Sakit perut yang teramat sangat tidak boleh dipandang ringan oleh ibu hamil. Perkongsian ini diharapkan boleh dijadikan panduan, betapa pentingnya tindakan segera sekiranya terjadinya sesuatu di luar kebiasaan semasa hamil.
Dr Afiq Rahim berkongsi mengenai kes uri terkoyak yang pernah dialami pesakitnya. Suasana cemas si ibu kesakitan memerlukan tindakan pantas kerana melibatkan dua nyawa iaitu ibu dan anak.
“Doktor, ada patient sakit perut” misi saya menelefon saya dalam nada yang sangat cemas.
Seperti ada pisau dilehernya. Nadanya cemas dan ketakutan.
“Berapa minggu dah kehamilan pesakit?” Saya bertanya.
“Dalam 32 minggu kehamilan doc. Saya dalam perjalanan ke klinik ni.”
Saya yang baru sahaja pulang daripada gotong royong mengecat bangunan klinik dalam pakaian yang masih bercat terus bergegas ke klinik kami.
Hari Jumaat. Menghampiri waktu solat jumaat pastinya kes yang dirujuk misi adalah kes yang memerlukan perhatian kami. Jika tidak, boleh sahaja ditangguh selepas solat.
Ambulans dipandu laju ke perkarangan kecemasan. Melihat kelibat ambulans dalam keadaan kelam kabut, pastinya petanda situasi bahaya.
Kelibat ambulans tersebut mengimbau pengalaman saya menguruskan pesakit kemalangan ngeri motorsikal semasa banjir 2014. Kisah selepas itu menjadi lagenda.
Dalam suasana cemas, misi saya menolak pesakit di atas katil ke dalam klinik kami. Pesakit kelihatan mengerang kesakitan dan memegang perut buntingnya.
“Masukkan dua branula hijau, periksa vital signs (tekanan darah, nadi dan oksigen) cepat!” Saya segera memberikan panduan kepada pasukan saya.
Pasukan kecil saya di klinik kesihatan terdiri hanya saya, seorang jururawat terlatih dan jururawat masyarakat. Maka semua perkara penting peringkat awal pengurusan kes kecemasan perlu dilaksanakan segera.
Saya membelek sekali imbas buku pink beliau untuk mengetahui status kesihatannya sebelum ini.
Hati saya sudah merasa tidak selesa melihat keadaannya.
Apakah uri koyak?
Apakah uri koyak?
Apakah uri koyak?
Itulah yang bermain di minda gelisah saya.
Uri Koyak atau Placenta Abruptio adalah antara kes yang paling merbahaya dalam rangking kes-kes kecemasan ibu mengandung. Ini kerana dalam sekelip mata, nyawa anak dan janin boleh dijemput malaikat maut.
Selepas memastikan tanda-tanda penting nyawanya selamat, saya menolaknya ke bilik scan.
Dalam keadaan penuh tekanan, saya melakukan ultrasound scan ringkas pada perutnya dan jelas kelihatan tanda uri koyak iaitu ‘retroplacenta clots’. Alhamdulillah, degup jantung anaknya masih ada dan kelihatan kuat.
Pantas saya mencapai telefon dan menghubungi dewan bersalin untuk memaklumkan situasi semasa.
Kemudian kami membawa pesakit menaiki ambulans ke dewan bersalin hospital berpakar.
Tekanan darahnya mula menunjukkan tanda-tanda kehilangan darah (shock) di dalam ambulans maka saya kawal tekanan tersebut dengan air Normal Saline.
Sampai sahaja ke muka pintu, jururawat dewan bersalin, pegawai perubatan dan pasukan mereka segera mengambil alih kes daripada kami.
Dalam masa singkat, pembedahan kecemasan (Emergency Cesarean Section) terpaksa dilakukan demi menyelamatkan. Status bayinya tidak saya ingati.
Namun saya yakin, bayi dan ibu tersebut selamat. Ini kerana jika tidak, akan sampai surat jemputan kepada kami untuk ke audit kematian ibu dan anak jika perkara buruk terjadi kepada mereka.
Dalam perjalanan pulang, jururawat terlatih saya sempat berkongsi ilmu dan pengalamannya kepada jururawat masyarakat kami.
Katanya “Jika ibu mengandung mengadu sakit perut yang teramat sangat, rujuk kepada doktor segera”.
Saya juga menyampuk, “Betul. Kes sebegini jika kita gagal kesan awal bukan satu nyawa yang melayang bahkan kedua-duanya”.
Adakala doktor dan misi terpaksa mengangkat suara ketika berhubung antara satu sama lain dan tindak pantas yang kelihatan seolah-olah bertindak ganas atau gopoh.
Walau bagaimanapun, pada setiap prosedur, etika dan profesionalisme tetap perlu kami patuhi.
Tular kisah kematian bayi kerana misi tolak masuk kepala bayi semasa meneran. Lalu bayi tersebut meninggal dunia. Apabila diselidik, kes tersebut adalah kes uri koyak.
Tahukah anda, koyakan pada uri walaupun beberapa milimeter sahaja boleh mengorbankan janin yang dikandung. Kebiasaanya janin akan mati dahulu akibat kehilangan darah diikuti si ibu.
Oleh itu, kita perlu dengar dan pastikan kesahihan daripada kedua-dua pihak.
Namun, jika ada kekurangan di pihak hospital atau klinik maka sila salurkan kepada kepada pihak aduan yang sepatutnya.
Semoga cerita ini juga memberi panduan kepada para ibu yang sedang hamil untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah.
Jangan tunggu sehingga keadaan malang berlaku ibarat nasi menjadi bubur.
Juga peringatan buat kami di kesihatan agar sentiasa bersikap professional dan mematuhi etika yang ditetapkan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada anda.
Sumber: Dr Afiq Rahim