Perubahan fizikal yang dialami sepanjang tempoh kehamilan adalah antara faktor penyebab yang menjurus kepada masalah sakit pinggang selepas bersalin. Jadi, tidak hairanlah, ada di kalangan anda yang mengeluh berkenaan hal ini walaupun setelah beberapa bulan selamat melahirkan anak.
Bagi mengatasi masalah ini, ada beberapa panduan yang boleh anda guna pakai. Serba sedikit ia dapat membantu anda mengurangkan kesakitan yang dialami daripada menjadi lebih teruk.
Elakkan membongkok semasa menyusu
Aplikasikan postur tubuh yang selesa semasa menyusukan bayi. Ada baiknya anda mengelakkan diri daripada membongkokkan badan ke arah bayi semasa menyusukannya.
Dalam pada itu, anda digalakkan untuk menggunakan bantal menyusu yang sangat berkesan dalam memberikan keselesaan kepada anda dan bayi semasa sesi penyusuan berlangsung. Jagalah postur semasa menyusukan bayi supaya anda tidak terus berasa sakit pinggang.
Hindari daripada aktiviti mengangkat benda berat
Jangan biarkan diri anda daripada mengangkat benda-benda yang berat. Adalah dinasihatkan supaya anda memastikan benda paling berat yang diangkat cuma bayi sahaja. Jika benda itu lebih berat daripada bayi, dapatkan pertolongan orang lain.
Dapatkan sumber kalsium yang cukup
Oleh yang demikian, ambil makanan dan minuman yang kaya dengan kalsium. Jika bimbang, amalan pemakanan harian anda tidak mampu menampung keperluan itu, tidak salah jika anda mengambil suplemen kalsium.
Namun, pastikan suplemen kalsium tersebut turut mengandungi vitamin D dan magnesium. Hal ini kerana suplemen magnesium dapat membantu sistem dalam tubuh anda merehatkan otot. Jadi, secara tidak langsung, ia dapat membantu anda mengurangkan sakit pinggang lepas bersalin.
Berurut dan bertungku
Pastikan anda melakukan urutan selepas bersalin bagi melancarkan penyaluran darah dalam tubuh. Dapatkan khidmat urutan dan bertungku supaya tubuh berasa lebih selesa terutamanya di bahagianya pinggang.
Pakai bengkung
Pemakaian bengkung yang kemas dan selesa dapat membantu mengurangkan sakit pinggang selepas bersalin. Hal ini disebabkan pemakaian bengkung dapat mendorong postur tubuh anda menjadi lebih kemas.