
Kalau kita perhati sekarang, makin banyak kes disiplin budak-budak sekolah muncul kat media sosial gaduh, buli, maki cikgu, sampai ada yang berani lawan balik bila ditegur. Ramai ibu bapa mula risau dan tertanya-tanya, apa jadi dengan generasi sekarang?
Dulu, kalau anak buat silap, cikgu tegur, rotan sikit pun dah cukup bagi pengajaran. Tapi sekarang, cikgu pun serba salah nak ambil tindakan. Silap gaya, boleh viral, boleh disaman. Akhirnya, yang rugi anak-anak kita sendiri, sebab hilang sempadan antara teguran dengan hukuman.
Laporan Terkini: Cadangan Kembalikan Pendekatan Rotan Pelajar
Menurut laporan Buletin TV3, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa pendekatan rotan pelajar perlu dikembalikan dalam usaha membentuk disiplin dan sahsiah pelajar.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tindakan ini harus dilakukan dengan syarat-syarat ketat bagi mengelakkan unsur penderaan.
“Pandangan saya, ia (merotan) perlu dikembalikan tetapi dengan syarat-syarat ketat, bukan secara terbuka. Rotan mungkin di tangan, bukan bagi kelonggaran sepenuhnya.
Saya pernah jadi guru, saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan, tetapi di tangan tentu tak nampak sangat penderaannya.
Kenakalan anak-anak ini perkara biasa, tetapi bila mereka melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukum.”
Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu merotan pelajar sekolah dan tindakan terhadap guru yang menggunakan pendekatan berkenaan.
Mengulas tindakan yang dikenakan terhadap guru sebelum ini, Anwar berkata beliau yakin pihak mahkamah mampu membuat penilaian semula sama ada untuk meringankan tuduhan atau sebaliknya.
Ekstra INFO: Anak Zaman Sekarang: Kenapa Disiplin Semakin Longgar?

Ada beberapa faktor kenapa masalah disiplin semakin ketara:
1. Didikan Tanpa Sempadan
Ramai ibu bapa takut anak “terluka” bila ditegur. Tapi bila semua benda dibiarkan, anak hilang rasa hormat terhadap orang dewasa.
2. Pengaruh Media Sosial
Anak-anak sekarang cepat terpengaruh dengan gaya hidup “bebas” yang mereka tengok online mereka tiru tanpa faham konteks sebenar.
3. Kekangan Guru

Cikgu sekarang lebih berhati-hati, takut tindakan mereka disalah tafsir. Akibatnya, disiplin di sekolah makin longgar dan sukar ditegakkan tanpa rotan pelajar sebagai peringatan.
4. Kurang Komunikasi Antara Sekolah dan Ibu Bapa
Kadang-kadang ibu bapa cepat menyebelahi anak tanpa selidik dulu punca sebenar. Ini menyebabkan pihak sekolah hilang kuasa mendidik yang tegas tapi berhemah.
Ibu Bapa & Cikgu Perlu ‘Satu Nada’
Apa pun pendekatan yang diambil rotan pelajar atau tidak yang paling penting ialah kesepakatan antara ibu bapa dan guru. Anak-anak perlukan sempadan yang jelas. Mereka perlu tahu ada akibat bila melanggar peraturan.
Kalau di rumah ibu bapa terlalu lembut, tapi di sekolah cikgu pula tegas anak akan keliru. Tapi kalau dua-dua pihak seiring, baru anak tahu disiplin tu bukan hukuman, tapi kasih sayang dalam bentuk tegas.
Rotan Pelajar Dengan Kasih Sayang, Bukan Penderaan
Kembalikan rotan pelajar bukan bermaksud kita kembali ke zaman keras mendidik, tapi untuk ingatkan bahawa kasih sayang juga perlukan batas dan ketegasan. Dalam dunia serba moden ni, anak-anak bukan perlukan kebebasan semata, tapi bimbingan dan panduan yang berprinsip.
Sumber: Buletin TV3
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













