
Membancuh susu anak ada aturannya. Begitu juga pengendalian botol susu. Cara yang tepat boleh membantu si kecil mendapatkan khasiatnya.
Adakalanya ibu bapa jadi kurang endah bab mencuci botol. Mungkin kerana nak cepat, ada yang mencuci dengan pencuci pinggan mangkuk biasa dan menggunakan air paip sahaja. Tanpa disedari amalan ini menyebabkan masalah cirit birit dan muntah.
Perkongsian daripada Dr Tajul Ariffin Norsadan ini boleh anda jadikan panduan. Bukan sahaja mencuci dan mengeringkan, membancuh susu juga perlu ikut cara yang betul.
BERSIHKAH BOTOL SUSU ANAK ANDA?
Masih ramai ibu bapa yang tidak tahu cara menjaga kebersihan botol susu anak mereka. Penjagaan yang tidak rapi boleh mengundang kepada jangkitan kuman yang menyebabkan anak anda muntah-muntah dan cirit-birit.
Di sini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu penjagaan botol susu:
CUCIAN BOTOL:
1. Dibasuh dengan sabun setiap kali habis proses penyusuan.
2. Didihkan air, matikan api dan rendamkan selama 5-10 minit. Boleh dilakukan setiap kali habis penyusuan atau dikumpul dahulu.
3. Gunakan penyepit untuk membawa botol keluar dari air panas. Tidak menggunakan tangan kerana tangan kita penuh dengan kuman.
4. Letakkan dalam keadaan terlangkup.
5. Boleh digunakan setelah kering.
DISARANKAN:
1. Untuk mempunyai 6 – 8 botol susu. Jumlah penyusuan bayi 6-8 kali sehari, maka anda digalakkan menggunakan botol susu yang berbeza setiap penyusuan dan proses rendaman air didih cukup sekali sehari dengan jumlah botol ini.
2. Untuk menggantikan ke semua botol tadi setiap 6 bulan atau apabila berlaku perubahan bentuk dan warna.
3. Untuk menggantikan puting botol susu setiap bulan atau apabila berlaku perubahan bentuk dan warna.
TIP TAMBAHAN:
1. Tidak menggunakan yang air yang sedang mendidih semasa membancuh susu. Tambahkan sedikit air biasa dahulu. Bancuhan susu terus ke air panas akan menyebabkan hilangnya zat-zat diperlukan.
2. Tidak cairkan susu anak anda. Gunakan sukatan yang disyorkan mengikut saranan pengeluar supaya anak anda mendapat zat-zat yang diperlukan secukupnya.
3. Setelah umur 6 bulan, digalakkan makan makanan dahulu dan susu formula sebagai makanan tambahan
Semoga bermanfaat dan anak anda kekal sihat.
Sumber: Tajul Ariffin Norsadan
Artikel berkaitan: Tukarlah Berus Pencuci Botol Susu. Guna Dalam Tempoh Lama Risau Banyak Kuman Terkumpul
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Emotional Burnout, Isteri Jadi Penat Sangat. Tak Nampak Mata Kasar, Suami Kena Peka!

Biarpun seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu dapat melakukan banyak perkara pada satu-satu masa, sebenarnya mereka tetap manusia biasa. Rasa penat dan stres adalah perkara biasa terutamanya jika suami tidak mencuba untuk memahami keletihan mereka. Paling teruk, jika isteri mengalami penat emosi.
Di dalam penulisannya di laman Facebook, Dr Redza Zainol berkongsi tentang pengorbanan seorang isteri. Menurutnya, isteri mungkin akan mengalami Emotional Burnout jika terlalu letih menguruskan rumah tangga. Penat emosi tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Ikuti perkongsian ini.
Saya perhati je dari pagi.
Isteri saya duk baring-baring di sofa. Tak lama lepas tu, dia bangun dan masuk ke bilik. Ditariknya laptop naik ke atas katil dan dia mula tengok cerita Korea pula.
Sambil melayan cerita tu, saya nampak dia tersenyum seorang diri dari celah pintu.
“Tengok cerita apa tu?” saya tanya.
Entah dia jawab. Baru tengok katanya. Dalam hati ni, saya rasa dah 1 jam juga.
Saya pun pergi ke tepi dia. Nak menyibuk la katakan.
Tertulis perkataan ni, “Crash Landing On You.”
Best ke?
Dia kata biasa-biasa je, sambil tu dia senyum-senyum lagi.
Masuk waktu tengahari, dia pergi ke meja dan mula baca buku kegemaran dia sampai ke petang.
Serius dulu saya ingat aktiviti berehat ni sia-sia je.
Dulu saya ni jenis yang agak serius. Saya cuma fikir kalau ada masa, baik kita buat kerja. Masa tu pada pendapat saya, berehat ni hanya untuk orang yang malas.
Artikel Menarik: [Air Rebusan Kempiskan Perut & Tambah tenaga. Sesuai Cuba Dalam Tempoh PKP!]
Itu dulu.
Sampailah beberapa tahun yang lepas isteri saya tak sihat waktu berpantang. Saya kena jaga anak, kena melayan kehendak anak sepanjang hari.
Mengadap perkara yang sama setiap hari buat saya jadi letih. Penat pada fizikal dan paling ketara ialah penat pada emosi.
Waktu tu, kalau saya dapat keluar rumah sekejap pun dah rasa gembira. Kalau dapat buat perkara lain selain dari menjaga anak, rasa lega sangat.
Masa tu baru saya sedar pengorbanan isteri saya. Banyak kali dia mengadu penat dan saya cakap rehatlah.
Saya silap.
Selama ni saya ingatkan dia penat fizikal, rupanya dia penat pada emosi. Penat pada emosi tu tak boleh hilang dengan tidur atau rehat semata-mata.
Artikel Menarik: [Lumrah Ibu Kuat Kuat Membebel, Tapi Kalau Selalu Sangat Boleh Naik Berat Badan!]
Sebenarnya, selama ni isteri saya ambil masa berehat hanya untuk dia keluar dari “Emotional burnout”.
Suami kena hati-hati. Penat pada emosi ni tak nampak pada mata kasar.
Kadang-kadang, suami nampak isteri macam malas sebab terbaring lesu. Tak ramai faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang burnout.
Percayalah, bila isteri dapat cukup rehat begini, dia akan mula bekerja keras semula untuk keluarga.
Sebab waktu tu, emosi dan psikologinya jadi segar dan terjaga semula.
Bantu saya #sebarkan supaya lagi ramai suami isteri yang tahu. Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan anggota badan yang lain.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kelantan, Terengganu, Pahang & Putrajaya Catat Masalah Bantut Tertinggi

Putrajaya negeri kedua terkaya di Malaysia berdasarkan pendapatan penengah. Namun, ia merekodkan kadar bantut kanak-kanak keempat tertinggi di negara ini. Mengapa?
Ramai yang terkejut apabila mendapat tahu kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya adalah 24.3 peratus, seperti yang dilaporkan melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia (NHMS) 2016. Kadar ini lebih tinggi dari kadar prevalens negara ketika itu, iaitu 20.7 peratus.
Kadar bantut yang tinggi sering dikaitkan dengan kawasan pedalaman dan kemiskinan tegar. Namun pada tahun 2020, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Putrajaya mempunyai kadar kemiskinan terendah di Malaysia.
Manakala negeri dengan kadar bantut kanak-kanak tertinggi pula ialah Kelantan diikuti Terengganu dan Pahang, seperti yang dilaporkan dalam NHMS 2016. Ketiga-tiga negeri ini merekodkan antara kadar miskin tegar tertinggi negara ini.
Statistik DOSM menunjukkan 79.7 peratus daripada 32,700 isi rumah di Putrajaya merupakan pekerja bergaji.
Jadi mengapa kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi hingga melangkaui kadar bantut di Sabah – negeri dengan kadar miskin tegar tertinggi di Malaysia?
SEHARIAN DI PUSAT JAGAAN
Itulah juga soalan yang diutarakan Timbalan Pengarah (Pemakanan) Cawangan Pemakanan Keluarga Kementerian Kesihatan, Zaiton Daud.
“Sering kita sebut tentang betapa majunya Putrajaya dan bagaimana majoriti penduduk di sana kakitangan kerajaan, maka dari segi jaminan pendapatan mungkin tidak banyak masalah. Jadi, mengapa kadar bantut Putrajaya begitu tinggi sekali?
“Set data yang sama menunjukkan kadar bantut terendah ialah di Kuala Lumpur, pada 10.5 peratus. Ini pelik. Apa bezanya Kuala Lumpur dengan Putrajaya?” soalnya ketika bercakap dalam forum dalam talian bertajuk Kanak-Kanak Bantut: Pencegahan dan Model Solusi, anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Katanya Kementerian Kesihatan sedar bantut bukan sekadar masalah nutrisi. Pelbagai faktor lain mempengaruhi kadar bantut seperti kadar celik kesihatan, persekitaran dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Zaiton percaya apa yang berlaku di Putrajaya disebabkan kanak-kanak kecil menghabiskan masa terlalu lama di bawah penjagaan taska. Ini mengakibatkan mereka lebih berpotensi terdedah kepada amalan pemakanan kurang baik seperti tidak mendapat makanan yang cukup atau berkhasiat.
Kebanyakan keluarga di Putrajaya pula terdiri daripada ibu bapa bekerja, menyebabkan anak-anak hampir seharian di taska.
“Inilah yang mengganggu amalan pemakanan anak-anak. Ketika mengambil anak-anak dari taska pula, ibu bapa dalam keadaan penat selepas seharian bekerja. Sukar untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga apabila diri sendiri keletihan.
“Adakah lagi tenaga untuk menyediakan makanan berkhasiat di rumah, atau mungkinkah mereka akan “tapau” sahaja?” katanya.
Persoalan ini penting kerana keterbantutan salah satu ukuran utama bagi mengenal pasti masalah malnutrisi kronik dalam kalangan kanak-kanak. Selain fizikal yang pendek, malnutrisi kronik boleh menyebabkan seorang kanak-kanak mengalami masalah kesihatan sepanjang hayat.
SUKAR DIPANTAU
Bukan semua taska di Putrajaya berdaftar dan ini menyebabkan situasi ini sukar dipantau dan dikawal, kata Zaiton.
Taska berdaftar diwajibkan mematuhi peraturan dan undang-undang ketat yang memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan terbaik selari dengan Akta Kanak-kanak 611 dan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, mana-mana individu sama ada pengusaha, pengurus, penyelia atau pengasuh yang bekerja di taska wajib mengikuti dan lulus Kursus Asuhan Permata. Ini meliputi latihan dalam penjagaan, keselamatan dan penyediaan makanan seimbang bagi bayi dan kanak-kanak di pusat asuhan.
Setakat 8 Mac 2022, terdapat 63 taska berdaftar di Putrajaya dengan 28 daripadanya beroperasi di premis tempat kerja.
Bagaimanapun, jumlah ini terlalu sedikit untuk menampung keperluan penjagaan populasi kanak-kanak bawah lima tahun di Putrajaya yang dianggarkan seramai 13,200 orang pada tahun 2020, menurut data DOSM.
Situasi ini menyebabkan ibu bapa kurang pilihan dan terpaksa menghantar anak-anak ke pusat asuhan tidak berdaftar.
Malangnya, pilihan sedemikian boleh mendatangkan kesan yang serius.
Kualiti penjagaan di taska berkemungkinan besar penyebab utama kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi. Walaupun kenyataan ini belum dapat dibuktikan secara konklusif, setidak-tidaknya ia dapat menerangkan mengapa kadar bantut di Malaysia melangkaui perbezaan pendapatan, kaum dan jurang bandar-desa.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa kanak-kanak dari isi rumah dengan pendapatan rendah jauh lebih berkemungkinan menjadi bantut kerana mereka lebih terdedah kepada faktor penyebab tersembunyi seperti kesukaran mendapatkan makanan berkhasiat, penjagaan kesihatan dan sistem sanitasi yang baik.
Pengasuh di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar memang sentiasa dilatih dan dilengkapi dengan cara penjagaan dan panduan pemakanan bagi kanak-kanak dan bayi, namun situasinya mungkin berbeza di taska tidak berdaftar.
Walaupun begitu, ibu bapa terutamanya mereka yang berpendapatan rendah lebih memilih untuk menghantar anak ke taska tidak berdaftar kerana faktor yuran yang rendah selain senarai menunggu yang tidak lama.
IBU BAPA KURANG PENDIDIKAN
Mungkin itu yang berlaku di Putrajaya, kata Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik di Universiti Putra Malaysia Prof Dr Norhasmah Sulaiman.
“Bukan semua yang tinggal di Putrajaya itu berpendapatan tinggi. Ramai yang boleh kita kategorikan dalam golongan B40. Saya rasa inilah sebab kadar bantut kanak-kanak di Putrajaya begitu tinggi, kerana ramai sebenarnya miskin bandar.
“Jurang pendapatan di Putrajaya sangat luas. Kos sara hidup juga tinggi. Saya yakin kebanyakan ibu di Putrajaya bekerja dan terpaksa menghantar anak ke taska, jadi mereka sukar hendak pastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat,” katanya.
Untuk mengelakkan bantut, adalah penting untuk menjaga pengambilan nutrisi kanak-kanak dalam 1,000 hari pertama kehidupan yang bermula dari dalam kandungan. Jika gagal mengawal kualiti pemakanan atau membetulkan masalah bantut dalam tempoh itu, kanak-kanak yang terkesan akan mengalami masalah sepanjang hayat. Ini termasuk keciciran dalam akademik, kesukaran mendapat pekerjaan baik dan lebih berisiko mendapat penyakit.
Negara yang mengalami masalah bantut juga secara purata kerugian tujuh peratus pendapatan per kapita, menurut satu kajian World Bank.
Norhasmah berkata, Kementerian Kesihatan sudah menjalankan pelbagai usaha untuk mendidik pengasuh tentang amalan pemakanan terbaik bagi kanak-kanak.
Bagaimanapun, masih ada faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan itu. Antaranya, tahap pendidikan ibu bapa atau yang lebih khusus tahap pendidikan si ibu.
Merujuk kepada satu kajian yang diterbitkan dalam The Lancet, beliau berkata, ada beberapa kluster penyebab kadar bantut meningkat.
“Kluster pertama ialah pendidikan ibu bapa yang berkait rapat dengan keadaan sosioekonomi mereka. Kluster kedua yang dibincangkan ialah tahap pendidikan si ibu dan bagaimana ia mempengaruhi cara seorang ibu mengendalikan amalan pemakanan di rumah,” jelasnya.
Katanya perkara ini boleh dinilai melalui peruntukan sumber dalam isi rumah.
“Adakah si ibu mengutamakan pemakanan? Apabila anak-anak menghabiskan lebih lapan jam sehari di taska, bagaimana ibu yang bekerja memastikan anak-anak mendapat zat makanan secukupnya?
“Kadangkala ibu bapa berpendapatan tinggi tetapi kadar bantut dalam kalangan keluarga sedemikian masih tinggi. Mengapa? Mungkin kerana terlalu sibuk sehingga tidak dapat menyediakan hidangan berkhasiat untuk anak-anak. Mungkin juga mereka tidak sedar betapa pentingnya penyediaan makanan berkhasiat untuk pertumbuhan kanak-kanak,” katanya.
Menurut NHMS 2016, sekitar 19.2 peratus kanak-kanak Malaysia berusia 6 hingga 23 bulan tidak mencapai jumlah minimum pengambilan hidangan yang disyorkan.
TIADA BANYAK PILIHAN
Isu penderaan di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak di Putrajaya juga agak kerap dilaporkan di media massa dalam tempoh 10 tahun ini.
“Terdapat data yang menunjukkan kadar penderaan kanak-kanak di taska Putrajaya sangat tinggi. Saya yakin kadar penderaan yang tinggi di taska ada hubungan dengan kadar bantut di wilayah itu,” kata Dr Amar HSS Singh, seorang pakar pediatrik yang pernah berkhidmat selama 40 tahun di bawah Kementerian Kesihatan.
Garasi Bernama cuba mendapatkan data yang dimaksudkan dari laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak berjaya. Koleksi data yang tersedia untuk capaian umum hanyalah ringkasan statistik kes penderaan yang dikira sebagai kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Jumlah kes penderaan pula tidak dikategorikan mengikut negeri atau taska yang terlibat.
