Ajaklah anak solat supaya dapat rangsang gerakan motor kasar anak secara Islamik. Seperti yang kita ketahui, tahap pemikiran di peringkat kanak-kanak prasekolah masih belum dapat memahami konsep yang abstrak. Jadi, untuk memperkenalkan konsep Tuhan kepada anak-anak memang agak rumit kerana kanak-kanak lebih cepat memahami objek-objek yang maujud.
Jadi, anak-anak boleh dipandu untuk mengenal Allah melalui ciptaan-ciptaan yang berada di sekelililng mereka. Contohnya, dalam matapelajaran sains, anak-anak boleh dibawa untuk tadabbur alam (berfikir dan menyelidik alam ciptaan Allah) seperti melihat proses percambahan biji benih, menyelidik jenis-jenis haiwan di darat dan lautan serta memerhatikan kehebatan sistem saliran darah dalam badan. Walaupun kewujudan Allah tidak dapat dilihat dan disentuh, namun kehadirannya dapat dirasai oleh anak-anak dengan pelbagai ciptaanNya yang menakjubkan.
Pengajaran solat adalah ibadah yang paling utama untuk umat Nabi Muhammad S.A.W. Selain menjadi asas kepada segala ibadah, solat juga boleh dijadikan satu medium untuk mengajar kanak-kanak konsep matematik.
Contohnya, konsep waktu dalam solat 5 waktu sehari dan juga konsep bilangan dalam setiap rakaat serta bacaan dalam solat. Dengan solat juga, anak-anak juga boleh meningkatkan kemahiran sosioemosi mereka dengan belajar displin solat di awal waktu dan juga displin solat berjemaah.
Pergerakan badan di dalam solat juga mampu untuk meningkatkan kemahiran fizikal mereka dalam pergerakan motor kasar anak-anak. Melalui ibadah solat yang asas ini, kanak-kanak boleh belajar pelbagai kaitan ilmu.
Kanak-kanak juga boleh diajarkan nilai-nilai murni dengan pelbagai kisah sirah dan juga kisah akhlak Rasulullah s.a.w sebagai contoh unggul dalam sejarah peradaban manusia. Aktiviti main peranan juga sangat membantu dalam menerangkan tentang etika atau adab dalam kehidupan seharian. Misalnya, guru atau ibubapa boleh menerangkan tentang adab jual beli sewaktu bermain peranan sebagai penjual di gerai.
Apabila bermain peranan ‘masak-masak’ pula, bolehlah dididik anak-anak dengan sumber-sumber makanan yang halal dan berkhasiat serta sunnah Rasulullah dalam adab makan. Salah satu main peranan yang disukai oleh kanak-kanak ialah memainkan peranan sebagai ibu atau bapa.
Dengan menggabungjalinkan ilmu dan Islam sejak dari peringkat awal, insyaAllah anak-anak ini akan membesar menjadi insan yang seimbang dari segi akal dan spiritualnya. Jika dilihat tokoh-tokoh ilmuan Islam yang lampau, sungguhpun ilmu penuh di dada, namun Islam tetap dijunjung. Allah dan Rasul pula sentiasa menjadi panduan di dalam kehidupan seharian mereka. Semoga anak-anak kita akan mengikuti jejak langkah mereka, kerana ilmu yang tidak dipandu oleh solat dan taqwa itu dikhuatiri boleh memusnah; samaada pada diri sendiri mahupun orang sekeliling.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI