Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan disahkan meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Bangkahulu, Gemas di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam (Rabu).
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal, berkata Siti Nur Aini Zulimi dikatakan ditinggalkan sendirian dalam buai elektrik oleh ibunya yang keluar ke Pejabat Pos Gemas terletak kira-kira enam kilometer (km) dari rumah pada jam 10.30 pagi.
Minta tolong jiran lihat anak jika menangis
Katanya, ibu mangsa dikatakan ada berpesan kepada jiran untuk tolong melihat jika anak bongsunya itu menangis manakala lima anaknya yang lain dipercayai berada di sekolah.
“Tidak lama selepas itu, wanita terbabit menerima panggilan daripada jiran yang memberitahu rumahnya terbakar.
“Wanita terbabit bergegas pulang dan cuba memasuki rumah untuk mendapatkan anaknya namun dihalang oleh orang ramai berikutan api yang marak,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Pilus berkata, suami wanita itu berada di tempat kerjanya di Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas ketika kejadian.
Katanya, kes disiasat oleh pihak bomba dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Melecur 30 peratus
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Mohd Farid Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.38 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa didapati melecur 30 peratus manakala rumah mangsa terbakar 60 peratus.
“Punca kejadian masih disiasat dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI