Selepas melahirkan anak, ibu mula rasa bimbang dan takut-takut untuk membuang air besar. Semuanya kerana rasa khuatir untuk meneran selepas jahitan melahirkan anak.
Hal ini sepatutnya tidak berlaku dan kerana itulah ibu bersalin disarankan untuk makan buah-buahan dan sayur-sayuran ketika berpantang. Menjadi satu kerisauan bila mana sayur yang diambil membuatkan badan jadi ‘berangin’.
Jadi sayur apa yang boleh dimakan dan baik untuk badan? Hello Doktor kongsikan tip untuk pemilihan mama ketika berpantang.
Berikut merupakan antara sayuran yang baik untuk ibu selepas bersalin:
Kangkung
Mungkin anda pernah mendengar bahawa kangkung tidak boleh dimakan semasa berpantang kerana boleh menyebabkan badan berangin?
Namun sebenarnya, ia bergantung kepada penerimaan badan seseorang. Ini kerana reaksi tindak balas setiap individu adalah berbeza.
Ini bermakna, anda boleh makan sayur kangkung ketika berpantang. Malahan pengambilan kangkung dikatakan boleh membantu pengeluaran susu ibu dengan berkesan.
Selain itu kandungan zat besi dalam kangkung turut boleh membantu menambah kekuatan dan mencegah anemia selepas bersalin.
Bayam
Sayuran berdaun hijau seperti bayam amat bagus untuk diet selepas bersalin. Ini kerana tumbuhan ini kaya dengan vitamin A, C, E dan K serta tinggi vitamin B. Bahkan sayur bayam untuk ibu berpantang ini amat disarankan untuk dijadikan sebagai hidangan wajib ada.
Ia juga mengandungi antioksidan, serat, zat besi, magnesium, kalium dan kalsium. Bayam merupakan sayuran antiradang yang kaya dengan zat besi dan berfungsi membantu mengurangkan gula dalam darah.
Tomato
Berfungsi membantu mempercepatkan proses penyembuhan serta meningkatkan sistem imunisasi tubuh. Malah tomato adalah sumber makanan utama likopena antioksidan – yang dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.
Di samping itu, tomato juga dapat mengurangkan tanda regangan (stretch marks) serta pigmentasi. Kandungan air yang tinggi dalam tomato bersama serat amat bagus untuk membantu mencegah sembelit – antara isu penghadaman sering dialami wanita selepas bersalin.
Lobak merah
Lobak merah yang mengandungi kalium, vitamin A, vitamin B6 dan vitamin C ini terkenal kerana kebaikannya untuk fungsi mata.
Tetapi buat ibu selepas bersalin, sayuran ini sangat sesuai dijadikan menu makanan berpantang kerana ia dipercayai membantu mengurangkan nafsu makan. Kesannya, ia membolehkan berlakunya penurunan berat badan.
Pengambilan sayuran ini juga membantu meningkatkan tahap beta-karotena ibu dan susu badan. Selain itu pendedahan rasa lobak dalam susu ibu boleh meningkatkan penerimaan lobak merah oleh si kecil apabila mereka mula mengambil makanan pejal.
Lobak juga dianggap sesuai sebagai sayur untuk ibu berpantang caesar kerana ia membantu membaiki tisu yang rosak dengan menggalakkan penghasilan kolagen.
Peria
Peria amat bagus diambil oleh wanita selepas bersalin kerana membantu memudahkan proses pengerakan usus – buang air besar – sekali gus mengurangkan risiko untuk mengalami sembelit.
Sayur ini juga berfungsi membersih dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh. Peria juga dipercayai menyebabkan rahim mengecut lebih banyak dan ini baik untuk mengeluarkan lochia – darah nifas.
Brokoli
Seperti lobak merah, sayur ini turut menawarkan manfaat kepada kesihatan mata kerana kandungan lutein dan vitamin A.
Mempunyai kandungan serat yang tinggi, brokoli sangat bagus diambil sebagai sayur untuk ibu berpantang yang berdepan kesukaran untuk membuang air besar atau sembelit.
Kandungan kalium dan magnesium di dalam sayur ini turut berfungsi mengawal tekanan darah.
Lobak putih
Sama seperti lobak merah, lobak putih juga sebenarnya sangat bermanfaat untuk kesihatan. Selain meningkatkan sistem imun, melegakan sakit perut dan sembelit, lobak putih juga amat digalakkan untuk diambil semasa tempoh berpantang kerana ia menggalakkan penghasilan susu badan.
Kebaikan lain lobak putih ini adalah dapat mencegah masalah buah pinggang dan kencing tidak lawas.
Jadi, tidak kira apa pun sayuran yang diambil, ia sebenarnya bergantung kepada tindak balas tubuh anda. Misalnya walaupun brokoli mungkin memberikan manfaat dan bagus sebagai sayur untuk ibu berpantang tetapi sekiranya ia menyebabkan ketidakselesaan seperti perut kembung atau berangin, sebaiknya pilihlah sayuran lain.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!