“Sah ke Solat Kalau Darah Tanda Bersalin Dah Keluar?” Mama Hamil Kena Ambil Tahu

Share

Apabila tanda bersalin muncul, ada di kalangan anda yang mengalami kantung ketuban pecah. Ada juga yang mengalami lendir darah keluar. Kemudian bermulalah episod kesakitan kontraksi.

Pasti ada yang tertanya-tanya, sekiranya lendir darah yang keluar sebagai tanda awal proses kelahiran, adakah masih perlu solat seperti biasa? Jawapannya ya! Hal ini kerana darah yang keluar itu bukannya darah wiladah (nifas).

Darah yang keluar sebelum anda melahirkan anak dikenali sebagai darah istihadhah. Ia termasuk dalam kategori bukan darah haid mahupun darah nifas. Hal ini bermakna anda belum lagi dalam hadas besar selagi belum melahirkan anak yang membolehkan anda tidak bersolat.

Darah yang bercampur lendir turut dikira sebagai darah istihadhah atau darah fasad atau darah penyakit yang mana ia masih mewajibkan anda untuk menunaikan solat ya. Sehubungan itu, jika anda yang sedang mengalami kesakitan mahu bersalin masih mampu berdiri, maka perlu solat seperti kebiasaannya. Wuduk pun perlu diambil seperti kelazimannya.

Walau bagaimanapun, bagi anda yang sudah tidak mampu untuk berdiri dan hanya berbaring di atas katil, anda dibolehkan untuk solat dalam keadaan duduk ataupun berbaring. Dalam keadaan sebegini, jika anda sudah terlalu lemah hingga tidak berupaya untuk bersuci dengan mengambil wuduk dan pada masa yang sama tempat solat (katil) sudah dicemari, ia dikira sebagai darurat yang mengharuskan perkara dilarang.

Namun, ia bukan bererti anda tidak perlu solat. Sebaliknya, hukumnya adalah harus untuk anda solat secara baring tanpa membersihkan diri sendiri, tempat solat mahupun mengambil wuduk. Anda diingatkan untuk tidak menangguhkan waktu solat selagi belum berjaya mengeluarkan bayi.

Bagi menutup aurat, memadai anda berselimut yang menutupi seluruh badan hingga ke kaki dan bertudung lengkap atau meletakkan kain yang dililit menutupi rambut.

Di saat anda melahirkan, darah wiladah atau nifas keluar. Ketika inilah anda berhadas besar. Dengan yang demikian, anda tidak perlu lagi menunaikan solat.

Langkah ringkas bersolat semasa beristihadhah

  1. Bersihkan bahagian intim di mana keluarnya darah berkenaan. Bersuci dengan sempurna
  2. Pakai tuala wanita.
  3. Ambil wuduk
  4. Solat sesegerayang boleh dan jangan bertangguh

Jika ada darah keluar semasa anda sedang bersolat, ia dimaafkan dan solat itu sah. Malah, wuduk wanita yang beristihadhah sah untuk satu solat fardu dan beberapa amalan sunat lain.

Published by
Intan Jastina