
Apabila tanda bersalin muncul, ada di kalangan anda yang mengalami kantung ketuban pecah. Ada juga yang mengalami lendir darah keluar. Kemudian bermulalah episod kesakitan kontraksi.
Pasti ada yang tertanya-tanya, sekiranya lendir darah yang keluar sebagai tanda awal proses kelahiran, adakah masih perlu solat seperti biasa? Jawapannya ya! Hal ini kerana darah yang keluar itu bukannya darah wiladah (nifas).

Darah yang keluar sebelum anda melahirkan anak dikenali sebagai darah istihadhah. Ia termasuk dalam kategori bukan darah haid mahupun darah nifas. Hal ini bermakna anda belum lagi dalam hadas besar selagi belum melahirkan anak yang membolehkan anda tidak bersolat.
Darah yang bercampur lendir turut dikira sebagai darah istihadhah atau darah fasad atau darah penyakit yang mana ia masih mewajibkan anda untuk menunaikan solat ya. Sehubungan itu, jika anda yang sedang mengalami kesakitan mahu bersalin masih mampu berdiri, maka perlu solat seperti kebiasaannya. Wuduk pun perlu diambil seperti kelazimannya.

Walau bagaimanapun, bagi anda yang sudah tidak mampu untuk berdiri dan hanya berbaring di atas katil, anda dibolehkan untuk solat dalam keadaan duduk ataupun berbaring. Dalam keadaan sebegini, jika anda sudah terlalu lemah hingga tidak berupaya untuk bersuci dengan mengambil wuduk dan pada masa yang sama tempat solat (katil) sudah dicemari, ia dikira sebagai darurat yang mengharuskan perkara dilarang.
Namun, ia bukan bererti anda tidak perlu solat. Sebaliknya, hukumnya adalah harus untuk anda solat secara baring tanpa membersihkan diri sendiri, tempat solat mahupun mengambil wuduk. Anda diingatkan untuk tidak menangguhkan waktu solat selagi belum berjaya mengeluarkan bayi.
Bagi menutup aurat, memadai anda berselimut yang menutupi seluruh badan hingga ke kaki dan bertudung lengkap atau meletakkan kain yang dililit menutupi rambut.
Di saat anda melahirkan, darah wiladah atau nifas keluar. Ketika inilah anda berhadas besar. Dengan yang demikian, anda tidak perlu lagi menunaikan solat.
Langkah ringkas bersolat semasa beristihadhah
- Bersihkan bahagian intim di mana keluarnya darah berkenaan. Bersuci dengan sempurna
- Pakai tuala wanita.
- Ambil wuduk
- Solat sesegerayang boleh dan jangan bertangguh
Jika ada darah keluar semasa anda sedang bersolat, ia dimaafkan dan solat itu sah. Malah, wuduk wanita yang beristihadhah sah untuk satu solat fardu dan beberapa amalan sunat lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bayi Boleh Jadi Pintar Kalau Ibu Yang Menyusu Bijak Pilih Pemakanan


Kajian menunjukkan tenaga harian yang diperlukan oleh ibu yang menyusukan bayi adalah kira-kira 2,000 kJ (478 kalori) lebih daripada yang diperlukan oleh seorang wanita normal. Angka ini diukur dalam enam bulan pertama penyusuan penuh atau eksklusif, di mana bayi hanya diberikan susu ibu sahaja. Selepas tempoh ini, anak anda akan memerlukan kurang susu badan, dan, lantaran itu, anda juga akan memerlukan kurang tenaga.

Vitamin dan mineral penting untuk ibu yang menyusukan bayi
Protein
Bayi yang sedang membesar memerlukan banyak protein, jadi anda perlu untuk membekalkan banyak protein dalam diet anda. Ini bagi memenuhi keperluan si manja anda. Protein adalah penting untuk perkembangan, dan pembaikan sel. Jumlah purata protein yang ibu penyusuan perlukan setiap hari ialah 54g, tetapi sesetengah ibu mungkin perlukan 67g sehari, atau mungkin juga lebih.
Sumber protein termasuklah:
- Daging
- Telur
- Tenusu
- Sayur kacang, kekacang dan produk soya
Folat
Folat ialah jenis vitamin B yang penting untuk tumbesaran dan perkembangan sihat bayi anda. Secara purata, ibu yang menyusukan bayi memerlukan 450μg folat sehari, tetapi anda mungkin perlu 500μg setiap hari, atau lebih. Sumber folat termasuklah:
- Sayuran berdaun hijau
- Bijirin penuh
- Kacang pis dan kekacang
- Avokado
- Ekstrak yis
Iodin
Iodin ialah mineral penting untuk penghasilan hormon tiroid untuk memastikan perkembangan otak dan sistem saraf. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan 190μg iodin setiap hari, tetapi sesetengahnya perlu mengambil 270μg setiap hari.
Sumber baik iodin termasuklah:
- Makanan laut
- Susu
- Sayuran
Zink
Zink adalah penting untuk perkembangan sistem imun bayi. Ibu yang menyusukan bayi perlu 10mg zink setiap hari, tetapi sesetengah ibu memerlukan 12mg zink sehari, atau mungkin lebih. Sumber zink termasuklah:
- Bijirin gandum penuh
- Susu
- Makanan laut
- Sayur kacang, kekacang, dan produk soya
Vitamin A
Vitamin A adalah penting untuk perkembangan normal anak dan membantu untuk melawan jangkitan. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan purata 800μg vitamin A setiap hari, tetapi sesetengah ibu mungkin memerlukan sehingga 1,100μg setiap hari, atau lebih.
Sumber baik vitamin A termasuklah:
- Susu
- Keju
- Telur
- Spesies ikan berlemak
- Sayuran berwarna oren-kekuningan
- Buah-buahan seperti labu, mangga, aprikot
- Sayuran seperti lobak merah, bayam, dan brokoli
Vitamin B6
Vitamin B6 membantu proses metabolisma dan pembentukan sel darah merah. Ibu yang menyusukan bayi memerlukan purata 1.7mg sehari vitamin B6, tetapi anda juga mungkin perlu 2mg setiap hari atau lebih.
Sumber baik vitamin B6 termasuklah:
- Daging organ dan otot
- Ayam itik
- Ikan
- Bijirin penuh
- Kubis Brussels
- Kacang pis hijau
- Sayur kacang
Kekal hidrat
Penyusuan boleh membuatkan ibu berasa amat dahaga. Jadi, anda perlu minum sekurang-kurangnya 700ml air setiap hari untuk menggantikan cecair yang hilang dari penyusuan. Kekal mendapatkan cecair yang sihat seperti air kosong, susu, jus, dan mengelakkan alkohol. Minuman berkafein (teh, kopi, dan kola) boleh diambil, tetapi perlu dihadkan pengambilannya.
Tip untuk bantu anda makan dengan betul
Penyusuan semasa beberapa hari terawal boleh jadi amat memenatkan untuk ibu. Jika anda berasa sulit, minta bantuan bagi kekal mendapatkan diet yang sihat.
Dengan hasrat untuk mendapat diet yang sihat, seimbang dan berserta air, anda perlu makan lima atau enam hidangan kecil setiap hari, berbanding tiga hidangan besar sehari. Bagi memberikan kualiti susu terbaik untuk anak anda, ingatlah untuk mengambil sedikit daripada makanan yang dinyatakan di atas dalam diet anda, dan elakkan makanan yang pedas dan panas, begitu juga dengan yang berkafein dan minuman beralkohol.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kerosakan Atau Karies Gigi Boleh Bermula Sebaik Gigi Pertama Bayi Tumbuh, Ibu Ayah Kena Peka!

Kebanyakan doktor pergigian berpendapat bahawa penjagaan mulut atau gigi bayi dan kanak-kanak seharusnya bermula sebelum gigi pertama tumbuh. Kerosakan atau karies gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh dan terdedah kepada persekitaran mulut. Adalah amat penting untuk memastikan bahawa gigi dan gusi dibersihkan secara rutin bagi mengurangkan proses kerosakan.

Pertumbuhan Gigi
Gigi susu pertama mula tumbuh pada usia bayi 6 hingga 8 bulan dan set gigi susu akan tumbuh dengan lengkap ketika umur kanak-kanak mencecah 3 tahun. Gigi susu bawah depan akan tumbuh dahulu diikuti gigi susu depan atas. Bila semua gigi susu tumbuh, 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang atas dan 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang bawah.
Lawatan Pertama Ke Klinik Gigi
Pada Julai 2008, Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan program ‘ Early Childhood Oral Healthcare Never Too Early To Start’ yang mengesyorkan lawatan pertama ke klinik gigi harus bermula semasa bayi berumur enam bulan atau selepas gigi susu pertama tumbuh dan selewat-lewatnya pada umur satu tahun.
Bagaimana Kerosakan Gigi Terjadi?
Penjagaan mulut yang berterusan dan betul adalah penting untuk memastikan kesihatan gigi dan gusi serta mulut yang berbau segar. Jika gigi tidak digosok dengan cara yang betul, satu bahan berwarna kekuningan dan melekit yang dinamakan plak gigi akan terbentuk. Plak mengandungi kuman bakteria akan melekat pada gigi. Bakteria tersebut akan bertindak dengan gula menjadi asid dan akan menyerang dan mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ini adalah permulaan kepada pembentukan karies gigi. Karies gigi ini sekiranya tidak dikawal akan merebak ke lapisan dalam gigi dan terus mereputkan gigi dan membentuk gigi berlubang. Bakteria di dalam karies boleh terus merebak dan menjangkiti pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah gigi. Sekiranya ini berlaku, kanak-kanak tersebut akan merasa sakit gigi dan gigi akan mati. Tanpa rawatan, jangkitan bakteria akan terbentuk di hujung akar gigi dan pembentukan ‘abses’ atau bisul pada gusi akan berlaku. Lebih teruk lagi sekiranya jangkitan merebak ke ruang tisu muka menyebabkan radang muka atau ‘facial cellulitis’.
Apakah Punca Utama Kerosakan Gigi?
Kerosakan gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan kerosakan pada gigi anak anda. Penjagaan gigi bermula dengan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa perlu ingat bahawa punca utama kerosakan gigi ialah daripada cairan, air minuman atau pemakanan yang bergula diberi kepada bayi. Faktor penting yang harus dipertimbangkan ialah jenis makanan, berapa kerap ia diambil dan berapa lama makanan tersebut berada di persekitaran gigi di dalam mulut.
Cairan seperti jus buah-buahan, susu ibu, susu lembu, susu formula dan air bergas mengandungi gula tersembunyi. Sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan cara yang betul, plak akan terbentuk. Gula yang berada di persekitaran gigi akan dicernakan oleh bakteria yang berada di dalam plak dan mengeluarkan asid yang menyebabkan gigi kanak-kanak mereput atau rosak.
Sekiranya anak anda mempunyai tabiat menghisap botol sepanjang hari, pastikan botol tidak diisi dengan cairan atau jus bergula. Setiap kali anak anda menghisap cairan bergula, asid akan terbentuk di dalam mulut dalam masa beberapa minit. Sekiranya cairan bergula dihisap berterusan, bayangkan asid akan sentiasa berada di dalam mulut dan proses pereputan sentiasa berlaku selama 24 jam! Ibu bapa patut menghadkan pengambilan jus bergula pada waktu makan tengah hari atau makan malam sahaja. Di antara waktu tersebut, cuba isi botol anak anda dengan air masak atau susu. Ibu bapa seharusnya cuba berusaha mengelakkan anak anda dari tidur dengan menghisap botol susu kerana air susu akan berkumpul dengan lama di dalam mulut anak anda dan ini boleh menyebabkan kerosakan gigi dengan cepat. Jika terpaksa, cuba secara perlahan-lahan cairkan kandungan susu di dalam botol dan akhirnya isi botol dengan air masak sahaja.
Kawal Pemakanan Yang Diambil Oleh Anak Anda.
Sudah tentu kanak-kanak sukakan makanan ringan bergula seandainya mereka terdedah kepada gula daripada peringkat bayi lagi. Pembelian makanan ringan bergula harus dijadualkan dan dihadkan pada waktu atau hari-hari tertentu sahaja, contohnya pada waktu tengah hari sahaja selang sehari, atau pada hujung minggu sahaja atau pada hari keramaian. Jika anak anda sudah biasa dengan jadual anda, anda akan dapati kanak-kanak amat memegang pada janji dan ia akan memudahkan penjagaan gigi anak anda. Pastikan juga jadual diikuti dan difahami oleh semua ahli keluarga, keluarga terdekat dan pengasuh anak anda supaya ia menjadi lebih berkesan. Anda boleh mengganti snek makanan bergula dengan snek yang lebih sihat seperti buah-buahan, snek sayuran, kerepek, kekacang, karipap dan sebagainya.
Bagaimana Penjagaan Yang Terbaik Untuk Anak Anda?
Bila memikirkan tentang penjagaan gigi susu, adalah amat penting untuk mengambil kira bahawa gigi susu memegang ruang untuk gigi kekal yang bakal tumbuh. Sekiranya gigi susu rosak dan terpaksa dicabut awal, ruang yang dikhaskan untuk gigi kekal akan hilang dan ruang itu hanya boleh diperolehi semula melalui rawatan ortodontik.
Pembersihan gigi susu bayi harus dimulakan sebaik sahaja gigi susu tumbuh walaupun anak anda hanya minum susu ibu atau susu formula sahaja. Caranya ialah dengan menyapu sedikit ubat gigi berfluorida ke atas kain lembut atau berus gigi bayi dan kemudian disapukan ke atas gigi bayi. Setelah gigi geraham susu mula tumbuh, anda boleh menukar ke berus gigi kanak-kanak yang lembut dan menggunakan ubat gigi berfluorida sebesar biji kacang pea. Jangan lupa untuk mencuci lidah dan gusi di mana bakteria bersembunyi dan menyebabkan mulut berbau. Lakukan 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum tidur. Mencuci gigi dan mulut atau berkumur juga disyorkan pada setiap kali selepas bayi mengambil makanan.
Bilakah anda boleh membiarkan anak anda memberus giginya sendiri? Sebenarnya, anak anda tidak pandai memberus gigi dengan betul sehingga ia mula pandai menulis dan mula bersekolah. Walau bagaimanapun, adalah baik jika anda memberi anak anda memberus giginya sendiri jika dia mahu. Tetapi setelah itu pastikan anda memeriksa dan memberuskan giginya sekali lagi jika perlu. Berikan pujian kepada anak anda jika dia pandai memberus gigi dan beritahu jika dia tidak memberus di beberapa bahagian gigi. Tunjukkan cara yang betul secara berterusan sehingga anak anda pandai memberus gigi dengan baik.
Gunakan Ubat Gigi Berfluorida
Sedikit fluorida di dalam ubat gigi adalah baik untuk gigi anak anda yang sedang membentuk. Fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria. Sesetengah negeri atau daerah di Malaysia menerima bekalan air yang mengandungi tambahan fluorida. Anda boleh bertanya kepada doktor gigi di kawasan anda. Jika anda tinggal di kawasan di mana saluran airnya tidak mengandungi fluorida, pastikan anak anda menggunakan ubat gigi berfluorida dari peringkat awal lagi. Jika anda tinggal di kawasan air berfluorida, dan anak anda berumur kurang dari 6 tahun, adalah disyorkan anak anda menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida tidak melebihi 600bpj (bahagian per juta) dan gunakan ia dalam jumlah yang sedikit iaitu sebanyak saiz kacang pea setiap kali memberus gigi. Ini adalah kerana kanak-kanak lebih cenderung menelan ubat gigi daripada meludahnya keluar. Menelan ubat gigi berfluorida dengan banyak dalam masa yang panjang akan menyebabkan terjadinya fluorosis. Sekiranya fluorosis terjadi, ia adalah tidak bahaya dan boleh dirawat. Fluorosis ialah kecacatan kepada lapisan paling luar gigi iaitu lapisan enamel. Fluorosis yang ringan akan menyebabkan garisan atau tompok putih terbentuk pada lapisan enamel dan ianya tidak berapa kelihatan. Fluorosis yang berat akan menyebabkan lekukan kepada enamel dan warnanya menjadi coklat.
Penggunaan Puting
Walaupun penggunaan puting boleh menyebabkan anak anda diam, penggunaannya secara berterusan adalah tidak digalakkan. Kebanyakan kanak-kanak berhenti menggunakan puting dengan sendiri semasa berumur antara 2 hingga 4 tahun. Walau apa pun, penggunaannya seharusnya dikurangkan bila anak anda mencecah umur 3 tahun, dan pastikan ianya tidak digunakan langsung bila anak anda berumur 6 tahun bila gigi kekal mula tumbuh. Ini adalah kerana puting boleh menyebabkan penyusunan gigi kekal tidak rata dan tidak cantik. Sekiranya puting dicelup dengan manisan, ia akan menyebabkan gigi anak anda mudah rosak. Juga pastikan tidak memberi anak – anak menggigit benda-benda keras kerana ia boleh mencederakan gigi dan gusi serta boleh menyebabkan gigi anak anda patah.
Kesimpulan
Penjagaan kesihatan pergigian bayi dan kanak-kanak memerlukan pemerhatian dan penjagaan awal yang teliti serta berkesan. Ia memerlukan ilmu pengetahuan, kesedaran dan keprihatinan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa/penjaga. Gigi yang sihat akan menyumbang kepada pertumbuhan kanak-kanak yang sihat dan seterusnya membentuk individu-individu yang cemerlang di dalam pelbagai bidang.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Dengan hanya RM20, banyak ilmu yang akan mama papa dapat. Yang paling best, akan dapat AKAUN SSPN secara automatik!
Jom daftar sekarang, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Akui Tak Cukup Tidur, Dr. Amalina & Suami Buat Sistem Syif Jaga Anak Tengah Malam

Umum mengetahui yang Dr. Amalina Che Bakri telah selamat melahirkan bayi perempuan baru-baru ini. Puteri sulunnya itu diberikan nama yang cukup indah, Arabella Mia. Ketika ditanyakan oleh follower di laman Instagram sama ada bayinya mengalami jaundis, dia melahirkan rasa syukur dan mengatakan Bella bebas demam kuning.
Artikel Menarik: [“Esok Mama Beli Trompet.” Anju Bagi Anak Semangat Belajar, Siap Main Gendang Kat Tepi!]

Pakar bedah ini juga memberitahu yang dia telah melahirkan secara anaknya secara vaginal birth. Ketika dipuji kerana memberi jawapan begitu, Dr. Amalina mengatakan kelahiran vagina mahupun melalui pembedahan kedua-duanya adalah normal. Paling penting bayi yang dilahirkan selamat dan sihat.
“Ayuh, raikan setiap ibu tanpa mengira kaedah kelahirannya.”

Berkongsi tentang tempoh berpantang, Dr. Amalina dengan jujur menjawab yang dirinya tidak melaluinya mengikut cara tradisional Melayu. Dia juga mengatakan akan berkongsi tentang cara penjagaan selepas bersalin dan bagaimana untuk kekal sihat dan cergas selepas bersalin.
Artikel Menarik: [“Bukan Mudah Besarkan Kami.” Buat Kejutan Untuk Parents, Hafiz Mahamad Belikan Kereta]

Katanya lagi, cara yang dia buat berdasarkan ubat-ubatan yang diyakini serta pengalamannya sebagai pakar bedah.
Mengakui yang dirinya dan suami tidak cukup tidur tetapi mereka mengamalkan sistem syif dan sentiasa bertukar giliran untuk menjaga bayi mereka. Katanya lagi, dia sudah tahu yang minggu-minggu pertama selepas melahirkan sedikit mencabar.
Artikel Menarik: [Tak Nak Lepas, Siap Tarik Muka & Cium. Bukan Main Manja Adelia Dengan Patti!]

Menurut Dr. Amalina yang dia akan megambil cuti bersalin selama 10 bulan mankala suaminya pula selama enam minggu. Tambah pakar bedah ini lagi, suaminya melakukan semua kerja termasuklah membersihkan, memasak dan menukar lampin dan pakaian anak mereka. Dr. Amalina bersyukur dan mengatakan yang dirinya hanya perlu fokus untuk menyusukan anak mereka.

Tak sabar nak tahu cara Dr. Amalina kekal bertenaga biarpun baru saja melahirkan. Menerusi foto yang dikongsi melalui laman Instagram, dirinya langsung tidak kelihatan seperti baharu selepas bersalin. Mungkin kerana Dr Amalina sangat menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat, jadi nampak bertenaga dan sihat saja. Semoga semuanya dipermudahkan ya Doktor!
Sumber: Instagram Dr. Amalina Che Bakri
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


