Pengalaman bersalin setiap ibu adalah berbeza. Begitu juga dengan pengalaman bersalinkan setiap anak, tentu juga berbeza. Ada yang mengalami sakit bersalin dan ada juga yang bernasib baik melahirkan anak tanpa masalah.
Salah satu sebab ibu tidak mengalami kesukaran semasa bersalin adalah kerana terdapat teknik yang boleh diamalkan untuk mengurangkan rasa sakit semasa bersalin. Persediaan awal adalah penting bagi membantu ibu mengatasi rasa sakit hendak bersalin.
Mengapa ibu hamil akan merasai sakit bersalin?
Sakit bersalin adalah normal untuk setiap ibu hamil. Ini kerana otot badan ketika proses kelahiran, akan bekerja keras untuk mengeluarkan bayi di dalam rahim. Kontraksi pada otot rahim dan tekanan pada serviks semasa tempoh bersalin akan membuatkan anda mengalami ketegangan pada bahagian abdomen, pangkal paha dan belakang badan.
Selain itu, bakal ibu juga akan rasa sakit hendak bersalin kerana berlakunya tekanan pada kantung dan usus yang menyebabkan kepala bayi semakin meregang ke arah tempat kelahiran.
Ads
Tips atasi kesakitan semasa bersalin
1. Suntik persekitaran kelahiran yang menenangkan. Semasa hampir tempoh kelahiran, pasangkan alunan zikir dan lagu yang menenangkan anda. Selain itu, peralatan untuk bersalin juga mestilah yang dapat membantu anda memudahkan kelahiran seperti tilam yang lembut. Jika anda bercadang untuk bersalin dengan posisi yang berbeza, sediakan peralatan yang perlu seperti bola kelahiran atau bangku kecil. Walau bagaimanapun, pastikan polisi hospital bersalin anda membenarkan anda untuk mencuba posisi berbeza.
2. Lengkapkan diri dengan ilmu bersalin sebelum tempoh kelahiran anda. Anda boleh dapatkannya melalui buku, majalah, laman sesawang, video, kelas pranatal atau bertanya kepada doktor. Pelbagai informasi dapat membantu anda menghadapi keadaan semasa bersalin.
Ads
3. Atasi ketakutan anda dengan cara meluahkannya kepada orang terdekat anda seperti suami ataupun ibu anda. Doktor juga adalah orang yang terbaik untuk menasihati anda tentang cara-cara mengatasi rasa takut semasa bersalin.
4. Latihan teknik pernafasan adalah kunci paling penting untuk membantu memudahkan proses bersalin anda. Bagi mempelajarinya, hadirilah kelas pranatal yang akan membantu anda mempelajari teknik pernafasan yang betul untuk menghadapi kontraksi sebelum bersalin. Caranya adalah dengan melepaskan tekanan pada setiap hembusan dan cuba juga menarik nafas laju pada setiap 2 atau 3 saat iaitu 20 hingga 30 kali seminit. Jika anda kehilangan tempo, minta pertolongan pasangan anda untuk membantu anda mendapatkan semula rentak melalui pergerakan mata, tangan atau kepala.
Ads
5. Tumpukan perhatian anda pada sesuatu perkara yang boleh membuatkan anda gembira (seperti wajah pasangan anda, gambar yang dapat memberi inspirasi atau benda kegemaran anda). Keadaan ini dapat merangsang deria anda dan mengurangkan kesakitan. Selain itu, dengan mendengar muzik, suara yang menenangkan atau rakaman alunan ombak dan membayangkan anda berada pada persekitaran yang menenangkan juga dapat membantu mengurangkan kesakitan.
6. Hangatkan tubuh dengan mandi air panas. Ini bagi melegakan kesakitan kontraksi, merehatkan minda anda malah ada kalanya ia juga membantu anda untuk mempercepatkan proses kelahiran. Cara terbaik adalah dengan keadaan anda duduk di atas bangku dan halakan pancuran air panas terus ke abdomen anda atau bahagian belakang tubuh anda.
