Sakit nak bersalin memang luar biasa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Maka itu ada beberapa kaedah yang digunakan untuk mengurangkan sakit dan menjadi pelega buat ibu yang bakal bersalin.
Namun ada sesetengah keadaan yang membuatkan kita rasa takut dan bimbang untuk gunakan kaedah ini kerana kesan jangka masa panjang. Namun perkongsian daripada Dr Muhammad Izzat ini mungkin boleh mengubah persepsi ibu-ibu tentang penggunaan epidural ketika bersalin.
Ikuti perkongsiaannya!
“Pakai epidural saya sakit belakang bertahun-tahun lamanya lepas beranak! sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian takde guna !”
“Kakak kepada kakak angkat , sepupu belah ayah saya pakai epidural tu, dia lumpuh separuh badan pastu. Takot lak saya nak epidural”
“Takpa doktor, saya nak rasa sakit bersalin tu. Boleh hapuskan dosa” ( setengah jam lepas tu menangis mintak epidural )
“Suami saya tak bagi amek epidural tu, boleh sebabkan lumpuh katanya” – suami tak rasa pun sakit bersalin cmne, dia lak buat keputusan untuk bini yang bertarung dgn kesakitan tu.”
“Nenek saya dulu beranak tkda pun epidural segala bagai ni, elok jer dia !”
Ni antara sebab-sebab orang takmau epidural. Sakit bersalin bukan main main oi. Setakat contraction sikit sikit boleh senyum lagi. Cuba kalau sakit betul-betul datang tengok cmne.
Kalau terpotong hujung jari masa membawang pun dah kalut, belom lagi rasa sakit bersalin cmne
Epidural tu ape ?
Ads
Salah satu teknik pelega kesakitan yg diberikan untuk pesakit dalam konteks ini untuk orang nak bersalin lah. Ada je sebab-sebab lain boleh pakai epidural ni, memandangkan saya ni doktor bersalin, so saya cite apa yang saya tahu saja ye. Takda ler ianya hilangkan 100% kesakitan tu, tapi rasa sakit tu akan jadi kurang dan ibu rasa selesa dan tenang nak ‘bertarung’ untuk berjam-jam lamanya.
Ada satu plastik halus dimasukkan ke dalam ruang epidural L3-L4 atau L4-L5 Memakan masa 20 minit untuk nak buat dan 20 minit untuk bertindak balas. Dipasang oleh doktor bius, bukan doktor bersalin tau.
Perlu berjaga-jaga jika seseorang tu pernah buat pembedahan pada tulang belakang atau ada masalah pembekuan darah
Kalau da pasang epidural ni kena ada pemantauan graf jantung anak (CTG) secara terus menerus dan pemantauan tekanan darah ibu
Apa bagusnya epidural ?
💉Antara banyak-banyak cara untuk mengurangkan rasa bersalin ni, epidural adalah jenis yg terbaik.
💉Tak mengantuk. Baby dalam rahim pun tak mengantuk
Ads
💉Kalau perlu caesaerean, tak perlu ubat lain atau cucuk lain tempat untuk bius. Doktor akan ‘top up’ epidural sebelum caesarean dilakukan
Kesan buruk yang boleh timbul
Epidural tak berkesan mengurangkan sakit ( 1 dalam 10 )
Mengigil dan gatal-gatal
Tekanan darah menjadi terlampau rendah ( 1 dalam 50 )
Sakit kepala yang amat sangat ( 1 dalam 100 )
Gangguan sistem saraf sementara ( 1 dalam 1000)
Gangguan sistem saraf kekal ( 1 dalam 13000)
Jangkitan meningitis ( kurang 1 dalam 50000)
Dilaporkan bahawa hampir 25% ibu mengandung akan menghidapi sakit belakang sehingga 6 minggu selepas bersalin .Terdapat banyak kajian membandingkan ibu mengandung yang mendapat epidural dengan yang tak diberi epidural (hanya suntikan Pethidine sebagai penahan sakit) menunjukkan peratusan insiden sakit belakang yang SAMA dalam kedua-dua kumpulan. Kajian menunjukkan bahawa tiada perbezaan dalam insiden sakit belakang selepas bersalin diantara kumpulan ibu yang tak mendapat epidural dan ibu yang mendapat epidural pada hari pertama dan hari ketujuh selepas kelahiran. Namun 3 bulan selepas bersalin, ibu yang tak mendapat epidural pula lebih ramai yang masih sakit belakang berbanding yang mendapat epidural. Acaner tu? Tak dapat epidural pun sakit belakang ?
