hidup.
“Saya mendukung anak dan segera mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Paka dan kira-kira jam 7 petang saya dimaklumkan pegawai perubatan anak saya sudah meninggal.
“Patutlah arwah sepanjang hari ini sangat bermanja dengan saya dan sepanjang hari ini dia banyak berdiam dan sering melihat ke langit, rupanya dia nak pergi meninggalkan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.
Menurutnya, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
“Mayat dibedah siasat pagi (17 Mei) oleh pakar bedah dari Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu,”katanya.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.