7. Bagi mempermudahkan proses kelahiran, banyakkan pergerakan terutama semasa menghampiri proses bersalin. Kontraksi akan lebih menyakitkan jika anda hanya berbaring di atas katil tanpa melakukan sebarang pergerakan. Anda boleh berjalan, bersandar, bergoyang atau mencangkung mengikut posisi yang anda selesa. Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati pada setiap pergerakan anda!
8. Sentuhan atau urutan daripada suami juga dapat membantu melegakan sakit bersalin anda. Anda boleh minta suami menggenggam tangan anda, membelai pipi atau rambut anda, atau mungkin juga menepuk-nepuk tangan atau bahu anda semasa proses kelahiran.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah menerima hakikat, anak yang dikandung tiada lagi. Seluruh ahli keluarga menanti si kecil ini setelah 8 tahun menanti. Tapi perancangan Allah lebih hebat. Dia maha mengetahui segalanya. Bukan hati tak redha cuma hati terlalu rindu.
Isteri ku Keguguran anak ke 5, di pagi Jumaat dan didalam Masjid.
Ku Simpan sebagai kenangan, pengalaman & kisah sebuah kehidupan. Setelah 8 tahun berlalu, kami menerima khabar gembira… Sekali lagi isteri mengandung anak ke 5.
Rezeki yg tidak kami duga. Alhamdulillah,seronok nak dapat baby, walaupun kami sama2 terkejut dan tidak menyangka akan kehadirannya…
Bukan kami suami isteri sahaja yg teruja… Anak-anak ( Izzah, Mu’azz & Mu’izz ) cukup gembira bila kami memaklumkan perkara ini kepada mereka. Cuma Ammar sahaja yg tidak tahu akan berita gembira ini kerana berada di asrama.
Keadaan Isteri Tak Pernah Selemah Ini
Kebiasaannya dari mengandung anak pertama hingga anak ke empat, keadaan isteri tidak selemah begini. Kali ini nampak pada raut wajahnya suram, lesu dan tidak bermaya… Mungkin sudah lama tidak berbadan dua dan mungkin juga faktor usia yg meyebabkan perkara itu berlaku.
Dari permulaan hamil dia tidak mengetahui akan kehamilanya sehingga kandungan 5 minggu, dia merasakan kelainan pada dirinya dan secara rahsia dia membeli alat ujian kehamilan tanpa pengetahuan ku.
Ternyata keputusan alat ujian kehamilan itu positif. Pada mulanya dia ingin merahsiakan akan berita gembira ini untuk pengetahuan ku, sehingga tarikh 21 Februari 2020 nanti, sebagai hadiah untuk hari ulangtahun kelahiran ku.
Namun rasa tidak sampai hati untuk berahsia kepada ku, 2 minggu lepas dia memberi tahu berita gembira ini menerusi whatsapp.
Katanya ada sesuatu perkara yg ingin di beri tahu kepada ku… Dan minta aku untuk meneka perkara itu. Aku secara berjenaka meneka… Aku teka ” U Mengandung & emoji 😀”
Dia membalas juga dengan emoji yg sama 😀
Aku ingatkan dia gelak dengan tekaan ku… Aku terus meneka lagi… Aku teka ” dia dapat tawaran kuaters…” Aku terus meneka ” dia kena tukar ke sekolah lain”
(Lupa tarikh bila di whatsapp sebab lepas whatsapp isteri suruh delete supaya tak nak bagi anak² baca dan tahu)
Akhirnya dia mengesahkan kepada ku yg dia hamil. Aku terjejut dan sekali pun tidak menyangka… Ya Allah gembiranya Tuhan sahaja yg tahu. Aku terus menelefonya. Dia minta aku merahsiakan berita gembira ini buat sementara waktu untuk pengetahuan anak² dan keluarga.
Aku mengajaknya untuk mendapatkan rawatan dan pengesahan Doktor di Klinik berhampiran rumah ku. Namun dia menolak… Katanya baru lagi.. Tunggu lah sebulan dua lagi.
Berita Ini Mulanya Dirahsiakan
Berita gembira yg pada mulanya kami rahsiakan pada anak² dan keluarga, akhirnya aku memaklumkan pada mereka.
Seusai solat maghrib, 3 hari selepas isteri memberi tahu hal ini kepada ku. Aku membuat pengumuman secara rasmi kepada anak²
Kata ku ” Ayah ada berita gembira yg ingin disampaikan… Selepas ini Mu’izz anak ke 4 kami tidak boleh lagi di panggil adik… Sebab dah nak jadi abang… Adik ada dalam perut umi… Umi mengandung…
Izzah, Mu’azz dan Muizz terkejut dan gembira.
Kata ku lagi kepada mereka… ” Ayah minta tolong semua anak² bantu ayah dan umi, jangan nakal² & tolong buat kerja rumah… Kesian umi tak larat… ” Semuanya berjanji bagai bulan dan bintang kepada ku.
Sanggup Kumpul Duit Untuk Beli Katil Baby
Dan kerana keseronokkan mereka nak dapat baby…. Izzah membuat pakatan bersama adik² secara rahsia tanpa pengetahuan ku dan isteri. Meraka bertiga mengumpul duit pemberian atuk, nenek dan mengutip duit syiling kepunyaan ku serta duit upah yg aku berikan kepada mereka kerana membantu aku dan isteri membuat kerja rumah serta upah mengurut kami berdua.
Izzah membuat tabung dari kotak terpakai untuk menyimpan duit simpanan mereka ( gambar tabung dan duit ada di bawah). Mereka bertiga berjanji untuk merahsiakan perkara ini kepada kami.
Duit simpanan ini cadangan mereka untuk membelikan katil baby dan peralatan baby untuk adik mereka. Siap tulis pada kotak tabung tu…
Namun pakatan mereka terbongkar, mana tidaknya kotak tabung mereka tidak disimpan.. Aku dapat tahu niat mereka.. Mereka meminta aku untuk terus merahsiakannya pada isteri ku…
Sejak isteri ku hamil, banyak perubahan yg aku lihat padanya. Nampak letih dan tidak bermaya. Dia juga ada memaklumkan perkara yg sama kepada ku dan lain² perkara yg tidak boleh aku kongsikan di sini. Aku sekali lagi mengajaknya ke Klinik, namun sekali lagi dia menolak.
Mula Risau Dengan Kandunganya
Akhirnya seminggu selepas itu dia sendiri mengajak ku ke kinik berhampiran rumah ku. Katanya dia nak scan baby… Pergilah kami berdua ke klinik untuk tujuan itu. Doktor mengesahkan isteriku hamil hampir memasuki 6 minggu… Dan keadaan janin juga ok. Alhamdulillah ( gambar scan pertama ada di bawah )
Dan dua hari selepas kami ke klinik, sekali lagi isteri mengajak ku ke klinik. Dia risau dengan kandungannya kerana terdapat tanda² yg kurang baik padanya. Sekali lagi kami berdua ke klinik yg sama. Doktor sekali lagi membuat pemeriksaan dan scan kepada isteri ku. Kata dokter nampak keadaan janin ok dan makin membesar. Doktor minta kami tunggu seminggu untuk kembali ke klinik dan scan sekali lagi bagi melihat perubahan pada janin itu. ( Gambar scan ke 2 ada dibawah )
Seminggu kami menanti untuk kembali membuat pemeriksaan ke klinik… Aku berdoa agar dipermudahkan segala urusan isteri dan baby dalam kandungan. Moga Allah selamatkan kedua²nya. Keadaan isteri tetap sama.. lesu dan tidak bermaya.
Ada Pendarahan, Lebih Banyak Dari Sebelum Ini
Sehinggalah pada jam 3 pagi Jumaat 24 Januari 2020, isteri mengejutkan ku dari lena tidur. Katanya ada pendarahan pada dirinya. Katanya kali ini lebih banyak dari sebelumnya..
Aku mengajaknya untuk terus ke hospital. Dia menolak… Katanya kita tunggu siang sikit laa.. Sebab risau nak kejut dan tinggalkan anak² yg sedang tidur. Isteri meminta ku untuk tidur semula, sedang dia seolah² sedang menahan kesakitan.
