
Ibu bapa pasti risau anak tak cukup berat badan. Sebabnya menyusu tak ada masalah, makan pun ok tapi masalahnya berat anak tak naik-naik. Senang cakap umur dengan berat tak seimbang.
Dalam hal ini Dr Suriyakhatun ada berkongsikan tip kepada ibu ayah yang ada anak seperti dalam situasi ini.
——————————————————————-
Setiap kali jumpa nurse dan doktor di klinik kesihatan, bayi kita ditimbang dan beratnya dicatit dalam graf yang ada pada buku KK yang diberikan untuk catit rekod imunisasi dan perkembangan anak.
Jika berat badan anak jatuh pada kawasan kuning / merah, nurse atau doktor beritahu kita anak tak cukup berat badan.
Mungkin ada beberapa saranan dari nurse atau doktor dan antara yang saya pernah dengar; Hentikan susu badan, berikan susu formula, bagi minum air manis, bagi anak makan biskut, bagi dia makan nasi dan lain-lain lagi .
Ini maklumat dari saya :
Jika anak tak cukup berat badan dan tidak cukup mengikut grafnya, adakah anak ini dilahirkan cukup bulan? Jika lahir tidak cukup bulan, pasti beratnya ikut corrected age: Contohnya lahir 36 minggu, jika sudah empat bulan maka ikut berat 3 bulan.
Sekiranya anak lahir cukup bulan dan minum hanya susu badan. Ada kemungkinan susu badan tak cukup. Ini mungkin benar jika anak mengambil banyak masa menyusu dan payudara ibu tidak rasa penuh pada bila-bila masa. Dalam kes begini dapatkan susu dari ibu susuan dan tambahkan susu ibu susuannya dalam botol susu setiap kali selepas ia sudah menyusu direct feed. Jika tidak ada ibu susuan, tambah dengan susu formula. Berikan susu top up ini selepas sudah berikan susu badan dan jika anak masih nakkan susu maka memang susu ibu tidak cukup. Jangan terus hentikan susu ibu, cuba jumpa kaunselor laktasi untuk atasi keadaan ini.
Bila anak sudah boleh makan dan berat badan masih tak cukup, berikan anak makanan pepejal yang padat nutrisi. Contohnya bubur beras ditambah dengan minyak kelapa dara dan serbuk moringa dan baobab serta al manna.
Bila sudah lapan bulan dan masih tidak cukup berikan pula bone broth, makanan seimbang dari protin dan sayuran serta buah-buahan. Tambah juga minyak ikan kod selain minyak kelapa organik dan minyak zaitun organik dan virgin. Minyak kelapa mengandungi medium chain triglycerides yang mampu menaikkan berat badan. Minyak yang baik juga menambahkan kalori dan ini akan membantu naikkan berat badan.
Anak perlu diperiksa najisnya untuk pastikan tidak ada masalah penyerapan. Najis anak yang normal dan menyusu badan sahaja adalah kuning, lembut tapi tidak cair dan tanpa lendir, bau seperti pisang busuk . Bila najis terlalu keras atau terlalu cair, terlalu kerap atau ada lendir, terlalu masam atau busuk, ada masalah penyerapan atau pencernaan. Anak yang menyusu dengan susu formula, najis mungkin sedikit hijau sebab kandungan zat besi dalam susu formula dan anak yang sudah mula makan, najisnya mula menjadi coklat.
Masalah lain yang boleh menyebabkan kurang berat badan mungkin perlukan pemeriksaan lanjut dan siasatan melalui pemeriksaan darah.
Memberi anak makanan processed foods yang tidak wajar boleh menambahkan masalah. Processed foods termasuk makanan yang banyak gula, tepung putih serta ada perasa, pengawet, pewarna dan pengemulsi .
Sumber: Dr Suriyakhatun
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pakar Kata Bila Anak Kuat Merengek Dan Asyik Nak Berdukung, 9 Tip Ini Boleh Di Cuba

Fasa keresahan pemisahan (separation anxiety) adalah perkembangan normal dan mesti di lalui semua bayi. Ia berlaku seawal usia 6 bulan hingga sekitar 20 bulan dan menyaksikan bayi menjadi lebih 3C: Crying (menangis), Cranky (merengek) & Clingy (nak melekat/berdukung).
Berikut adalah tip yang boleh mengurangkan stres ibu bapa melalui tempoh sukar yang tidak boleh dielakkan ini;
- GALAKKAN PERASAAN BERKUASA PADA BAYI
Bayi boleh, perlu & suka meluangkan masa sendirian. Contohnya bila anda melihat bayi telah terjaga dari tidurnya namun leka termenung, memandang sekeliling,bermain-main dengan jarinya sambil ‘membebel’ sendirian. Usah ganggu moment ini!. Perhatikan dari jauh dan biar bayi menikmati saat ini selama yang dia perlukan. Ruang meneroka dan mengamati suasana sekeliling secara sendirian akan memberi rasa ‘dunia ini ok’, ‘saya ok walau sendirian’ kepada bayi.
- RILEKS IBU!
Bayi sangat awas dan cepat menangkap ekspresi wajah serta gaya tubuh manusia. Contohnya dalam situasi bayi yang sedang belajar untuk meniarap. Anda boleh memilih untuk menjadi salah satu dari ibu berikut: ibu yang membantu bayi membalikkan diri pada setiap cubaannya. Atau menjadi ibu yang meniarap sama aras dengan bayi sambil menyorak kata-kata semangat seperti, ‘sikit lagi..sikit lagi sayang! You can do it! ‘, menunggu reaksi bayi dan hanya bila bayi sudah menangis atau nampak seperti sudah mahu mengalah, ibu bertanya penuh optimis, ‘ adik dah penat?. Nak ibu dukung sekarang?’. Kedua -dua ibu memang berjaya menyampaikan mesej kasih sayang pada bayi mereka. Bezanya, bayi dengan ibu ‘ si tukang penyelamat setiap masa’ akan membuat bayi rasa bahawa ibunya saja yang mempunyai kuasa magik bagi setiap perkara. Manakala ibu ‘si tukang sorak yang optimis’ akan membuat bayi merasa selamat dan yakin diri bahawa dia hanya perlu terus mencuba.
- KEKAL POSITIF
Bayi adalah cerminan ibunya. Ibu yang penuh risau akan berbisik kata-kata ,’ tak ada apa la. Orang tu takkan kacau atau makan adik’ setiap kali berhadapan dengan orang baru/asing. Niat ibu mungkin murni,tapi ketahuilah kata-kata tersebut hanya mengukuhkan lagi apa yang ditakuti atau difikirkan bayi. Ia serupa dengan cuba untuk membuat anak-anak berani melalui kata-kata, ‘ mana ada hantu kat sana’. Memang tak pernah berjaya kan?. Ibu hanya perlu rilekskan gengaman tangan anak dan berbual bersahaja setiap kali berjumpa orang asing seperti ia bukan hal yang besar pun.
- JANGAN SIBUK NAK IKUT ANAK
Di taman permainan, rumah orang atau mana-mana tempat baru, lepaskan anak untuk pergi dan buat apa yang dia mahu. Ibu hanya perlu duduk setempat dan kekal lah disitu memerhati keselamatan anak dari jauh. Perbuatan sibuk mengekori anak ke setiap ceruk akan membuat anak yakin bahawa dia belum layak untuk berpisah dari ibu. Ibu yang kekal duduk juga akan menyampaikan mesej bahawa adalah ok untuk anak pergi, dan dia hanya perlu kembali jika mahukan ibu.
- LAYANNN…
Sepanjang proses untuk menjadi individu bebas, adalah biasa untuk bayi keliru. Dia tidak tahu cara yang tepat dan dia juga tak pasti jika dia telah sedia. Maka amat biasa bayi nampak gembira pada 1 minit, dan mula nak berdukung pada minit yang lain. Bagi ruang untuk bayi menguji dirinya sendiri; dukunglah bila dia perlukan dan lepaskan bila dia mahu bebas.
