Rupanya otak kanan rahsia anak pintar. Namun ada segelintir ibu bapa mungkin tertanya kenapa anak-anak rakan mereka lebih bijak berbanding anak mereka walaupun menghadiri tadika yang sama. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak perlahan, anda boleh melakukan proses keupayaan pembelajaran untuk perkembangan intelektual semasa anak membesar. Malah, proses ini ada hubungan kait dengan peranan otak kanan.
Untuk melakukan proses rangsangan ini, anda perlu memahami bagaimana fungsi otak kanan dan kiri serta bagaimana merangsang otak ini dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai. Berikut adalah maklumat yang perlu anda fahami, seterusnya lakukan aktiviti-aktiviti rangsangan untuk anak anda!
Sebenarnya penggunaan otak kiri dan kanan perlu seimbang. Setiap hari manusia sememangnya menggunakan otak kiri. Justeru, anda perlu merangsang otak kanan!
a)Fungsi otak kanan:
-Imaginasi
-Berfikir secara kreatif
-Irama
-Khayalan
-Emosi
-Ilham
-Intuisi (gerak hati)
-Warna
-Muzik
-Apa saja aktiviti-aktiviti kreatif
*Otak kanan digunakan dalam aktiviti kreatif yang tidak membabitkan perkataan. Daya ingatan otak kanan adalah bersifat jangka panjang (long term memory). Otak kanan adalah lebih efektif berbanding otak kiri, tetapi ia perlu dilatih dengan lebih kerap untuk mengaktifkan penggunaannya
b) Fungsi otak kiri:
– Mengingati ilmu, pengetahuan atau maklumat
– Menyimpan data dan fakta
– Menganalisis
– Memahami logik, bahasa dan matematik
– Mengira
*Daya ingatan otak kiri adalah bersifat jangka pendek (short term memory).
Bagaimana rangsangan otak kanan?
Dikatakan bahawa kanak-kanak yang dirangsang otak kanannya akan menjadi lebih pandai, cerdik dan positif. Di nasihati, melakukan rangsangan seawal usia enam bulan. Dengan latihan awal, mudah untuk mendidik kanak-kanak menggunakan otak kanan. Otak sebelah kanan sebenarnya lebih efektif jika dibandingkan sebelah kiri, tetapi perlu dilatih dan kerap merangsangnya. Otak anak pada enam tahun pertama bersifat seperti span dan dapat menerima rangsangan dengan mudah. Harus juga diingatkan pendedahan awal kepada ilmu dengan cara yang menyeronokkan akan membina minat dan kecenderungan anak terhadap ilmu. Ia juga membina tapak untuk pembangunan seterusnya.
Cara otak berfungsi
Antara fungsi otak ialah menerima maklumat dan respons terhadap maklumat. Otak menerima maklumat melalui pancaindera: mata, telinga, hidung, lidah serta kulit. Mata melihat objek dan menghantar maklumat kepada otak yang memahami apa yang dilihat. Telinga menerima maklumat dalam bentuk pendengaran untuk difahami otak. Begitulah seterusnya. Dengan itu, semasa melakukan aktiviti rangsangan, otak akan memainkan fungsinya. Jadi anda mesti melakukan dengan penuh yakin dan bersemangat dengan niat untuk mendidik anak menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat. Jangan lupa setiap aktiviti mesti disulami dengan nilai-nilai Islam kerana otak menerima maklumat dan respons terhadap maklumat.
Lakukan di rumah!
Kini, ramai ibu bapa moden, mula menghantar anak ke kelas seni dan kraf selepas menyedari manfaatnya. Tidak mengapa bagi yang mempunyai lebihan bajet. Bagi yang ingin melakukan di rumah, teruskan usaha anda asalkan cara rangsangan itu betul.
Antara kemahiran yang dipertingkatkan melalui lukisan dan kraf ialah:
-Logik
– Kreativiti
– Keyakinan diri
– Kepekaan sosial (boleh bersosial dan berinteraksi dengan orang lain)
– Perkembangan kemahiran tangan
– Pandai meluahkan emosi
-Koordinasi tangan dan mata
– Membentuk personaliti
– Menghargai kecantikan
Apakah aktiviti untuk rangsang otak kanan?
Tahukah anda bahawa aktiviti yang menggunakan jari jemari dapat merangsang otak kanan. Ini kerana gerak kerja tangan adalah hasil daripada kerahan otak kanan.
1.Tanah liat (contoh: pelbagai bentuk mudah seperti kucing, ikan, bunga)
2.Origami / lipat kertas (contoh: lipatan kapal terbang)
3.Menggunting ( contoh:garisang lurus, bengkok, bentuk empat segi, tiga segi atau apa sahaja gambar menarik di surat khabar atau majalah)
4.Masukan manik dalam benang/ tali dalam straw minuman (contoh: manik bersaiz besar dan kecil)
5.Melukis/ cat air (contoh: lukis gambar sebelah misalnya gambar bunga hanya sebelah, kemudian minta anak sambung lukisan mengikut apa yang dilukis di bahagian satu lagi.)
6.Bercerita (bina daya imaginasi dengan cara bercerita pendek. Kemudian suruh anak sambung cerita tu.
7.Main teka-teki dengan anak. ( Letak satu barang dalam kotak/ bekas tisu, suruh anak teka barangan tersebut. Teka bentuk atau warna).
8.Kad imbasan (perkenalkan abjad atau nombor. Apabila kad itu bergerak laju, otak kanan bekerja keras untuk menangkap apa yang ditunjukkan.
*Tempoh membuat aktiviti ini tidak perlu lama untuk mengelak anak bosan. Anggaran masa setengah jam.
Pemakanan genius
Selain daripada rangsangan, pemakanan yang sihat adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak.
1.Sesetengah nutrien seperti phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik.
Sumber makanan: Soya, telur, ikan berlemak seperti tuna dan sardin, serta walnut.
2.Taurine, choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung rangkaian antara sel-sel otak.
Sumber makanan: Kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning telur dan daging.
3. Antioksidan (lutein, selenium, vitamin A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak.
Sumber makanan: Buah-buahan dan sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.