Aku sekali lagi mengajaknya ke hospital. Akhirnya dia bersetuju. Dia kejutkan anak² dari sedang tidur lena di tingkat atas rumah kami untuk dimaklumkan akan pemergian kami kehospital dan minta mereka untuk tidur di ruang tamu.
Jam 5 pg kami berdua bertolak menuju ke hospital Putrajaya. Sepanjang perjalanan ke hospital aku sempat memberi kata² semangat untuknya. Kataku tak apalah kalau tak ada rezeki kita untuk dapat baby kali ini… Dia hanya terdiam seperti sedang menahan kesakitan.
Sampai di wad bersalin hospital Putrajaya isteri diperiksa oleh doktor. Dan sekali lagi scan dilakukan. Aku menanti di tempat menunggu wad berkenaan. Sempat aku up status fb dan status whatsapp unt rakan² mendoakan kesejahteraan buat isteri ku.
Kira² jam 6.15 pagi isteri keluar dari bilik pemeriksaan dan menyatakan kepada ku.. Katanya doktor kata janin masih ada dan ok… Tapi dah semakin ke bawah.. Doktor izinkan kami pulang kerumah namun pesannya kalau ada terkeluar ketulan darah selepas ini, doktor minta untuk kami bawa terus ke hospital.
Kami pun terus mengambil keputusan untuk segera pulang ke rumah, kerana risaukan tiga orang anak² yang kami tinggalkan di rumah.
Singgah Di Masjid Untuk Solat Subuh
Dalam perjalanan pulang aku dan isteri singgah untuk menunaikan solat subuh di sebuah masjid. Pesan ku kepadanya selepas kami sampai di masjid tersebut supaya berhati-hati untuk ke tandas, memandangkan keadaannya yg agak lemah.
Seusai solat subuh, aku sekali lagi mendoakan agar Allah mempermudahkan segala urusan kami suami isteri serta anak dalam kandungan isteri ku. Berderai air mata ini sewaktu menadah tangan memohon bantuan dan pertolongan Nya…
Ada Sesuatu Yang Dia Sorok Dalam Tudung
Lama aku menantikannya di kereta, namun kelibat masih belum ku lihat. Aku semakin risau… Risau sekiranya ada perkara yg mungkin terjadi kepadanya di ruang solat wanita. Akhirnya isteriku kelihatan keluar dari kawasan masjid dengan menyorokkan sesuatu di dalam tudungnya.
Sekali Lagi Air Mataku Berderai
Buka sahaja pintu kereta terus ia berkata kepada ku… “Abang… Dah keluar bang. Dia rasa ada sesuatu terkeluar semasa dia berada di dalam masjid dan terus dia ke tandas bagi memeriksanya.Sebesar separuh genggaman tangan. Cuba Abang tengok katanya…. “
Aku menolak untuk melihatnya… Bukan sebab aku takut untuk melihatnya… Tapi aku tak kuat untuk menahan kesedihan bila aku melihatnya nanti… Berderai sekali lagi air mata ku mengalir ke pipi. Kini sah lah isteri ku keguguran 😢😢.
Aku sekali lagi bergegas ke hosital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan untuk isteri ku.
Dalam perjalanan sekali lagi aku memberikan kata² semangat untuknya. Kata ku tak apa… Tak ada rezeki kita kali nie… Insyaallah Allah nak bagi kita rezeki lain… Isteriku seperti biasa hanya terdiam. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan yang berada dalam hatiku pada waktu itu.
Setibanya di hospital kira² jam 8 pagi isteriku terus di bawa ke bilik rawatan untuk pemeriksaan. Aku sekali lagi menanti di ruang menunggu. Baru ada kesempatan untuk aku baca whatsapp dan fb kata² semangat dan doa daripada rakan² kepada kami. Ada yg terus pm di whatsapp unt bertanyakan dengan lebih lanjut dan ada juga yg menghubungi unt mengetahui dari mulut ku sendiri. Maaf aku tidak dapat membalas satu persatu dan menjawab panggilan. Kerana fikiran ku begitu berserabut pada waktu itu.
Sekali lagi aku upkan status whatsap dan fb… Tapi kali ini ayat yang aku karang untuk memberitahu berita mengenai baby dalam kandungan isteriku telah tiada…
Isteri ku Keguguran di pagi Jumaat dan didalam Masjid
Aku menghubungi Izzah anak kedua ku untuk menanyakan keadaan dirinya dan adik² yg ditinggalkan di rumah. Aku juga memaklumkan kepadanya yang baby telah tiada… Sekali lagi air mata ku berlinangan. Izzah juga sedih… Dia dah baca status whatsapp ku terlebih dahulu mengenai perkara itu sebelum aku menelefonnya. Ku tanya kepadanya adik² dah tau ke perkara ini. Izzah jawab ” adik² kecik lagi… Mana da perasaan sedih “. Semakin basah mataku melimpahkan air mata.
Baru aku perasan sewaktu aku menangis… Ada seorang lelaki di depan ku yg sedang menunggu isterinya yg baru sahaja melahirkan anak.
Selepas aku memutuskan talian telefon bersama anak ku. Lelaki tu bertanyakan kepada ku… Dia mendengar apa yg aku cakap pada anak ku…
Jam 10 pagi isteri ku keluar dari bilik pemeriksaan dan dibenarkan pulang
Kesian anak ku Ammar…dia tidak tahu pun yg uminya mengandung. Malam sebelum isteriku keguguran… Ammar ada telefon kami dari sekolahnya… Kerana petang hari jummat dia akan pulang dari asrama untuk cuti CNY.
Aku sempat memaklumkannya ada berita gembira yg ingin ku beritahu kepadanya… Isteiku melarang untuk aku beri tahu Ammar. Katanya tunggu Ammar balik nanti…
Terima kasih kepada semua keluarga dan rakan² yg telah mendoakan dan memberi kata² semangat kepada kami… Semoga Allah juga mengurniakan kebaikan dan perlindungan kepada anda semua.
Terima kasih kepada anak-anak kami di atas bantuan dan kasih sayang mereka kepada kami. Semoga kita dipertemukan dengan baby kita di syurga nanti. Insyaallah
Semoga perkongsian ini ada manfaatnya dan kebaikan untuk yg lain di luar sana.
Bayi kembung perut sering kali terjadi. Bayi secara tiba-tiba tidak berhenti menangis walaupun sudah diberikan susu? Ini adalah antara ciri bayi mengalami masalah kembung perut atau turut dikenali sebagai kolik. Ketahui apa itu kolik, bagaimana ia terjadi dan cara mengatasinya.
APA ITU KOLIK?
Colic berasal daripada perkataan Greek iaitu kolikos yang bermaksud kolon (organ yang terletak di dalam perut). Berabad lamanya kita percaya bahawa kolik disebabkan oleh kesakitan atau ketidakselesaan di dalam perut bayi.
Umumnya kolik terjadi pada bayi berusia lima bulan ke bawah. Kolik sering terjadi pada waktu malam. Reaksi bayi yang mengalami kolik ialah menangis tanpa henti, sukar ditenangkan walaupun sudah disusui dan didukung. Biasanya pada permulaan kolik, wajah akan kemerahan, mimik muka tampak menahan kesakitan diikuti dengan gerakan kaki ke arah perut. Kolik juga boleh menyebabkan bayi menangis berlarutan beberapa jam sepanjang malam dan sukar ditenangkan.
25 – 40% daripada bayi yang lahir setiap tahun mengalami kolik.
SIMPTOM
Secara purata, kebanyakan bayi yang bukan kolik menangis selama dua jam dalam sehari. Ikuti karakter dan kekerapan tangisan bayi kolik seperti berikut;
-Simptom bermula seawal usia bayi tiga minggu.
-Sekurang-kurangnya tiga jam dalam sehari.
-Tiga hari seminggu, selama tiga minggu berturut-turut dan selalunya akan berhenti selepas usia tiga bulan.
TEORI KEMBUNG PERUT
Penyebab kembung perut atau kolik pada bayi belum diketahui secara tepat. Walaupun begitu, ada beberapa teori yang menjadi alasan terjadinya kolik.
