Saya melahirkan anak melalui pembedahan caesaraen dua tahun yang lalu dan menerima suntikan bius pada tulang belakang. Akhir-akhir ini, saya sering mengalami sakit belakang terutamanya di bahagian bawah berhampiran punggung. Saya tidak boleh berdiri lama dan mengangkat berat. Sakit akan berlarutan dua hingga tiga hari. Saya perlu berbaring dan berehat untuk melegakannya. Adakah sakit belakang saya alami ini berpunca daripada suntikan bius tersebut?

 

Masalah sakit belakang yang puan alami berlaku dua tahun selepas pembedahan caesarean kemungkinan besar tidak disebabkan oleh prosedur bius semasa bersalin. Terdapat dua jenis bius yang melibatkan suntikan di tulang belakang bagi pesakit yang bersalin melalui prosedur ini iaitu spinal anaesthesia dan epidural anaesthesia.

IKLAN

 Spinal anaesthesia lebih kerap digunakan dalam kes-kes pembedahan caesarean. Teknik memberi bius melalui spinal anaesthesia menggunakan jarum yang amat halus iaitu pencil point spinal needles meninggalkan kesan yang amat minimum kepada pesakit.

Bagi teknik epidural anaesthesia pula, garis pusat jarum lebih besar tetapi sakit belakang itu akan berlaku sejurus selepas pembedahan, bukannya dua tahun kemudian.

IKLAN

Tempat jarum spinal dan jarum epidural disuntik adalah lebih jauh iaitu atas daripada paras punggung! Puan menyatakan mengalami masalah sakit di bahagian bawah berhampiran punggung tetapi kawasan ini tidak pernah digunakan untuk prosedur bius bagi mana-mana pesakit yang melahirkan menerusi pembedahan caesarean.

Masalah sakit belakang atau low back pain yang puan alami perlu pemeriksaan dan rawatan pakar ortopedik. Kebanyakannya disebabkan oleh masalah otot.  Sesetengahnya akibat prolapsed intervertebral disc di mana kesakitan dari belakang akan menjalar ke kaki (sciatica). Jika masalah ini berlarutan tiga hingga empat minggu, puan perlu mendapatkan rawatan.  Ia sering berlaku apabila puan:

IKLAN
  1. Mengangkat barang yang berat.
  2. Selepas bekerja atau bersenam kuat.
  3. Duduk lama di kerusi yang tidak sesuai.
  4. Menyandang beg tangan yang berat.
  5. Duduk dengan postur badan yang salah.

Sekiranya mendapatkan rawatan, imbasan sinar X akan dilakukan. Rawatan fisioterapi adalah langkah pertama sebelum ubat-ubatan diberi. Langkah-langkah lain seperti yoga juga pernah digunakan untuk menguatkan otot dan kawasan tulang belakang. Pembedahan hanya dilakukan adalah untuk kes-kes tertentu. Berbincanglah dengan doktor sebelum memberi kebenaran untuk pembedahan

Soalan ini di jawab oleh Dr Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI