Risau Rambut Bayi Tumbuh Tak Sekata, Tip Ini Berkesan Merawat Dari Awal

Share

Masa lahir ada sesetengah bayi rambutnya lebat dan hitam. Bagaimanapun kebanyakan ibu bapa akan mencukur rambut anak untuk memastikan rambut baru yang lebih sihat tumbuh.

Apabila rambut baru mulai tumbuh, masalah yang akan dihadapi adalah rambut bayi akan tumbuh tak sekata atau bertompok-tompok. Paling buatkan ibu bapa risau rambut lambat tumbuh walaupun dah usia setahun ke atas.

Perkongsian dari saudara Mohd Fhais mengenai cara yang boleh dilakukan untuk atasi masalah ini mungkin boleh membantu dan paling penting selamat.

Inilah keluhan yang biasa ibu-ibu suarakan bila bayi yang lahir comel dengan rambut penuh di kepala tiba-tiba jadi tompok botak sana sini ( Bald Spot ).

Sabarlah wahai ibu-ibu sekalian. Ini adalah gejala normal untuk bayi 0 hingga 6 bulan.

Kerana bayi anda akan melalui fasa “Rehat” dari pertumbuhan rambut baru. Bila rambut baru tak tumbuh itu punca jadi tompok botak bila rambut asal gugur.

Rambut gugur pula ada dua sebab

Sebab pertama adalah kerana posisi baring bayi yang menyebabkan rambut di bahagian belakang gugur akibat dari geseran kepala dan bantal.

Manakala sebab ke-2 ialah faktor hormon. Selepas lahir paras hormon akan menurun. Bukan sahaja bayi malah ibu juga akan mengalami rambut gugur.

Rambut bayi akan tumbuh semula secara semulajadi tetapi makan masa yang agak lama. Ada bayi sehingga umur 1 tahun rambut masih tak sekata.

Untuk mempercepatkan pertumbuhan rambut bayi ibu ibu boleh cuba 4 tips guna bahan-bahan semulajadi di bawah.

1- Minyak Zaitun

Minyak Zaitun kaya dengan vitamin A, E dan Antioksidan. Khasiat minyak zaitun ini berfungsi untuk melembap kulit kepala bayi daripada kering dan kusam.

Bila dah kulit kepala tak kering baru rambut anak tak mudah tertanggal bila bergesel dengan bantal.

2- Minyak Kelapa

Nutrisi yang ada di dalam minyak kelapa ini dapat mempercepatkan lagi pertumbuhan rambut baru.

Kanak-kanak yang ada masalah ekzema pun boleh guna minyak kepala ini, sangat berkesan.

3- Minyak Bunga Matahari ( Sunflower Seed Oil)

Minyak daripada Bunga Matahari ini kaya dengan vitamin E yang berfungsi membuatkan benih rambut di kepala lebih subur. Bukan itu sahaja malah ia boleh membunuh bakteria jahat di kepala.

Khasiat minyak bunga matahari juga dapat menyihatkan kulit kepala dan melancarkan peredaran darah bayi anda.

4 – Biji Kelapa Sawit

Biji kelapa sawit ini banyak sangat manfaat dia. Bukan sahaja berguna untuk memasak, malah ia boleh bantu menguatkan dan menebalkan lagi rambut anak anda.

Minyak dari biji kelapa sawit ini kaya dengan sumber antioksidan dan pelbagai vitamin yang baik untuk kulit dan rambut.

Ibu hanya perlu cari 4 bahan di atas dan perah untuk dapatkan pati minyak.

Minyak tersebut perlu di sapu setiap hari pagi dan malam di kepala bayi untuk mengalakkan pertumbuhan rambut anak anda. Atau setiap kali mandi boleh sapu.

Jika ada bantuan ini rambut anak anda tak perlu tunggu hingga setahun, malah sepantas sebulan dah boleh nampak kesannya.

Anda sendiri boleh nampak perbezaan kepala bayi anda tompok botak sudah hilang, rambut lebih sekata dan juga lebih lebat.

Bila rambut bayi dah panjang & cantik barulah seronok nak gayakan anak dengan baju yang cantik.

p/s : Kongsikan tips rawat rambut gugur bayi ni dengan kawan-kawan lain ya supaya mereka pun dapat merawat rambut anak mereka.

Sumber: Mohd Fhais

Published by
Wan Amy