Benarkah limau mandarin penyebab batuk? Benar. Kulit limau Mandarin mengandungi bahan kimia sulfur dioksida (SO2). Bahan kimia SO2 ini digunakan sebagai pengawet (dalam bentuk gas atau garam terbitan) pada buah limau Mandarin bertujuan mengekalkan kesegaran dengan mengelakkan kulitnya berubah keperangan, juga menghalang pertumbuhan kulat.
Namun, jumlah SO2 yang digunakan adalah sedikit iaitu tidak melebihi dari dos yang dibenarkan (30 mg/kg) oleh badan bertanggungjawab antarabangsa.
SO2 dalam kuantiti yang sedikit ini pada kulit limau, tidak akan mendatangkan bahaya kerana badan kita mampu untuk detox secara semulajadi. Ianya selamat, sebab itu ianya dibenarkan sebagai pengawet pada makanan.
Cuma mungkin sebab limau Mandarin biasanya banyak dijual dengan harga yang murah semasa Tahun Baru Cina, belum lagi yang dapat berkotak-kotak secara percuma. Sudahnya buah limau yang dimakan juga mungkin berlebihan. Jadi tidak hairan jika ada individu yang berasa sakit tekak, batuk, sakit dada atau kesukaran bernafas apabila mengambil limau Mandarin ini.
Sebenarnya selain daripada penggunaan pada limau Mandarin, bahan kimia pengawet SO2 juga digunakan dalam buah kering seperti kismis, prune, juga dalam minuman berkarbonat dan beralkohol. Namun, apa-apa produk makanan yang mengandungi bahan kimia SO2 wajib meletakkannya pada label sebagai panduan untuk individu yang sensitif.
Ini kerana individu yang sangat senietif kepada SO2 terutamanya mereka yang mempunyai penyakit asthma berpotensi berhadapan dengan masalah pernafasan yang kronik.
Cuma biasanya pada kotak limau Mandarin tiada dilabel penggunaan bahan kimia SO2 ini. Maka, cara mudah untuk membuangnya adalah mencuci terlebih dahulu buah limau Mandarin dengan air sebelum dimakan. Ini kerana bahan kimia SO2 mudah larut air (H2O) membentuk bahan kimia asid sulfurus, sejenis asid lemah.
SO2(g) + H2O(l) –> H2SO3(aq)
Merendam seketika (10 minit) dengan air garam/ baking soda diikuti dengan bilasan air bukan saja boleh membuang pengawet, malah saki baki racun perosak (pesticide) yang terdapat pada sayur atau buah lain juga.
Untuk individu yang kuat sistem daya tahan badannya, tiada masalah untuk kopek dan makan terus saja limau Mandarin ini. Di sinilah perlunya kita memerhati dan ambil tahu tindakbalas badan sendiri terhadap apa juga jenis makanan yang dimakan. Ingat, tidak semestinya jika anda terkesan dengan SO2, orang lain juga akan mengalami kesan yang sama. Juga tidak semestinya anda yang tidak terkesan, mentidakkan kesannya kepada individu sensitif lain. Usah pukul rata ya.
Musim perayaan ini, berpada-padalah ya. Jika badan sudah mula memberikan maklumbalas, maka sedarlah. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat!
Fakta menarik mengenai bahan kimia semulajadi dalam limau Mandarin:
• Rasa manis isi limau disumbangkan oleh gula ringkas semulajadi seperti fruktosa, glukosa dan sukrosa. Rasa masam pula disumbangkan oleh bahan kimia bersifat asid terutamanya asid sitrik. Rasa manis dan masam ini perlu seimbang untuk memberikan rasa limau yang sedap dinikmati.
• Isi limau Mandarin kaya dengan serat, protein dan pelbagai jenis vitamin (A, B, C, E), serta mineral (kalsium, magnesium, phosporus, potassium). Ianya juga kaya dengan fitokimia bersifat antioksida seperti flavonoids dan phenolic acids.
• Warna oren kekuningan limau Mandarin adalah disumbangkan oleh bahan kimia pigmen beta-cryptoxanthin.
• Bau limau Mandarin adalah disebabkan oleh bahan kimia meruap seperti thymol, dimethylanthranilate, gamma-terpinene dan beta-pinene yang terbebas semasa kulitnya dikupas.
Kredit: ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Anak belum lancar membaca? Belajar cara mudah nak ajar anak tanpa perlu rasa stres, daftar secara percuma di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-cepat-belajar/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI