Ketika membesarkan anak perempuan, banyak cabarannya. Perlu diajarkan tentang pelbagai perkara terutamanya kehormatan diri. Itulah yang menjadi kerisauan ibu ayah apabila anak perempuan sepanjang mereka membesar.
Artikel Menarik: [Bila Suami ‘Tundukkan’ Pandangan, Isteri Wanita Tercantik Di Matanya!]
Nak besarkan anak perempuan dengan baik perlu elakkan enam perkara ini. Jadikan perkongsian dari Ustazah Aminah Mat Yusoff ini sebagai panduan untuk kita semua.
Pesan Imam Al-Ghazali.. Jauhilah 6 perkara ini daripada anak perempuan
Beberapa orang sahabat tanya saya, apakah bekal yang terbaik untuk seorang anak perempuan agar mereka beroleh kebahagiaan, pandai bawa diri, menyejukkan hati dan menjadi bakal isteri yang dicari-cari?
Perkara yang paling penting dalam hidup seorang anak perempuan ialah persekitaran yang baik, selamat, mawaddah dan penuh dengan mahabbah.
Pesan Nabi SAW :
عن أبي سعيد الخدري ، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : « إياكم وخضراء الدمن » ، فقيل : يا رسول الله ، وما خضراء الدمن ؟ قال : « المرأة الحسناء في المنبت السوء »
Dari Abu Sa’id al Khudry radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Jauhilah khadhraaad diman.”
Mereka berkata, “Apakah khadhraaad diman wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda, “Wanita cantik yang tumbuh dalam lingkungan buruk.”
Dalam hadith ini Rasulullah SAW menyatakan pentingnya background family seorang perempuan. Anak yang didik dengan kasar, bebas, persekitaran yang tidak sihat sangat memberi pengaruh kepada pembentukan karekter dan sifatnya.
Artikel Menarik: [Ciuman Untuk Isteri & Anak-Anak, ‘Tabung’ Pahala Buat Suami. Amalkan!]
Ingat baik-baik pesan Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (kitab Tassawuf yang terkenal):
Jauhi anak perempuan dari 6 sifat ini:
1. Al-Annanah : Suka mengeluh dan malas.
Anak perempuan yang dimanjakan, banyak mengeluh dan suka mengadu. Buat-buat sakit, penat dan rasa terbeban dengan tugasan hariannya. Berpura-pura sakit kerana malas, banyak tidur dan menghabiskan masanya dengan hiburan semata-mata.
Bekalkan anak-anak dengan ilmu agama, ilmu keduniaan, ilmu kehidupan, skill penting seperti masak, kemas rumah, menjaga kebersihan diri dan keluarga.
Ajari mereka cara hidup yang susah dan berdikari. Hadiahkan mereka dengan kata-kata semangat dan pujian bukan dalam bentuk meterial semata-mata. Sentiasalah berdoa, sedekahkah al-Fatihah untuk roh mereka setiap malam dan ajari mereka lazimi surah al-Qadr untuk selamat dari maksiat.
Artikel Menarik: [Rajin Doakan Anak, Dia Berjaya. Suka Puji, jadi Yakin Diri & Berani!]
2. Al-Mananah: Suka mengungkit-ungkit
Setiap kebaikan yang dilakukan lalu disusuli dengan sikap mengungkit-ngungkit, akan menghilangkan pahala kebaikan. Ajar anak untuk jadi seorang yang ikhlas dan redha dengan setiap usaha yang dilakukan. Terapkan nilai afektif, nilai murni dalam kehidupan seharian. Ia melatih anak-anak melakukan rutin harian dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak rasa terbeban. Disiplinkan mereka dengan jadual kehidupan yang teratur dari awal, jika sudah terlambat anak-anak akan mengatur kehidupannya dengan cara yang salah.
3. Al-Hananah : Merindui orang yang tidak sepatutnya.
Bahaya jika anak perempuan mula menaruh minat dan merindui seorang lelaki yang bukan pasangannya. Ia sedang menghampiri fitnah dan kerosakan. Rasa cinta, rindu dan suka itu tidak salah tapi mesti berada pada landasan yang betul. Penting ibu ayah terapkan rasa malu pada anak-anak perempuan agar peribadi dan akhlaknya sentiasa terjaga.
4. Al-Haddaqah : Boros dan suka berbelanja.
Habit ini boleh mengundang kecenderungan lain yang lebih bahaya. Jika tidak dapat penuhi keinginannya kerana tidak mampu dan keluarga tidak berduit mungkin anak ini akan sanggup berhutang, mencuri dan meminta-minta. Ajari anak cara berjimat cermat, membeli apa yang perlu dan tidak mengikut nafsu. Menjadi bebanan yang sangat berat pada ibu ayah dan juga suaminya jika sifat boros ini tidak dikawal dengan baik.
5. Al-Barraqah : Imam Al-Ghazali mentafsirkan perkataan ini dengan dua makna,
a) Melampau dalam berhias semata-mata untuk mendapat perhatian orang ramai. Perbuatan ini mempunyai unsur maksiat dan mendatangkan dosa. Sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Didik anak dengan sifat wasatiyyah iaitu bersederhana dari segala sudut. Sederhana ketika berhias dan berpakaian adalah lambang keindahan peribadi.
b) Bersifat selfish, pentingkan diri. Perumpamaan yang diberikan ialah menyembunyikan makanan yang sedap untuk dirinya dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain termasuk ahli keluarga atau suaminya.
6. Al-Syaddaqah : Banyak bercakap perkara yang sia-sia.
Lidah punca ke Neraka, juga punca ke syurga. Latih anak-anak menggunakan bahasa yang sopan dan sedap didengar. Ibu ayah yang suka bergaduh depan anak-anak akan mempengaruhi perwatakan dan pemikiran anak. Anak berubah menjadi ganas, menggunakan bahasa yang kasar dan melawan cakap kerana ia diserap melalui persekitaran dan cara didikannya.
Jangan tunggu anak-anak dah jauh tersasar kerana kita tidak mampu lagi berhadapan dengan mereka. Pastikan kawannya adalah orang yang baik dan boleh dipercayai, pastikan juga bahan bacaan anak-anak, web yang dilayari, idola anak-anak dan minat anak-anak. Semua itu akan mempengaruhi pemikiran dan karekter mereka.
Moga perkongsian ini bermanfaat untuk sahabat semua.
-Aminah Mat Yusoff –
#BicarakuKeranaAllah
#AllahSentiasaDhati
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)