- JANGAN REMEH ATAU KETEPIKAN PERASAAN ANAK
Perasaan anak itu sah dan wujud. Kita hanya perlu mengakuinya dan bukan meremehkan apa lagi menghukum dengan kata-kata seperti,
‘Tak habis-habis merengek. Kan mama dah main dengan adik tadi?’, ‘shhhh!’, atau ‘ tak ada apa la. Nak nangis kenapanya?’.
Sokong dan hormati perasaan itu sebagai tanda anda faham seperti, ‘ Mama tahu adik sedih. Adik tak nak mama pergi. Mama datang 5 minit lagi ok’. Ramai tidak sedar tetapi menambah pertanyaan ‘ok?’ di belakang memberi bayi rasa ‘hebat’ dan tidak diketepikan kerana anda seperti meminta izinnya. Mengesahkan perasaan anak dengan jelas akan selalu berjaya memperlahan /menghentikan esakan anak kerana anak tahu anda telah faham dan tak perlu dia terus menerus mempromosi perasaan sedihnya.
- BERPISAH DENGAN YAKIN
Selalu berani untuk beritahu anak setiap kali anda perlu pergi. Jangan amalkan mencuri-curi keluar/lari dari anak. Ia hanya mencalarkan rasa percaya anak. Peluk dan cium anak dengan erat tapi pantas, ucapkan kata perpisahan yang singkat seperti, ‘ Mama pergi work dulu. Petang nanti mama ambil adik. Be good ‘ dan terus pergi. Usah teragak-agak, menoleh-noleh lagi atau kembali pada anak yang mula menangis. Keresahan anak mencetus keresahan ibu, yang mana ia mengukuhkan kecerewetan bayi dan seterusnya membentuk pasangan ibu-anak yang selalu resah. Lebih buruk jika ibu mula berjanji bermacam perkara untuk mengawal situasi. Ia hanya memberitahu anak bahawa perbuatan ibu keluar berkerja itu memang salah maka ibu harus menggantinya dengan janji-janji seronok yang lain. Tak mengapa jika anak terpaksa bersedih. Ini realiti hidup. Seronok bukan untuk sepanjang masa. Anak yang gembira bukan bermaksud anak yang tidak menangis langsung. Anak yang gembira ialah anak yang ada kestabilan dan kawalan kendiri terhadap pelbagai emosi.
- USAH TERASA
Sebahagian bayi lebih sensitif terhadap pemisahan berbanding yang lain. Ini soal personaliti bayi dan tiada kaitannya dengan anda. Jadi janganlah cepat terasa dan membandingkan bayi anda dengan bayi lain pada setiap sekecil- kecil perkara. Contohnya jika hari ini anda berharap dan menjangkakan anak anda akan menyertai kawan- kawan yang lain di taman permainan, namun perkara sebaliknya pula berlaku, usah bengang. Lepaskan saja jangkaan awal anda itu dan alu-alukan anak anda yang hanya mahu duduk bersama anda. Biar anak duduk dan memerhati. Usah mempromosi hal bagaimana anak orang lain ok saja bermain dan tak ada apa yang perlu dia takutkan. Bila kita percaya yang anak kita perlu duduk dengan kita pada ketika itu, kita telah bagi keyakinan padanya bahawa kita tidak menafikan rasa resahnya. Maka proses keresahan pemisahan akan menjadi mudah kerana bebas drama , bebas jangkaan. Yang ada hanya realiti.
- LATIH CIPTA SUASANA SELESA
Tempat atau orang baru sentiasa merisaukan bayi. Maka amalkan mencipta rasa selesa pada setiap tempat atau orang baru. Misalnya luangkan masa untuk duduk, berbual-bual dan keluar masuk rumah bakal pengasuh. Lama kelamaan ia membuat bayi sedar bahawa orang atau sesuatu tempat itu telah di ‘luluskan ok’ oleh orang yang paling anak percayai iaitu ibunya.