Sewaktu mengandung, perubahan hormon menyebabkan ligamen tulang termasuk ligamen di pelvis menjadi longgar dan memudahkan kecederaan terjadi kepada ibu.. Bayi dan rahim yang membesar boleh menekan saraf-saraf dalam rongga pelvis menyebabkan sakit belakang. Kandungan yang besar dan perubahan hormon juga menyebabkan perubahan kepada struktur tulang belakang (lebih melentik; lumbar lordosis) bagi menstabilkan pusat graviti ibu; malah proses tulang belakang untuk kembali ke kedudukan asal selepas bersalin itulah yang menyebabkan sakit belakang.
Sakit belakang antaranya disebabkan postur badan yang tak betul (jalan dan duduk membongkok), kurangnya senaman (tulang belakang jadi keras dan tak fleksibel), otot perut dan belakang (core muscles) yang lemah, cara kerja yang tertumpu kepada satu posisi (duduk lama di pejabat) dan cara mengangkat barang berat yang tak betul. Pendek kata, postur yang salah menyebabkan sakit belakang.
Penggunaan epidural semata-mata bukan punca utama sakit belakang. Betulkan fakta. Jangan dengar cakap cakap orang
Ads
Yang menanggung sakit bersalin tu awak. Bukan suami atau makcik bawang yang mengecam penggunaan epidural.
Satu lagi, bukan semua hospital ada servis epidural ini. Kalau ada pun, untuk pesakit tertentu bergantung kepada kakitangan bius yang ada untuk pemantauan. Tanya dulu ok?
Seperkara lagi, sakit memang ler penghapus dosa, tapi sakit nak bersalin ni bukan main-main untuk dicuba-cuba.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kepenatan menguruskan anak-anak dan rumahtangga ditambah pula dengan tugas dan tanggungjawab hakiki membuatkan emosi ibu jadi bercelaru. Selalu goyah, lagi-lagi saat anak sudah pun mula bersekolah. Jadual terlalu padat.
Bila kepenatan, tak dinafikan tangki emosi ibu jadi semakin berkurangan. Semuanya kerana penat. Menurut perkongsian Dr Taufiq Razif, usahakan untuk mewujudkan green space di rumah kita kerana inilah sebahagian tetapi untuk mood yang bercelaru.
Tak perlukan modal yang terlalu mahal pun, tip dan perkongsian untuk mewujudkan green space ini dikongsikan buat anda. Wajib cuba!
10 cara buat ‘Green Space’ di rumah kita. Sebelum tu kena tahu kenapa Green Space ni penting sangat terutamanya pada mak mak yang selalu sibuk menguruskan anak anak dan rumahtangga ni.
Green Space ni boleh :
– baiki mood
– jadi tempat time-out ibu ibu
– jadi tempat untuk escape sekejap
– legakan perasaan gelisah
Nak buat Green Space di rumah ni tak susah pun. Ni 10 cara untuk buat green space di rumah.
1. Buat taman di halaman depan atau belakang rumah. Boleh mula dengan tanam berbagai jenis bunga, atau sayur-sayuran di situ.
2. Gunakan pot atau wadah untuk menanam tanaman di dalam rumah. Boleh letakkan pot atau wadah ini di dekat tingkap rumah atau di atas meja agar tanaman dapat cukup sinar matahari.
3. Buat ‘green wall’ di dinding rumah. Mak mak semua boleh gunakan tanaman untuk menutupi dinding rumah, sehingga rumah terlihat lebih hijau dan segar.
4. Buat tamanan vertikal di dinding atau di sisi rumah. Mak mak semua boleh guna panel kayu atau plastik untuk tanam pokok secara vertikel di dinding rumah
5. Buat taman di atap rumah. Mak mak semua boleh menggunakan atap rumah sebagai tempat untuk menanam tanaman hiasan atau sayur-sayuran.
6. Buat taman kecil di balkoni atau teras rumah. Boleh gunakan pot atau wadah untuk menanam tanaman di balkoni atau teras rumah.
7. Buat green room atau ruangan hijau di rumah. Boleh letakkan tanaman di ruangan yang sering digunakan, seperti ruang tamu atau ruang keluarga, agar mak mak semua merasa lebih segar dan nyaman.
8. Buat taman indoor di dalam rumah. Mak mak semua dapat menggunakan taman indoor untuk menghiasi ruangan di dalam rumah, seperti ruang tamu atau ruang makan.
9. Buat taman bonsai di rumah. Taman bonsai merupakan taman kecil yang dibuat dari pohon-pohon kecil yang telah dipotong dan dibentuk menjadi bentuk yang sangat indah.
10. Buat taman aquascape di rumah. Taman aquascape adalah taman yang dibuat dengan menggunakan air dan tanaman yang hidup di dalam air.
Taman aquascape ni boleh menambahkan keindahan dalam rumah sebab siapa siapa yang ada aquascape dalam rumah memang nampak eksklusif dan mahal ruangannya.
“The earth has music for those who listen” – William Shakespeare.
Ada sesetengah ibu yang mahu melahirkan anak mungkin merasa was-was untuk menunaikan solat apabila sudah keluar ‘tanda’. Ketika mahu bersalin, ada dua ‘tanda’ yang mungkin berlaku pada si ibu sama ada keluar lendir bercampur darah mahupun lelehan air ketuban.
Jika ada tanda-tanda ini, adakah sah solat si ibu? Dipetik dari laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada jawapan untuk persoalan ini.
Soalan:
Assalamualaikum SS Dr. Apakah hukum bagi wanita yang keluar darah bercampur lendir beberapa hari sebelum bersalin? Adakah dia perlu mandi wajib dan bersolat? Bagaimana pula sekiranya air ketuban keluar secara berterusan sebelum bersalin?
Jawapan:
Waalaikumussalam WRM W.B.T. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة، ثم يكون علقة مثل ذلك، ثم يكون مضغة مثل ذلك، ثم يرسل الله إليه الملك، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات: بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)
Hadis di atas menerangkan tentang proses kejadian manusia mengikut peringkat-peringkat tertentu di dalam rahim ibu sehinggalah proses kelahiran. Pakar perubatan mengatakan antara tanda-tanda awal proses kelahiran ialah keluar lendir bercampur darah keluar dari faraj, pecah air ketuban, sakit semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang.
Berdasarkan persoalan di atas, apakah hukum lendir bercampur darah dan air ketuban yang keluar sebelum proses kelahiran ini?
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita
Ulama’ membahagikan darah yang keluar daripada faraj wanita kepada beberapa kategori, di antaranya:
Pertama: Haid
Darah haid ialah darah tabi’e (semula jadi) yang keluar daripada pangkal rahim perempuan yakni darah itu keluar daripada rahim yang terletak di bahagian bawah saluran kencingnya semasa waktu sihatnya dan ia keluar pada hari-hari haid iaitu dalam tempoh haid selepas dia mencapai peringkat umur baligh. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 36).
Kedua: Nifas
Darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim perempuan ssetelah kosongnya rahim tersebut (tempat peranakan) daripada janin atau ketulan darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin, yakni walaupun yang keluar daripada tempat peranakan itu ialah ketulan darah (alaqah) atau ketulan daging (mudghah). (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Izalah al-Iltibas, hlm.803).
Ketiga: Istihadhah
Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar daripada azal (hujung urat) yang berada di bawah rahim selepas tempoh sebanyak-banyak haid dan selepas tempoh sebanyak-banyak nifas, sama ada keluarnya istihadhah itu mengiringi kesan (bekas) darah haid atau tidak mengiringi darah haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 214).
