Rumah Terbakar, Ibu Hamil 5 Bulan & 2 Anak Terkorban. Suami, Anak Sulung Terselamat

Share

“Ayah suruh saya terjun dulu dari tingkap,” kata Muhammad Afip Aryan Mohd Khairul, 6, yang terselamat dalam kebakaran yang meragut nyawa ibu dan dua adiknya di Kampung Sungai Relong, Kamunting, Taiping, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, ibunya Jazmanniza Man, 35, dan adiknya Muhammad Anaz Rizqi, 4, serta Nur Aulia Medina Mohd Khairul, 3, ditemukan rentung dalam rumah berkenaan.

Manakala, bapanya Mohd Khairul Ismail, 38, parah akibat melecur sebahagian badan manakala bapa saudaranya, Jamal Alzuan Man, 33, pula cedera.

Muhammad Afip berkata, selepas disuruh terjun, bapanya bertindak nekad cuba menyelamatkan ibu dan dua adiknya di bilik mereka tidur di tingkat atas rumah, namun gagal.

“Ayah suruh terjun dulu melalui tingkap bilik, tapi masa itu ibu dengan adik tengah ‘tidur’ lagi, sudah tidak berjaga,” katanya ringkas ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Adik bongsu Jazmanniza, Ahmad Syafrzal, 27, berkata, enam orang tinggal dalam rumah peninggalan arwah ibu bapa termasuk Jamal Alzuan yang menetap di situ sejak sekian lama.

Arwah mengandung 5 bulan

Katanya, ketika kejadian Jamal Alzuan yang berjaya keluar dari rumah itu sempat pergi ke rumahnya berhampiran untuk meminta bantuan.

“Sebaik tiba di rumah itu, api masih marak dan kelihatan abang ipar (Mohd Khairul) yang melecur sebahagian tubuhnya sudah keluar dari rumah, namun keadaannya bagai tidak tentu arah.

“Walaupun reda, namun saya juga terkilan kerana kami difahamkan arwah kakak mengandung lima bulan bahkan semalam, saya sempat membelikannya burger selepas mengadu mengidamkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, ketiga-tiga mayat yang rentung ditemui atas katil dalam sebuah bilik dipercayai tempat mereka lima beranak tidur bersama.

Menurutnya, pihaknya percaya api merebak cepat susulan faktor angin selain sebahagian besar struktur kayu di bahagian atas rumah terbabit.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan ibu bersama dua anak ditemukan rentung dalam kebakaran rumah terbabit.

Sumber: Metro

Kredit Gambar: Sharifah Nurul Shahida

Published by
Wan Amy