Sumber: Uswatun Hasanah – baby language
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Asal Tinggal Sekejap Anak Menangis. Sampai Ibu Pun Stres! Nak Tahu Sebab, Ini Jawapan Pakar

Anak saya berusia 12 bulan. Memang dari newborn kalau tiada orang, dia merengek. Smpai sekarang. Tak boleh ditinggal. Saya memang tak boleh buat kerja apa pun. Saya cuba konsep bagitahu anak sebelum ke mana-mana seperti nak pergi toilet tapi dia menangis juga. So saya kena bawa. Saya pernah biarkan dia menangis, saya buat kerja . Tapi tiada respon yang positif Kalau ikutkan, saya dulu memang macam anak saya sekarang: tak boleh berenggang dengan ibu saya. Adakah itu personaliti semula jadi?.
Jawapan:
Tak tersebut oleh saya betapa teramat kerapnya saya menerima soalan seumpama ini hingga saya tertanya, apa yang buat ramai ibu seperti ‘takut’ dan merasa terancam dengan tangisan anak? Bagaimana harus saya buat ibu merasa selesa berdepan dengan anak yang menangis?. Baik, saya bentangkan fakta konsep tangisan berikut agar ibu faham. Jadi sila beri perhatian penuh
- Pada usia 1-3 bulan: tangisan berada dalam bentuk reflek. Bermaksud bayi tak berfikir atau belajar untuk menangis. Mereka ‘just do it’. Ia dikawal oleh ratusan reflek yang membantu keseluruhan operasi sistem badannya. Sebab itu, amat biasa ibu berkata telah letih mendukung, memujuk tetapi bayi tetap menangis seolah tak perasan ibu dah cuba nak bantu tenangkan.
- Selepas 4 bulan: tangisan perlahan-lahan berubah menjadi kelakuan sukarelanya. Maka amat biasa kita melihat bayi diusia ini seperti membuat proses ‘scan’ sebelum menangis bila cuba diambil individu asing.
dalam masa yang sama;
- sehingga usia bayi 20 bulan: bayi mengalami 10 perubahan drastik neuron (otaknya di upgrade secara pesat) yang menyebabkan bayi lebih 3C: crying (menangis), clingy ( nak berdukung/tak boleh berpisah) & cranky (merengek).
Apa point penting di sini? :- Bermula usia 4 bulan,bayi mula memahami respon yang diterimanya dari setiap individu dan menggunakan pemahaman ini untuk menjustifikasi kelakuannya. Bayi mula bereksperimen dengan konsep autonomi (mengambil undang-undang ditangan sendiri) melalui cara mengawal beberapa aspek disekelilingnya.
Tak faham? Ok contoh begini: kerana ibunya seorang yang kalut dan segera datang bila dia menangis,maka bayi akan kerap mengguna tangisannya untuk menghalang ibu pergi. Sedangkan bila bersama pengasuh (yang berpewatakan lain dari ibunya),bayi lebih berkerjasama bila perlu diletakkan ,’diminta’ bermain sendiri atau bersama rakan.
Berbalik pada soalan puan. Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang itu adalah salah satu ciri bayi ‘high demand’ (menuntut perhatian tinggi). Kesemua 12 ciri lengkap bayi high demand ini telah saya terang lengkap dalam buku tulisan saya, ‘mengapa bayi anda menangis’. Apa yang membuat bayi jadi high demand? Itu memang personaliti unik dimana dia diciptakan begitu. Ia bukan sesuatu yang bayi saja-saja pilih untuk jadi. Bayi yang sudah sedia kala berpersonaliti sukar sudah tentu makin memberi cabaran ketika memasuki fasa perubahan neuron yang saya sebut di atas.
Ibu Bapa Perlu Kawal Situasi
Baik, adakah personaliti anak dipengaruhi oleh personaliti ibubapanya semasa kecil? Tak semestinya walau ada kemungkinannya kerana ‘traits’ atau ciri itu ada dalam diri ibubapanya. Namun itu semua TIDAK PENTING. Apa yang penting? Cara bayi dibesarkan atau corak/gaya ‘parenting’ ibubapanya. Inilah yang membentuk sikap anak. Inilah yang saya maksudkan dalam contoh ibu kalut diatas.
Ya benar merengek,menangis dan bertantrum itu merimaskan dan meresahkan. Namun ibubapa perlu ingat,mereka adalah orang dewasa. Ibubapa patut jadi model tenang, terkawal dan rasional. Bayi dan anak kecil memang sudah pakar dalam bab melepas geram, membuat orang cemas dan berperangai tidak ‘cool’ langsung.Jadi, untuk apa ibubapa menjadi model dalam kelakuan yang sama?. Baca semula soalan itu baik-baik.
Sekarang jawab pula soalan ini, berapa ramai ibubapa yang boleh kekal terkawal dan rasional saat anak menangis dan merengek? Tidak ramai!. Ini lah masalahnya. Anak kecil yang belum faham ayat, adalah pembaca reaksi bahasa tubuh, intonasi,ekspresi wajah dan aura tenaga yang amat cekap. Jadi, tak kira walau anda telah membaca kesemua buku ‘parenting’ yang ada didunia ini,jika anda gagal dalam peraturan pertama menjadi ibubapa iaitu sentiasa mengawal diri dan cuba kekal rasional, ketahuilah,tidak banyak yang boleh anda ubah tentang anak anda.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana pakar psikologi mengkelaskan corak ‘parenting’ ibubapa kepada 3 golongan:
Konsisten, ‘ambivalent’ (campur aduk) & ‘resistance’ (menjauhi).
Ibubapa yang mampu membuat anak mendengar kata atau lebih berkerjasama ialah ibubapa yang konsisten. Tidak kira dalam apa situasi, ibubapa ini fokus dengan misi yang ingin dicapai. Berbalik lagi kepada soalan puan, ada disebut puan amalkan cara memberitahu sebelum kemana-mana sebagai salah satu langkah yang sering di saran pakar perkembangan kanak-kanak sebagai cara melatih mengurangkan rengekan anak kerana ibu tidak ‘hilang’ dengan drastik. Ya tahniah atas usaha puan ini. Persoalannya, sejauh mana puan konsisten bukan sahaja dari cara memberitahu setiap kali ingin beredar, tapi juga dari segi berapa konsisten respon/reaksi puan setelah bersatu semula dengan anak?. Adakah puan bersatu dalam keadaan ‘energy level’ cemas dan rasa bersalah kerana beredar dari anak? Atau adakah ‘energy level’ puan neutral dan terkawal?.
Tak Perlu Risau Jika Tak Mudaratkan Bayi
Mari lihat pula situasi dimana puan terpaksa membawa anak masuk ke dalam tandas kerana anak menangis. Soalan pertama saya, adakah puan rasa anak menangis ketika itu sebab cedera, dalam kesakitan atau dia cemas/memprotes kerana puan perlu hilang sebentar ke tandas?. Saya amat yakin puan tahu benar jawapannya.
Jadi adakah perlu untuk puan cukup cemas hingga terpaksa membawanya masuk ke dalam tandas?. Membawa anak masuk bersama-sama ke dalam tandas untuk menunaikan hajat atau mandi bukan satu kelaziman (melainkan dalam situasi seperti anda berdua di tandas awam dimana meninggalkan anak akan merisikokan anak hilang). Sudah tentu ibu perlu bijak dalam soal mencari masa sesuai untuk urusan tandas atau alih perhatian anak dengan memasang tv atau meletak mainan untuk membeli masa. Namun, apa perlunya cemas jika ia sekadar beberapa minit? . Tak kira berapa kuat dia menangis, selesaikan urusan anda dan keluar kepadanya dalam keadaan terkawal seperti ‘tiada apa yang perlu dirisaukan wahai anak’ atau jika tidak,anak akan belajar bahawa dia hanya perlu menjerit sekuat hati dan ibu pasti akan mengheretnya kemana saja hatta ke tandas!.
Saya selalu berkata pada ibubapa, fahamlah, menangis bukan selalu bererti anak dalam kesakitan dan kecemasan hingga perlu di ‘selamatkan’. BUKAN SEMUA TANGISAN PERLU DIHENTIKAN tak kira berapa teruk ia kelihatan!. Ya,anak mungkin menangis teresak-esak, ‘hilang suara’ atau muntah. Semua ini fenomena biasa dan selalunya tidak merbahaya. Ibu perlu tahu beza tangisan sebenar atau manipulasi. Saya yakin semua ibu tahu. Tetapi sebahagian ibubapa memilih untuk tunduk pada anak lalu menyampaikan mesej yang salah atau campur aduk pada anak.
Bagi Anak Faham Secara Berperingkat
Ada banyak cara untuk buat anak rasa disayangi tanpa ibu perlu tunduk pada anak. Contoh cara?. Baik,mari ambil situasi melatih anak duduk di ‘car seat’ . Amat biasa anak memprotes,menjerit, meronta malah hingga terbatuk-batuk muntah,kan?. Apa yang perlu ibu lakukan diawal proses ialah memberitahu anak bahawa anda mahu meletaknya di ‘car seat’. Kemudian, teruskan saja perjalanan walau anak mula menangis. Anda tentu lebih tahu anak menangis kerana ingin berlepas diri dari ‘car seatnya’ semata-mata. Tenangkan anak dengan kata-kata atau nyanyian. Jika amukan anak makin teruk dan anda sukar fokus, berhentikan kenderaan di tempat selamat dan tenangkan anak dengan cara anda. Setelah reda,letak kembali anak di ‘car seat’ nya dan teruskan semula perjalanan. Ya, ia mungkin memerlukan anda mengulangi hal ini beberapa kali pada setiap kali dan mengambil masa yang lama pula. Namun untuk mengalah melatih anak duduk di ‘car seat’ dan mula mengamalkan memangku anak hanya kerana dia benci ‘car seat’nya adalah salah. Anda perlu jadi orang dewasa dalam hal ini hingga anak tahu dia tidak akan menang dalam permainan protes ini.
Percayalah, dengan berlaku konsisten, anak tidak perlu masa yang lama untuk terima pelajaran ‘car seat’ ini. Sama juga dengan banyak lagi pengalaman pelajaran hidup yang lain seperti mencerai puting,mencerai buaian, belajar tidur sendiri, mencerai lampin (potty training), berkongsi mainan, mendisiplin perangai buruk anak, memasuki ‘daycare’ (berpisah dengan ibubapa), menaiki basikal dan banyak lagi. Adakah ibubapa perlu menghentikan anak dari terus belajar berbasikal hanya kerana dia pulang dengan luka dan darah serta menjerit kesakitan misalnya?. Adakah ibu perlu segera berhenti kerja kerana anak menangis setiap kali dihantar ke penjaga misalnya? Adakah anak tak perlu masuk sekolah hanya kerana dia menangis teresak-esak bila ibunya beredar misalnya?.
Kesemua situasi diatas ialah contoh respon stress positif. Dengarkan ini, SEMUA bentuk respon stress positif amat diperlukan untuk anak jadi manusia normal. Bagaimana? . Emosi dan memori manusia dikawal oleh bahagian otak yang di panggil sistem limbik. Perkembangan sistem limbik amat bergantung kepada pengalaman. Untuk membentuk sistem limbik yang normal, anak perlu ada pengalaman interaksi sosial yang NORMAL sesama rakan dan ibubapa. Apa dia pengalaman interaksi sosial yang normal ini?: IANYA SEMUA PERASAAN YANG MANUSIA BIASA PATUT RASA seperti gembira, sedih, kecewa, cemas, geram, lega dan macam-macam lagi. Jadi jelas, ibu bukan untuk memperisai anak dari semua rasa tak seronok. Ibu bukan untuk hentikan setiap tangisan, baiki perasaan anak, alih rasa sebenar anak apa lagi tidak mengendahkannya. Perasaan itu wujud.
Anda perlu buat 3 hal ini sahaja: 1. sahkan perasaan itu. 2. biar anak merasakannya dan 3. bantu dia laluinya. Contoh?. Bila anak menangis setiap kali anda perlu pergi katakan: “Adik sedih. Adik sedih mama pergi.Mama pergi 5 minit je ok..?”. Pergi terus tanpa rasa bersalah. Kembali seperti yang dijanjikan dan tenangkan anak dengan energy level yang neutral dan bukan dengan sebaliknya rasa bersalah seperti,” sorry sayang. kesian anak mama kena tinggal..” .
Adakah anak akan serta merta ok dan tak lagi merengek ? Tidak. tetapi seiring masa, pengalaman demi pengalaman, anak akan lebih pandai menghadapinya. Inilah cara sistem limbik ini berkerja. Jadi, bagaimana anak boleh cekap untuk hadapinya jika tidak diberi peluang demi peluang?.
Adakah anak stress sepanjang proses ini? Ya. Ianya stress positif yang saya sebut diatas. Jenis stress ini tidak memudaratkan. Malah diperlukan untuk anak berkembang. Bagaimana kita dapat tahu ini?. Kerana hormon stress iaitu cortisol boleh dikesan melalui air mata dan air liur. Cortisol bukanlah buruk semata-mata. Ia sangat diperlukan untuk survival. Ia benarkan kita untuk hadapi stress dan pulih dari stress. Sebagai contoh, terdapat satu kajian di mana sekumpulan bayi ‘newborn’ dihadapkan dengan beberapa ujian fizikal selama 2 hari berturut. Pada hari pertama, bayi menangis dan kadar cortisol yang direkodkan adalah tinggi. Pada hari kedua, bayi masih menangis sama banyak seperti hari pertama, tetapi tiada peningkatan dalam paras cortisol. Ia menunjukkan bayi kenal pengalaman sebelum ini (pada hari pertama) dan pengalaman itu bantu bayi pulih dan belajar dari pengalaman. Bayi kini menangis kerana marah dan tak selesa tetapi bukan kerana tekanan emosi. Sama halnya bila kajian diulang terhadap situasi bayi mendapat suntikan imunisasi. Jelas,stress bukan satu masalah. Cortisol juga bukan satu masalah melainkan jika ia terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang seperti dalam kes anak mangsa dera.
Saya berharap,dengan maklumat ini,ibu akan lebih selesa menghadapi tangisan anak. Ada banyak tip untuk mengurangkan rengekan termasuk permainan yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak,yang ditulis ramai pakar kanak-kanak bagi membantu ibubapa. Pada akhirnya, ibubapa yang paling layak menentukan kejayaan yang ingin dilihat pada diri anak masing-masing.
USWATUN HASANAH BT MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
PANEL DOKTORBUDAK.COM
Sumber tulisan:
Website Dr Sear
Zero to three bulletin
Sciencemom.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Yang Selalu Dipeluk Setiap Hari Mempunyai Kecerdasan Otak Tinggi Dan Pintar

Anak yang selalu dipeluk setiap hari mempunyai kecerdasan otak tinggi dan pintar. Pelukan dari ibu memiliki banyak manfaat yang berharga, baik secara fizikal mahupun secara psikologi. Tanpa kita sedari, setiap pelukan dan dakapan ibu memberikan perasaan yang nyaman pada anak-anak.
Ini juga antara salah satu terapi yang boleh membuat anak rasa tenang dan pengubat kepada emosi anak yang sedang bersedih. Seboleh-bolehnya jadikan amalan setiap hari. Antara kuasa pelukan ibu buat anak-anak adalah:
- Menyembuhkan jiwa dan hati
Pelukan ibu adalah cara terbaik menyembuhkan jiwa dan hati anak yang terluka. Ketika anak merasa kecewa, terluka, cemas dan mengalami tekanan batin yang membuat jiwanya tertekan, pelukan ibu adalah penyembuhnya. Setidaknya melalui pelukan, rasa itu terbahagi antara ibu dan dirinya. Dan anak akan merasa ia tidak seorang diri melalui saat-saat getir itu.
- Mententeramkan perasaan
Pelukan ibu dapat mententeramkan perasaan anak yang tertekan. Sentuhan lembut ibu akan merangsang keluarnya hormon oksitosin yang mampu memberikan kesan tenang pada anak yang sedang merasa marah, sedih, takut atau tertekan.
- Masa terbaik untuk menyampaikan nasihat
Pelukan ibu adalah medium terbaik untuk menyampaikan nasihat. Terkadang anak akan mudah mendengar nasihat atau perintah dari ibu melalui sebuah pelukan dan belaian. Anak akan merasa perintah ibu bukan sebagai suatu beban.
- Meningkatkan sistem pertahanan anak
Sentuhan daripada pelukan ibu akan meningkatkan sistem pertahanan anak. Sentuhan yang tepat akan merangsang sistem penghasilan sel darah putih yang dapat menguatkan sistem imunisasi pada anak.
5. Anak merasa aman dan dilindungi
Pelukan ibu akan membuat anak merasa aman dan dilindungi. Sentuhan ibu akan selalu menjaga anak daripada merasa tidak aman. Pelukan ibu akan selalu melindungi anak dari ketidaknyamanan yang mengganggu. Ketika anak merasa dirinya terancam, ia akan berlari kepada ibunya untuk mencari perlindungan.
- Mengurangi kesakitan
Pelukan ibu adalah ubat ketika anak sakit. Walaupun tidak secara langsung dapat menyembuhkan, tetapi pelukan hangat daripada ibu akan mengurangi rasa sakit yang sedang dialami.
- Memupuk nilai empati dalam diri
Pelukan ibu mengajarkan anak bagaimana untuk melakukan suatu hal yang baik dalam kehidupan sosialnya. Anak yang sering dipeluk oleh ibu lebih mampu berempati terhadap masyarakat sekellingnya.
- Memperbaiki hubungan
Pelukan ibu adalah komunikasi non verbal yang dapat meredakan konflik dan memperbaiki hubungan antara ibu dan anak. Pelukan adalah salah satu cara untuk membangun kasih sayang antara manusia.
- Membantu perkembangan anak
Pelukan ibu dapat membantu perkembangan anak. Anak yang jarang dipeluk oleh ibu, perkembangannya sedikit lambat. Anak yang sering dipeluk ibu akan mendapat tenaga dan semangat baru untuk berkembang dan aktif melakukan aktiviti lain.
- Meningkatkan kecerdasan
Pelukan ibu dapat meningkatkan kecerdasan otak anak. Dakapan ibu akan merangsang aliran darah ke otak dan memudahkan anak untuk berfikir dan mudah memahami apa yang dipelajari. Pelukan adalah dorongan agar anak semangat untuk belajar. Pelukan ibu mampu meningkatkan rasa percaya diri anak yang berpengaruh pada peningkatan kecerdasan anak.
- Membantu mengawal emosi
Pelukan ibu dapat membantu anak untuk mengawal emosi. Anak akan mudah belajar untuk mengawal emosi yang negatif, mudah mengendalikan rasa marah, menjadi peribadi yang lebih tenang dan akan membesar menjadi anak yang penyayang.
Artikel ini diterjemah daripada artikel asal yang ditulis oleh Melisa Ema yang bertajuk 1001 Kebaikan Yang Tercipta Dari Pelukan Ibu Kepada Anaknya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI