Kesihatan

Sakit Buang Air Kecil, Bengkak Hujung Kemaluan Mungkin Tanda Anak Lelaki Ada Masalah Phimosis. Mak Ayah Kena Peka

Share

‘Lamanya Adam dalam tandas..kencing je pun’

‘Adam kata sakit sikit masa kencing tapi saya tengok tak ada apa apa pun’

‘Eh, kenapa ye bila Adam kencing macam ada bengkak kat hujung?’

‘ Haih..Adam demam lagi..asyik kena jangkitan air kencing je’

Pernahkah persoalan-persoalan seperti di atas bermain-main di fikiran anda? Tambahan pula bila melihat kemaluan anak lelaki atau zakar si kecil yang kembang pada hujungnya dan menjadi seakan belon yang hendak meletup.

Bukan itu sahaja, jangkitan air kencing juga antara penyebab si kecil sering demam dan tidak sihat. Apakah ada sesuatu yang tidak kena pada kemaluan mereka? Jika itu yang berlaku kepada anak lelaki anda, keadaan tersebut dikenali sebagai Phimosis yang mana ia boleh berlaku kepada kanak-kanak lelaki. Dr Shazly Bin Safian, Pakar Bedah Am dari Pantai Hospital Laguna Merbok mengulas lanjut mengenai permasalahan ini.

Apa itu Phimosis?

 Senario di atas merupakan perkara yang biasa dilalui oleh para ibu bapa yang mempunyai anak lelaki. Sekiranya anak-anak lelaki ada melalui keadaan seperti di atas, ada kemungkinan besar mereka mempunyai masalah ‘phimosis’.

‘Phimosis’ merupakan satu keadaan di mana ‘prepuce’ atau kulit di bahagian kemaluan lelaki tidak dapat ditarik ke belakang melepasi ‘glans penis’ atau kepala zakar. Phimosis terbahagi kepada dua, iaitu ‘physiological phimosis’ dan ‘pathological phimosis’.

Menurut Dr Shazly, adalah normal kulit tersebut tidak dapat ditarik ke belakang sehingga sekurang-kurangnya umur 3 tahun dan ini dianggap sebagai ‘physiological phimosis’. Namun, apabila seseorang kanak kanak lelaki menghadapi masalah kencing, maka ia dianggap sebagai ‘pathological phimosis’.

Bagaimana masalah ini boleh berlaku?

 “’Pathological phimosis’ kebiasaannya berlaku apabila bukaan bahagian hujung kulit kemaluan menjadi sempit. Bukaan yang sempit menyukarkan air kencing untuk keluar dan keadaan ini biasa berlaku sekiranya kanak-kanak tersebut pernah mendapat jangkitan di kawasan tersebut atau terdapat terlalu banyak ‘smegma’ dibahagian ‘glans penis’. Smegma merupakan sel sel mati dan rembesan minyak dari kulit dan berwarna putih. Smegma yang terlalu banyak adalah punca pembiakan bakteria dan seterusnya jangkitan di bahagian kemaluan.” Kata Dr Shazly.

Info ringkas tentang Smegma berlebihan :

  • Jika anda tidak membersihkan kulup secara rutin, sejenis bahan putih yang dikenali sebagai smegma akan terkumpul dibawah kulup di bahagian kepala zakar.
  • Smegma adalah sel-sel lama yang sentisa terbentuk dibawah kulup apabila sel baru terbentuk.
  • Smegma boleh dibersihkan dengan senang saja sepertimana yang disebut di atas.
  • Jika tidak ia boleh terkumpul dengan banyak dan menyebabkan rasa gatal dan kurang keselesaan.

Apakah tanda-tanda yang akan dialami oleh pesakit?

 Antara tanda-tanda kanak-kanak lelaki menghidap phimosis adalah kerap berlaku jangkitan di bahagian kemaluan dimana kulit menjadi merah, kerap mendapat jangkitan air kencing, selalu mengadu sakit ketika hendak kencing dan apabila kencing, kulit dibahagian hujung mengembung sebelum air kencing keluar atau dalam bahasa perubatan ‘ballooning’ berlaku.

 Apa yang perlu anda lakukan jika didapati anda mengalami masalah phimosis ?

 Sebaiknya, jumpa dengan doktor untuk pendapat. Bagi mengelakkan berlakunya phimosis, ibu bapa seharusnya perlu menarik sedikit kulit kemaluan ke belakang dan membersihkan bahagian hujung kulit itu. Perlu diingatkan untuk tidak menarik terlalu kuat kerana ia akan menyebabkan kesakitan.

Rawatan Pilihan

Cara untuk merawat kanak-kanak lelaki yang menghidap phimosis adalah dengan ‘circumcision’ atau sunat. Bagi kanak-kanak yang boleh memberi kerjasama, prosedur ini boleh dilakukan secara bius setempat, jika tidak ia akan dilakukan di dalam dewan bedah dengan bius penuh.

Alternatif yang lebih baik, adalah sunat ketika masih bayi, seawal hari kedua kelahiran. Prosedur hanya mengambil masa 15 minit, dilakukan dengan bius setempat dan proses penyembuhan yang sangat cepat, seawal 7 hari sama dengan tertanggalnya tali pusat.

Cara mengelakkannya?

Elakkan penggunaan sabun yang terlalu kuat untuk mencuci kulup. Jangan terlalu kasar apabila menarik kulup. Oleh itu, disarankan ibu bapa membawa anak anak berjumpa dengan doktor sekiranya terdapat mana-mana simtom seperti di atas agar pemeriksaan dan rawatan yang sepatutnya dapat diberikan.

 

Published by
SAHR