Antaranya ialah sistem pencernaan yang belum sempurna, alahan terhadap protein susu formula, dikaitkan dengan terlalu banyak meminum susu formula dan pemakanan ibu menyusu.
PENCEGAHAN KOLIK
Cegah selagi boleh. Tidak ada cara yang tepat untuk mencegah kolik. Tidak salah untuk anda mencuba meminimumkan penyebabnya. Misalnya, periksa posisi mulut bayi adalah betul semasa menyusu dan sendawakan dia setelah selesai menyusu.
CARA REDAKAN KOLIK BAYI
Jika bayi anda didapati mengalami kolik, ada beberapa cara untuk meredakannya. Yang penting, mama papa jangan cepat putus asa! Jika gagal, cuba cara lain untuk membantu.
Dukung bayi dan sendawakan. Lakukannya dalam tempoh lima minit .
Baringkan ke bawah dan tepuk bahagian belakang. Lakukannya hingga lima minit.
Gosok dengan memberi tekanan dan tepuk ketika dia berada di atas katil. Lakukan selama lima minit.
Jika bayi mulai tidur, masukkan bayi dalam kain penggendong bayi (baby sling). Gosok dengan menekan dan menepuk pada bahagian belakangnya.
Cara lain yang boleh redakan bayi kembung perut
Balut bayi dengan kain
Membalut bayi dengan kain mengehadkan pergerakan anggota tangan dan kakinya.
Cara ini membantu meluruskan anggota badan.
Ia mengelak gangguan tindak balas yang aktif daripada bayi.
Ia adalah bentuk tekanan yang menyerupai keadaan bayi semasa dalam kandungan ibu.
Dukung
Cara dukung yang selamat akan membuatkan bayi selesa. Alat bantu untuk mendukung bayi amat berguna untuk bayi baru lahir.
Ia membuatkan bayi dalam kedudukan seperti dalam kandungan ibu. Cara posisi dukungan akan memberikan tekanan yang akan melegakan bayi. Ia juga mengelak bayi daripada terlalu aktif.
Posisi ruang yang tetap semasa mendukung bayi membuatkan bayi selesa dengan penjaganya.
JALAN TERAKHIR
Apabila anda tidak tahu apa yang harus dilakukan kerana bayi menangis secara berterusan dan, letakkan bayi di tempat tidurnya, lalu matikan lampu kamar. Dengan cara ini, anda dan bayi boleh berasa tenang. Yang penting, jangan panik. Segera dapatkan rawatan doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Beberapa hari lepas selebriti terkenal, Mira Filzah mengadakan majlis aqiqah secara tertutup dan sederhana buat cahaya mata sulungnya, Wan Khair Amir yang kini berusia 5 bulan.
Namun yang menarik perhatian ramai, sekeping gambar menunjukan standard operating procedure (SOP) yang ditetapkan oleh pihak penganjur sepanjang majlis berlangsung yang menekankan tentang keselamatan kesihatan baby Amir.
Antara isi kandungan SOP tersebut yang dimuatnaik di laman instagram Mira Filzah adalah:
Demi kesihatan bayi kami:
Tolong basuh tangan
Kami berbesar hati jika anda meminta izin dahulu sebelum menyentuh atau mendukung bayi
Tolong jangan cium bayi
Tolong jauhkan diri dari bayi jika anda sakit atau ada simptom tidak sihat
Terima kasih atas keperihatinan anda.
Mira Filzah atau nama sebenar Nur Amira Filzah, 29 dan suami Wan Emir Astar atau Emir, 32 turut menitipkan doa buat cahaya mata lelaki mereka.
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Papa, mama dan semua mendoakan moga Wan Khair Amir menjadi anak soleh, insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan Tanah Air.
“Papa dan mama sayang anak Wan Khair Amir, hingga ke akhir waktu,”
Selepas insiden membawa dua lelaki ke dalam rumah, kali ini pempengaruh doctor selebriti, Dr Say diuji sekali lagi bila mana pembantu rumahnya mengasari anak ketiganya yang baru berusia 10 bulan.