Keluarga yang hanya ibu atau bapa bekerja memang bergelut dengan kos sara hidup sejak sebelum pandemik Covid-19. Yang pastinya situasi pandemik ini menyebabkan keadaan semakin teruk dan memaksa lebih ramai ahli keluarga keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Jika kedua-dua ibu bapa terpaksa bekerja, tentunya penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pihak lain.
Kredit: AWANI, BERNAMA
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Perkara Suami Kena Tahu Tentang Isteri Selepas Bersalin

5 perkara suami kena tahu tentang isteri selepas bersalin supaya tidak timbul salah faham terutama yang baru pertama kali mendapat cahayamata.
Fasa kehamilan dan kelahiran merupakan satu pengalaman baru dan berbeza antara setiap individu. Jadi, bagi pasangan yang bakal bergelar ibu bapa, bukan wanita sahaja yang perlu belajar persediaan bergelar ibu tetapi bakal ayah juga kena memahami perubahan fisiologi isteri yang bakal bergelar ibu.
Dr Redza Zainol, Pegawai Perubatan Pediatrik yang suka tulis ilmu keibubapaan dan kesihatan kanak-kanak di twitternya ada berkongsi tentang beberapa perkara yang akan dilalui oleh wanita selepas bersalin dan perlu difahami betul-betul oleh lelaki bergelar suami dan ayah.
5 perkara suami kena tahu: Isteri sudah bersalin
Saya nak kongsikan 5 perkara yang suami kena tahu tentang isteri selepas bersalin (Post Partum).
- Isteri akan kepenatan yang amat. Dia perlu baring, rehat dan tidur. Tenaga yang hilang perlu diganti semula untuk menyusu anak pula.
- Buang air besar dan kecil kali pertama selepas bersalin tu akan jadi sakit pada isteri. Sakit tu sebab ada kawasan kemaluan dan serviks yang terluka. Boleh jadi juga sebab luka episiotomy.
- Walaupun dah bersalin, isteri tetap rasa sakit pada perut. Sebabnya rahim akan mula mengecut.
• Rahim akan ambil masa sehingga 6 minggu untuk kembali ke bentuk asal. Rahim tak terus kempis dalam masa sehari.

4. Ada darah nifas atau dipanggil Lochia.
• Berwarna merah selama 1-4 hari yang pertama.
• Jika darah merah turun lebih dari seminggu atau ada ketulan darah, baik rujuk doktor sakit puan yang berdekatan. Risau dah ada jangkitan kuman.
5. Selepas bersalin, jangan pelik kalau emosi isteri jadi tak stabil. Boleh jadi tiba-tiba marah, tiba-tiba nak menangis.
• Perkara ni boleh terjadi dalam masa 1-2 minggu selepas bersalin.
• Suami wajib bagi sokongan, takut-takut melarat dan jadi Post Partum Depression.
Masa berpantang, jagalah makan minum, rehat dan tidur isteri kita tu.
Luka bersalin boleh pulih, tapi yang lebih bahaya ialah tekanan pada emosi isteri.
Bantu saya #sebarkan ilmu ni pada pasangan lain. Pada yang bakal menimang cahaya mata, saya doakan dimudahkan urusan kalian.
WEBINAR SAYANG ANAK KETAT-KETAT
Sertai Webinar Keibubapaan PERCUMA tahun ini secara virtual. Pastikan setiap ibu bapa join webinar ini kerana anda bukan sahaja dapat belajar pelbagai ilmu keibubapaan daripada speaker-speaker jemputan tetapi juga berpeluang menang hadiah cabutan bertuah.
Webinar ini menjemput speaker-speaker hebat dalam bidang keibubapaan termasuk Prof Madya Dr Nik Salida, Ibu Rose, Dr Ahmad Rostam, Puan Maryam Jamadi dan Puan Azlina Roszly. Mereka akan membincangkan pelbagai topik berkenaan perkembangan anak, menjadi ibu bapa hebat, tip mendidik anak dan bermacam lagi.
Daftar nama sebagai peserta webinar di WEBINAR SAYANG ANAK KETAT-KETAT
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI