Membancuh susu anak ada aturannya. Begitu juga pengendalian botol susu. Cara yang tepat boleh membantu si kecil mendapatkan khasiatnya.
Adakalanya ibu bapa jadi kurang endah bab mencuci botol. Mungkin kerana nak cepat, ada yang mencuci dengan pencuci pinggan mangkuk biasa dan menggunakan air paip sahaja. Tanpa disedari amalan ini menyebabkan masalah cirit birit dan muntah.
Perkongsian daripada Dr Tajul Ariffin Norsadan ini boleh anda jadikan panduan. Bukan sahaja mencuci dan mengeringkan, membancuh susu juga perlu ikut cara yang betul.
BERSIHKAH BOTOL SUSU ANAK ANDA?
Masih ramai ibu bapa yang tidak tahu cara menjaga kebersihan botol susu anak mereka. Penjagaan yang tidak rapi boleh mengundang kepada jangkitan kuman yang menyebabkan anak anda muntah-muntah dan cirit-birit.
Di sini saya ingin berkongsikan sedikit ilmu penjagaan botol susu:
CUCIAN BOTOL:
1. Dibasuh dengan sabun setiap kali habis proses penyusuan.
2. Didihkan air, matikan api dan rendamkan selama 5-10 minit. Boleh dilakukan setiap kali habis penyusuan atau dikumpul dahulu.
3. Gunakan penyepit untuk membawa botol keluar dari air panas. Tidak menggunakan tangan kerana tangan kita penuh dengan kuman.
4. Letakkan dalam keadaan terlangkup.
5. Boleh digunakan setelah kering.
DISARANKAN:
1. Untuk mempunyai 6 – 8 botol susu. Jumlah penyusuan bayi 6-8 kali sehari, maka anda digalakkan menggunakan botol susu yang berbeza setiap penyusuan dan proses rendaman air didih cukup sekali sehari dengan jumlah botol ini.
2. Untuk menggantikan ke semua botol tadi setiap 6 bulan atau apabila berlaku perubahan bentuk dan warna.
3. Untuk menggantikan puting botol susu setiap bulan atau apabila berlaku perubahan bentuk dan warna.
TIP TAMBAHAN:
1. Tidak menggunakan yang air yang sedang mendidih semasa membancuh susu. Tambahkan sedikit air biasa dahulu. Bancuhan susu terus ke air panas akan menyebabkan hilangnya zat-zat diperlukan.
2. Tidak cairkan susu anak anda. Gunakan sukatan yang disyorkan mengikut saranan pengeluar supaya anak anda mendapat zat-zat yang diperlukan secukupnya.
3. Setelah umur 6 bulan, digalakkan makan makanan dahulu dan susu formula sebagai makanan tambahan
Semoga bermanfaat dan anak anda kekal sihat.
Sumber: Tajul Ariffin Norsadan
Artikel berkaitan: Tukarlah Berus Pencuci Botol Susu. Guna Dalam Tempoh Lama Risau Banyak Kuman Terkumpul