Pertama: Sama ada darah tersebut keluar berterusan selepas haid atau nifas yakni melebihi tempoh sebanyak-banyak haid atau nifas.
Kedua: Darah tersebut keluar bukan selepas haid atau nifas tetapi ia tidak memenuhi mana-mana syarat haid. (Rujuk: Izalah al-Iltibas, hlm. 219).
Hukum darah yang keluar dari faraj wanita sebelum bersalin:
Secara kebiasaannya para ibu akan mengalami darah bercampur lendir keluar daripada rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran servik atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung bayi dari dinding rahim bahagian bawah. Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim.
Darah yang keluar kerana sakit hendak beranak ini dinamakan dam al-thalaq iaitu darah sakit hendak beranak. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Menurut pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie, darah yang keluar daripada faraj wanita sebelum beranak bukanlah dalam kategori darah haid atau darah nifas tetapi ia adalah darah fasad. Ini juga adalah pandangan ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383; Al-’Inayah Syarh al-Hidayah, 1/165; Al-Insof, 1/392).
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan darah yang kelihatan (keluar) kerana al-thalaq (kesakitan beranak) itu bukanlah darah nifas dan bukan juga darah haid mengikut pendapat yang sahih”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 1/175)
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Darah ini tidak dinamakan darah haid atau darah nifas kerana ia merupakan kesan daripada kesakitan hendak beranak. Dan juga tidak dinamakan darah nifas kerana darah tersebut keluar sebelum kelahiran sepenuhnya anak tersebut yakni darah itu keluar bersama keluarnya anak. Jadi kedua-dua darah tersebut ialah darah yang keluar semasa sakit hendak beranak dan darah yang keluar bersama kelahiran anak adalah dam al-thalaq (darah rosak) kecuali sekiranya darah tersebut berhubung dengan darah haid yang sebelumnya, maka ia dihukumkan darah haid (sekiranya menepati syarat-syarat haid)”. (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, 1/383).
Justeru, di sisi mazhab Syafie hukum darah yang keluar sebelum bersalin ialah darah fasad (rosak) dan bukannya darah haid atau darah nifas. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan darah haid sebelum itu dan mencukupi syarat-syarat darah haid maka ia dianggap darah haid kerana wanita yang hamil juga didatangi haid menurut pandangan yang sahih dalam mazhab syafie . (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/355).
Oleh itu, hukumnya adalah seperti hukum orang yang beristihadhah iaitu wajib bagi wanita tersebut membersihkan diri daripada najis, berwudhuk dan mengerjakan solat seperti biasa. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:
عن عائشة رضي الله عنها قالت: (جاءت فاطمة بنت أبي حبيش إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقالت: يا رسول، إني امرأة أستحاض فلا أطهر، أفأَدَعُ الصلاة؟ قال: ((لا، إنما ذلك عِرْقٌ وليس بحيضٍ، فإذا أقبَلَت حيضتُك فدَعِي الصلاة، وإذا أدبَرَت فاغسلي عنك الدم ثم صلِّي )
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Telah datang Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Rasulullah S.A.W dan berkata: “Wahai Rasululullah, aku adalah seorang perempuan yang beristihadhah dan oleh kerana itu, aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi S.A.W: “Janganlah kamu meninggalkan solat, hanyasanya istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang, maka engkau tinggalkanlah solat dan apabila ia putus yakni berhenti, maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut dengan mandi dan hendaklah engkau menunaikan solat”.
Riwayat al-Bukhari (255)
Justeru, wajib bagi orang yang beristihadhah atau orang mengambil hukum istihadhah melakukan perkara berikut sebelum menunaikan solat:
#Membasuh faraj.
#Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
#Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
#Bersuci dengan berwudhuk atau bertayammum. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/278)
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Definisi Air Ketuban
Air ketuban atau dikenali sebagai cecair amniotik dalam istilah perubatan ialah cecair jernih yang berwarna agak kekuningan yang meliputi janin di dalam rahim sepanjang proses kehamilan, ia berada di dalam kantung ketuban dan mempunyai banyak fungsi. Rujuk: https://en.wikipedia.org/wiki/Amniotic_fluid
Antara fungsi cecair amniotik ialah :
ia melindungi bayi anda daripada tercedera sekiranya sesuatu menghentak perutanda atau jika perut anda dihempap sesuatu;
ia membantu sistem paru-paru dan sistem pencernaan bayi untuk matang;
ia melindungi bayi anda daripada jangkitan.
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin
Para ulama’ mengatakan bahawa air ketuban tidak termasuk dalam kategori nifas, kerana darah nifas ialah darah yang keluar daripada rahim wanita. Sedangkan air ketuban ialah ialah cecair yang berada dalam kantung ketuban yang meliputi janin. Justeru air itu keluar akibat daripada pecahnya kantung ketuban untuk memudahkan proses bersalin.
Di sisi mazhab Syafie hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk kerana semua perkara yang keluar daripada dua jalan adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Ini juga adalah pandangan jumhur ulama’ dan pandangan yang muktamad di sisi mazhab Maliki. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111; Bada’ie al-Sona’ie, 1/24; Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/73).
Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Salah satu daripadanya (perkara yang membatalkan wudhuk) ialah keluarnya sesuatu daripada qubul dan dubur kecuali mani. Yang dimaksudkan sesuatu itu ialah keluar sesuatu samada dalam bentuk zat (ain) atau angin, yang suci yang atau yang bernajis, yang kering atau basah, yang keluar secara kebiaasaan seperti seperti kencing atau secara jarang-jarang, yang sedikit atau banyak, yang keluar secara semulajadi atau dipaksa”. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/111).
Berkata Imam al-Dasuqi: “Dan wajib berwudhuk apabila keluarnya ia (air ketuban) iaitu darah putih yang keluar ketika dekatnya proses bersalin kerana hukumnya sama seperti hukum air kencing”. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/286).
Justeru, di sisi mazhab Syafie, hukum air ketuban adalah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwudhuk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering. Namun sebegitu, sekiranya air ketuban itu berterusan keluar, maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah, maka diwajibkan bagi para wanita menjaga beberapa perkara sebelum menunaikan solat sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.
Cara Mengerjakan Solat Ketika Sakit
Oleh itu, tetap diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat ketika dia sakit hendak beranak, walaupun setelah keluar air ketuban atau darah daripada faraj sebelum beranak kerana darah itu dihukumkan sebagai darah rosak.
Sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri, maka solat secara duduk, sekiranya tidak mampu maka solat secara mengiring di atas lambung kanan, sekiranya tidak mampu maka solat secara berbaring menelentang dan sekiranya tidak mampu maka solat melalui isyarat mata. Hal ini sebagaimana hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A berkata, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkenaan solat. Baginda S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring di atas lambung kanan.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Namun begitu, sekiranya keadaannya sangat sakit sehingga tidak mampu untuk mengerjakan solat, maka wajib ke atas wanita itu menqadha’ solatnya kelak.
Kesimpulan
Tuntasnya setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Di sisi mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin atau dam al-thalaq dihukumkan sebagai darah fasad (rosak) iaitu hukumnya seperti hukum istihadhah. Justeru diwajibkan ke atas wanita untuk menunaikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur. Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).
Hukum air ketuban yang keluar sebelum bersalin ialah najis dan boleh membatalkan wudhuk. Oleh itu diwajibkan ke atas wanita untuk bersuci kemudiannya menunaikan solat setelah air ketubannya kering. Namun sekiranya air ketuban itu keluar secara berterusan maka hukumnya adalah seperti hukum istihadhah.
Diwajibkan bagi wanita yang mengalami keadaan-keadaan istihadhah seperti yang telah disebutkan sebelum ini untuk menjaga beberapa perkara yang perlu dijaga oleh seseorang yang beristihadhah sebelum menunaikan solat (sebagaimana yang telah disebutkan di atas).
Sekiranya seseorang wanita tidak mampu untuk menunaikan solat kerana sakit hendak beranak, maka hendaklah dia solat mengikut kemampuannya iaitu samada solat secara duduk atau berbaring di atas lambung kanan atau berbaring menelentang atau melalui isyarat mata. Namun sekiranya dia tetap tidak mampu untuk bersolat, maka wajib ke atasnya untuk menqadha’ solatnya itu kelak. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Bila nak solat, ibu perlu merasa selesa. Klik SINI untuk rahsia solat lebih khusyuk dan menenangkan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Salah satu cara mengurangkan sakit kontraksi di dalam bilik bersalin ialah dengan menggunakan gas entonoks. Anda perlu tahu cara yang betul menggunakannya supaya rasa sakit yang dialami dapat dikurangkan. Salah cara sedut, tiada gunanya.
Perlu diingatkan bahawa gas entonoks hanya membantu mengurangkan rasa sakit dan bukan menghilangkannya 100%. Jika kesakitan yang dilalui tidak juga berkurangan, anda boleh memilih alternatif penahan sakit lain yang ditawarkan oleh pihak hospital.
Ada pakar menyarankan gas ini diambil pada saat akhir fasa kelahiran. Jom ketahui dengan lebih lanjut apa itu sebenarnya gas entonoks.
1. Sedut sebelum kontraksi
Gas entonoks turut dikenali sebagai laughing gas. Ia terdiri daripada gabungan nitrus oksida dan oksigen. Jika mahu menggunakan gas ini, anda hanya perlu menyedutnya menggunakan topeng hidung dan mulut.
Memandangkan ia dinamakan sebagai laughing gas, ia mampu membuatkan anda rasa lebih tenang lalu mengurangkan rasa sakit ketika kontraksi bersalin.
2. Tidak beri kesan kepada bayi dalam kandungan
Dengan menyedut gas entonoks, ada yang berjaya mengawal kesakitan yang dialami ketika proses bersalin. Perlu anda tahu bahawa gas entonoks adalah pilihan penahan sakit yang lebih murah berbanding pethidine dan epidural. Malah ia paling selamat dan tidak memberi kesan kepada bayi.
Anda seharusnya menarik nafas dalam-dalam dengan menyedut gas ini sebelum kontraksi datang secara berkala. Penggunaannya, anda sendiri tentukan dan minta bantuan jururawat atau doktor untuk membetulkan jika cara yang anda gunakan adalah salah.
3. Ada yang terkena kesan sampingan
Biarpun penggunaan entonoks adalah selamat, masih ada segenlintir wanita yang mengalami kesan sampingan selepas menggunakannya. Antara kesan yang dirasai ialah sakit kepala, pening, khayal atau mual mahupun loya.
Walaupun begitu, anda tidak perlu risau kerana kesan yang dirasakan ini adalah terkawal dan akan hilang dalam masa beberapa jam. Oleh yang demikian, ada baiknya anda pegang sendiri topeng hidung dan mulut supaya lebih mudah mengawal dos pengambilan yang bersesuaian.
4. Langkah betul gunakannya
Ada yang berpendapat penggunaan gas entonoks tidak begitu membantu mengurangkan rasa sakit bersalin. Ada yang menganggap ia tidak serasi dengan tubuh. Namun, apa.yang pasti ialah dalam kebanyakan kes, ia tidak digunakan dengan betul.
Pastikan lekapan topeng hidung dan mulut yang dipakai adalah kedap. Kemudian, sedut perlahan-lahan sebelum kontraksi datang. Sedut dalam-dalam sehingga rasa sakit semakin berkurangan. Elakkan daripada menyedutnya terus-menerus kerana ia boleh menyebabkan anda terlebih dos lalu berasa khayal dan hilang tumpuan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa je yang tak nak hubungan suami isteri sentiasa bahagia, penuh kasih sayang dan rasa dihargai, kan? Setiap pasangan pasti impikan rumahtangga yang penuh...