Kesihatan

Rumah Tak Kemas Bukan Bermakna Sakit Mental – Dr. Zubaidi

Share

Rumah bersepah sering menjadi topik perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Ada yang merasa ia perkara biasa, sementara yang lain menganggapnya sebagai tanda gangguan tertentu.

Namun, adakah individu tak kisah rumah yang bersepah sebenarnya satu penyakit? Dalam perkongsian ini, Dr. Zubaidi menjelaskan aspek psikologi di sebalik situasi ini dan bagaimana ia mungkin mencerminkan personaliti atau keadaan mental seseorang.

Suka Duduk di Rumah yang Bersepah. Adakah Satu Penyakit? Situasi ini sebenarnya menarik dan ada kaitannya dengan aspek psikologi serta cara individu memproses ruang dan barang di sekeliling mereka.

Gambar sekadar hiasan

Walaupun tidak semua keadaan rumah bersepah boleh dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental, ada beberapa penjelasan yang boleh kita kaji berdasarkan perspektif psikologi:

Ia mungkin hanya berkemungkinan berkaitan dengan personaliti dan gaya hidup. Ada individu yang merasa lebih selesa dalam suasana yang “organized chaos”—yakni keadaan yang kelihatan bersepah tetapi sebenarnya mereka tahu di mana letaknya setiap barang.
Mereka tidak merasa terbeban untuk memastikan semuanya tersusun, kerana bagi mereka, kebebasan untuk bergerak tanpa “aturan” adalah lebih melegakan.

Satu lagi keadaan mental dinamakan “Perfeksionisme Terbalik”. Keadaan di mana seseorang merasa sangat tertekan apabila sesuatu perlu dilakukan dengan teliti.
Contohnya, mereka mungkin mengelak untuk menyusun barang kerana proses itu terlalu memakan tenaga emosi dan mental.

Ada juga keadaan yang lebih serius akibat penyakit atau gangguan mental.
Satu darinya dinamakan “Hoarding Disorder” (Gangguan Penyimpanan Barang)
Ini adalah gangguan mental yang menyebabkan seseorang menyimpan terlalu banyak barang sehingga sukar untuk menguruskan ruang hidup. Namun, ini lebih kepada pengumpulan barang yang berlebihan, bukan sekadar suka keadaan bersepah.

Selain itu, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) juga mungkin menyebabkan individu sukar untuk mengekalkan susunan dan aturan kerana minda mereka cenderung terganggu. Mereka mungkin merasa lebih mudah bekerja dalam keadaan yang kurang teratur.

Dalam kes tertentu, kegelisahan atau anxiety boleh menyebabkan seseorang merasa sangat tertekan apabila perlu berurusan dengan susunan yang terlalu rapi, seperti rakan anda yang merasa lebih tenang dalam keadaan bersepah.

Jadi bagaimana ini boleh mempengaruhi kesihatan?

Gambar sekadar hiasan

Kehidupan dalam suasana bersepah boleh menyebabkan rasa tenang bagi sesetengah orang, tetapi ia juga boleh menjejaskan produktiviti dan mencetuskan stres bagi orang lain.

Rumah yang bersepah juga boleh menjadi tempat pembiakan debu dan bakteria, yang akhirnya memberi kesan kepada sistem pernafasan dan kebersihan diri.

Cadangan saya, jika seseorang tidak suka ruang terlalu rapi, mereka boleh mencipta sistem “semi-organisasi.” Contohnya, zon tertentu boleh dibiarkan bersepah tetapi barang-barang penting tetap disusun.

Jika keadaan bersepah ini menjejaskan hubungan, pekerjaan, atau kesihatan, mungkin ada keperluan untuk berbincang dengan pakar psikologi atau kaunselor.

Jadi suka tinggal di rumah yang bersepah bukan semestinya satu penyakit, tetapi ia boleh mencerminkan cara seseorang mengatasi stres atau cara mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Tidak ada salahnya jika itu tidak membawa mudarat kepada kesihatan atau hubungan sosial. Namun, jika keadaan ini mula menjadi masalah, penting untuk mencari keseimbangan.

Sumber: Dr Zubaidi

Published by
Nor Yusoff