Selain kerap mengambil makanan yang manis, minum susu menggunakan botol susu juga antara kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat karies gigi. Kanak-kanak adalah sasaran utama dalam hal sebegini kerana minum menggunakan botol susu.
Bagi berdepan hal ini dan mengelakkan berlakunya masalah karies gigi dan kerosakan gigi pada awal usia, ibu bapa berperanan lebih dalam menjaga gigi anak-anak. Perkongsian cerita daripada Dr Abd Rahman Fauzi daripada Klinik Pergigian Al Huda, Balok ini pastinya dapat membantu ibu bapa menjaga gigi anak-anak.
Ingat gigi anak-anak tanggungjawab dan amanah kita.
MASALAH KARIES GIGI APABILA ANAK MINUM SUSU BOTOL
Tabiat anak suka tidur dengan menggongong botol susu adalah sesuatu yang tidak baik untuk gigi. Biasanya gigi yang paling cepat akan terjejas ialah gigi kacip sebelah atas.
Anak saya Hanan memang jenis tidur dengan botol susu. Sejak tidak menyusu badan, memang bergantung sepenuhnya kepada susu botol untuk dia tidur. Justeru, Hanan juga tidak terlepas daripada masalah gigi.
Pada peringkat awal, saya tidak begitu tekankan sangat untuk gosok gigi Hanan(rasa selesa sebab selalu nampak giginya yang putih). Sehinggalah ada satu kali tu saya nampak garis putih kekuningan pada gigi atas Hanan sebelah luar. Barulah saya sentap! Rupa-rupanya penjagaan gigi anak sambil lewa tidak memadai. Lebih-lebih lagi anak saya dikira sebagai kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat karies gigi(minum susu botol dan makan makanan manis).
Sejak daripada itu, saya mula memberi penekanan pada pemberusan gigi Hanan. Tak boleh miss langsung sekurang-kurangnya sekali sehari(sebab kadang-kadang malam banyak tak gosok). Saya mula dengan menggunakan ubat gigi dos fluorida yang lebih rendah iaitu sekitar 400-600ppm. Alhamdulillah, nampak seperti progres karies gigi sudah berhenti dan tidak merebak.
Tapi rupa-rupanya ia masih belum mencukupi. Entah macamana sekali tu terdetik nak tengok dalam mulut untuk bersihkan sebelah dalam gigi atas Hanan. Rupa-rupanya dah ada tanda warna coklat kehitaman yang masih keras! Itu juga tanda-tanda awal karies.
Maksudnya, apa yang saya buat sebelum ni masih belum mencukupi. Terus saya rujuk kepada pakar dan mencari jurnal untuk rujukan.
Setelah mendapat nasihat dan maklumat yang cukup, saya tambah beberapa perkara dalam penjagaan gigi anak saya:
1)Gosok gigi anak dengan ubat gigi berfluorida dengan kandungan 1000ppm(lebih tinggi) sebanyak 2 kali sehari. Kalau anak tidur dengan botol susu, sekurang-kurangnya gosok juga sebelum tidur.
2)Tanggalkan botol daripada mulut anak selepas dia dah tertidur. Itu sahaja yang mampu saya buat. Pernah nak ganti susu dengan air masak tapi hasilnya anak bangun dan mengamuk.
3)Gosok gigi dengan cara yang betul dan menyeluruh. Bukan bahagian yang nampak je. Lebih-lebih lagi gigi geraham di belakang. Jika anak anda berumur sekitar 6 tahun, kemungkinan besar gigi geraham kekal pertama sudah tumbuh. Kena lebih berjaga-jaga.
4)Risiko tertelan ubat gigi itu biasa. Sebab itu dos ubat gigi perlu dikawal ikut keadaan gigi anak. Tak semua anak sama. Anak saya Hanan masih belum pandai meludah. Setiap kali lepas gosok, saya cuba keluarkan sedikit air liurnya daripada mulut.
5)Dapatkan nasihat daripada mereka yang profesional(doktor gigi). Penjagaan gigi bukan sekadar teori tapi praktikal. Setiap keadaan gigi individu berbeza dan perlu diperiksa terlebih dahulu. Oleh sebab itu, kami tidak menggalakkan konsultasi online. Pergi sahaja ke klinik gigi terdekat. Itu lebih baik daripada anda bertanya di media sosial.
6)Sapukan tooth mousse juga boleh membantu. Tooth mousse ni bahan asasnya casein phospate, sejenis protein daripada susu lembu yang kaya dengan kalsium untuk menguatkan gigi. Namun jika anak anda ada alahan kepada produk tenusu seperti anak saya, jangan sesekali guna.
Alhamdulillah nampak seperti keadaan gigi Hanan dah terkawal. Walaupun begitu, pemantauan sentiasa dibuat sebagai langkah pencegahan.
Gigi kita, Allah hanya bagi 2 set. Satu set gigi susu dan satu set gigi kekal.
Jagalah sebaiknya. Syukuri nikmatnya.
Sayangi gigi anda dan anak-anak. Jangan biar mereka merana.
-By Dr AR-
Doktor gigi yang juga papa kepada 3 orang anak
~Gambar gigi di atas ihsan daripada laman web Dr Shari Kohn. Alhamdulillah Umar dah berlalu fasa gigi rongak dia sebab gigi buruk dah cabut 4 batang dan gigi kekal dah tumbuh.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI