Risiko Ibu Meninggal 3 Kali Ganda Jika Hamil Lewat Usia! Kematian Ibu Disebabkan Komplikasi Semasa Hamil & Bersalin

Share

Ramai wanita yang hamil ketika berumur 35 tahun dan ke atas, mungkin kehamilan pertama atau kedua atau seterusnya. Jika kehamilan pertama di usia yang agak lewat sudah semestinya ingin kandungan selamat dan sihat.

Namun tahukah anda kehamilan di lewat usia boleh mengundang pelbagai risiko? Ikuti perkongsian dari Doktor Muhammad Izzat tentang kesan kehamilan pada usia yang agak lanjut;

Segelintir wanita di zaman ini mungkin mendirikan rumah tangga dan sekaligus hamil pada usia yang agak lewat. Ada yg mungkin sudah berkahwin awal, tapi disebabkan ada beberapa sebab, kehamilan dirancang dan dilewatkan terlebih dahulu, atau ada yg sudah berkahwin awal tapi, susah pula untuk mengandung, tahu-tahu je dah lekat pada usia yg agak lanjut. Taktahu la anda tergolong kat kumpulan yang mana, tapi end point tetap sama yakni mengandung pada usia yg agak lanjut.

Saya ambik definisi usia lanjut untuk wanita hamil adalah 35 tahun dan ke atas. Tengok betul-betul, saya sebut sini USIA LANJUT bukan guna perkataan TUA supaya tidak ada insan yang berkecil hati nanti.

Dengan meningkatnya umur, tahap kesuburan wanita berkurangan. Penghasilan telur menjadi kurang berkualiti sekaligus meningkatkan kejadian masalah genetik atau bayi yang tak normal.

Persenyawaan yang melibatkan telur yang ada masalah atau tidak berkualiti akan mengakibatkan janin yg terhasil mempunyai masalah genetik dan tidak boleh membesar dan berakhir dengan keguguran.

Jika dilihat kekerapan berlakunya keguguran, secara perbandingan umur-umur wanita ni, umur 25 tahun – 10% peluang keguguran, umur 35 tahun – peluang keguguran mengganda menjadi 20% dan utk ibu yang lebih 40 tahun peluang utk keguguran meningkat menjadi 50%

Bukan disebabkan kualiti telur yang dihasilkan tidak memuaskan, wanita-wanita lanjut umur ini ‘mengejar masa’ dan cenderung mendapatkan rawatan assisted reproductive technology (ART) seperti persenyawaan in-Vitro (bayi tabung uji). Teknik bayi tabung uji ini membawa 4% risiko mendapat kecacatan genetik.

Ibu yang lanjut usia ini berpotensi tinggi mendapat darah tinggi ketika hamil, pre-eclampsia. Apabila tekanan darah terlampau tinggi sehingga boleh menggugat nyawa ibu, bayi mungkin terpaksa dilahirkan biarpun kehamilan tak cukup matang lagi. Dalam erti kata lain, ibu berusia ini cenderung mendapat bayi yang tak cukup bulan dan bayi yang kecil saiznya.

Kejadian Kehamilan luar rahim mengganda 4-8 kali banyaknya.

Kejadian kematian ibu meningkat 3 kali ganda untuk kehamilan berusia lanjut, jika dibandingkan dengan ibu yang berusia lebih muda. Kematian ibu ini rata-rata disebabkan oleh komplikasi yang timbul semasa hamil dan bersalin.

Kencing manis ketika hamil mengganda sebanyak 4 kali ganda pada ibu yang berumur 40 tahun ke atas jika dibandingkan dengan ibu yang hamil pada usia 20 dan 30 an.

Keperluan utk lahir secara pembedahan caesar menjadi 2 kali ganda disebabkan Otot rahim ibu berusia ini kurang efektif mengecut dan mengendur ketika bersalin. Proses bersalin mungkin menjadi perlahan dan akhirnya ibu perlu menjalani pembedahan caesar. Bukan tu saja, ibu lanjut usia yang mempunyai masalah darah tinggi yang tak terkawal atau komplikasi dari kencing manis yang memerlukan utk bersalin awal – menerangkan kenapa kelahiran melalui pembedahan caesar.

Bukan utk menakut-nakutkan, jodoh pertemuan ajal maut semua di tangan Allah. Kalau Allah dah takdirkan anak pertama keluar masa umur 45 tahun, sapa kita nak mempersoalkan ketentuan ini ye tak?
Cuma, jika boleh dielakkan utk mengandung pada usia usia lanjut ni lebih baik. Jika tak boleh dielakkan, ibu ibu yang berusia ini perlu pemantauan lebih dari biasa untuk mengesan komplikasi dan risiko awal dan rawatan serta kaunseling boleh diberikan jika ada.

Sumber: Facebook Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan Wanita & Kehamilan

Published by
NuFa