Ramai ibu-ibu mengalami masalah sakit belakang sama ada semasa hamil, selepas bersalin dan juga ketika dalam tempoh menyusukan si manja. Mungkinkah masalah sakit belakang ini berkait rapat dengan proses bersalin atau posisi penyusuan yang salah?
Ada ibu yang akan sakit belakang semasa menyusu walau pun sudah mengaplikasikan posisi penyusuan yang betul. Apa lagi langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sakit belakang?
Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Omar, ibu yang menghadapi masalah sakit belakang adalah biasa. Lebih-lebih lagi di kalangan wanita hamil. Lazimnya, sakit beransur hilang selepas dua minggu melahirkan. Walau bagaimanapun, ia boleh kembali menyerang apabila ibu mula mendukung bayi mereka setiap hari.
APABILA BERAT ANAK BERTAMBAH
Apabila bayi semakin meningkat usia, beratnya bertambah dan boleh menyebabkan sakit belakang. Berat berlebihan menyebabkan otot perlu bekerja lebih kuat dan meningkatkan tekanan pada sendi. Jadi, sakit belakang yang anda alami mungkin bukan sepenuhnya disebabkan oleh amalan penyusuan susu ibu.
Menjaga bayi boleh memberikan tekanan kepada belakang tubuh. Asalnya, anda mungkin mengangkat atau mendukung bayi seberat 3 hingga 4kg. Apabila bayi mencecah usia setahun, beratnya dianggarkan 8kg. Kemudian, beratnya meningkat 11 hingga 13kg. Jadi, kesemua berat ini menambah tekanan kepada belakang tubuh ibu!
TIDAK AMALKAN POSISI PENYUSUAN YANG BAIK
Kebanyakan ibu baru secara tidak sengaja menjadikan masalah sakit belakangnya lebih teruk seperti tidak mengamalkan posisi penyusuan yang baik semasa menyusu tanpa disedari.
Contohnya, ibu terlalu fokus untuk memastikan bayi melekap dengan betul sehingga salah duduk. Ia memberi tekanan kepada leher dan otot atas bahagian belakang tubuh sewaktu anda menunduk.
Ibu yang mengalami sakit belakang sebelum atau semasa hamil cenderung untuk mengalami semua sakit yang sama selepas bersalin terutamanya jika sakit itu teruk atau bermula pada awal usia kehamilan.
TUNGGU 6 MINGGU UNTUK BERSENAM BAGI IBU YANG BERSALIN CAESAREAN
Jika anda melahirkan bayi secara caesarean, tunggu sehingga minggu keenam kelahiran atau sehingga mendapat kebenaran doktor sebelum mula melakukan senaman.
Artikel berkaitan: [Menggigil, Kegatalan, Tekanan Darah Rendah & Sakit Kepala Kesan Sampingan Epidural. Ia Bukan Penyebab Sakit Belakang!]
WANITA BERLEBIHAN BERAT BADAN BERISIKO
Tambahan pula, risiko sakit belakang adalah lebih tinggi di kalangan wanita muda dan bagi mereka yang berat badan berlebihan.
LANGKAH ATASI SAKIT BELAKANG
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah sakit belakang:
Kedudukan tubuh ketika mendukung dan memberi bayi makan akan memberi kesan kepada apa yang bahagian belakang rasai. Sematkan dalam minda setiap hari:
*Beri tumpuan kepada postur dan sentiasa berdiri tegak.
*Duduk tegak. Fikirkan tentang postur apabila menyusukan bayi. Jika anda sakit belakang bahagian bawah, gunakan ganjal bagi memastikan kaki anda lebih tinggi daripada lantai.
*Pilih kerusi yang selesa yang mempunyai tempat letak tangan (armrest) dan gunakan banyak bantal sebagai sokongan tambahan kepada belakang dan lengan.
*Pelajari cara untuk posisikan diri ketika menyusu dan sentiasa rapatkan bayi ke payudara dan bukan sebaliknya. Cuba pelbagai posisi penyusuan yang berbeza-beza.
*Jika anda mengalami ketegangan di bahu dan bahagian atas belakang, posisi berbaring mungkin boleh memberi keselesaan.
*Sentiasa bengkokkan lutut sewaktu mengangkat objek dan bayi daripada posisi berlutut bagi mengurangkan tekanan kepada bahagian belakang.
*Biarkan orang lain mengangkat objek berat. Anda tidak sepatutnya mengangkat objek yang lebih berat daripada bayi sekurang-kurangnya untuk tempoh lapan minggu.
LAKUKAN 4 TIP RUTIN SENAMAN
1.Lakukan senaman lantai pelvis sebagai rutin harian bagi menguatkan otot belakang dan abdomen.
2. Biasakan diri melakukan senaman regangan tetapi elakkan pergerakan yang ekstrem.
3.Lakukan senaman untuk menguatkan otot abdomen dan meningkatkan fleksibiliti.
4.Berenang membantu menguatkan otot tanpa memberi tekanan pada sendi.
Kredit foto (top image): Freepik