Kehamilan

Salah Tanggapan Baca Surah Yusuf Masa Hamil Anak Boleh Jadi Comel, Ibu Ini Kongsi Manfaatnya Yang Sebenar

Share

Ada yang beranggapan membaca surah Yusuf masa hamil bukan untuk dapat anak rupa paras comel cantik. Tapi ibu ini kongsi manfaat yang sebenar dan amalan yang patut dilakukan bakal ibu dan ayah supaya proses kehamilan & kelahiran dipermudahkan.

Apa yang diamalkan ibu semasa kehamilan akan mempengaruhi akan mempengaruhi bayi, mudah-mudahan mempunyai akhlak dan pekerti mulia. Sepanjang kehamilan, ibu hamil memang disarankan untuk melazimi membaca Al-Quran dan mengamalkan zikrullah.

Ada yang berpendapat mengamalkan surah Yusuf boleh memberikan bayi rupa paras yang cantik. Tapi apa yang dikongsikan ibu ini boleh memperbetulkan persepsi atau tanggapan.

Puan Farhana Muhammad berkongsi mengenai keghairahan ibu hamil yang mengamalkan surah Yusuf untuk mendapatkan anak yang mempunyai paras rupa yang cantik dan comel.

Melihatkan ibu-ibu hamil ghairah berkongsi tentang mengamalkan Surah Yusuf yang mengaitkan dengan usaha untuk mendapatkan anak yang mempunyai rupa paras yang comel, mengingatkan diri tentang nasihat seorang ustaz berkenaan anjuran ibu hamil membaca Surah Yusuf.

Kata Ustaz Abdul Somad, membaca Surah Yusuf ketika hamil bukanlah ‘kaedah’ untuk mendapatkan zuriat yang comel. Kerana rupa paras anak lebih bergantung kepada rupa paras orang tuanya.

Suruh Yusuf dibaca semoga dengan harapan agar anak itu akan memiliki iman seperti Nabi Yusuf yang dapat menghindari daripada godaan zina.

IBU HAMIL PERLU MELAZIMI ZIKIR & AL-QURAN

Sambung ustaz lagi, adalah lebih baik ibu hamil berusaha untuk khatam Al Quran sepanjang tempoh 9 bulan 10 hari itu. Ibu hamil perlulah melazimi zikir dan bacaan Al Quran.

Supaya anak yang dilahirkan akan tenang jika diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat Al Quran. Kerana.. sejak dalam kandungan lagi anak tersebut sudah dibiasakan dengan bacaan Al Quran oleh ibunya.

PARA ASATIZAH TIDAK MENEKANKAN SURAH-SURAH TERTENTU

Begitu juga apabila kita menghayati intipati kuliah daripada asatizah yang lain, tidaklah pula para asatizah menekankan surah sekian-sekian yang perlu dibaca oleh ibu-ibu hamil.

Benar, tidaklah menjadi kesalahan oleh ibu-ibu hamil untuk mengkhususkan bacaan surah-surah tertentu, namun janganlah melupakan terus ayat-ayat Al Quran yang lain.

4 PERKARA PERLU DILAKUKAN BILA TAHU HAMIL

Kebiasaannya, para asatizah menyarankan beberapa perkara apabila mengetahui si ibu itu hamil:

1) Bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

2) Ibu hamil memperbanyakkan bacaan Al Quran dan zikir.

3) Meninggalkan maksiat, termasuklah tidak membawa balik rezeki yang haram.

4) Memperbanyakkan doa kepada Allah supaya dikurniakan anak yang soleh.

DOA KETIKA MENGALAMI ALAHAN YANG TERUK

Teringat saranan Ustaz Adi Hidayat dalam salah satu kuliah keibubapaan beliau. Kata ustaz, ibu hamil ini tidak terlepas daripada rasa tidak selesa.

Jika mengalami alahan yang teruk, ucapkanlah,

“Ya Allah, Engkau gantikanlah kesusahan yang aku alami ini dengan mengurniakan aku anak yang soleh dan aku bersyukur atas kurniaan itu.”

DOA SUAMI BILA KANDUNGAN MAKIN SARAT

Jika melihatkan isteri tidak selesa apabila kandungan sudah makin berat, si suami ucapkanlah,

“Ya Allah, Engkau gantikanlah kesusahan yang isteri aku alami ini dengan mengurniakan aku anak yang soleh dan aku bersyukur atas kurniaan itu.”

Semoga dipermudahkan urusan ibu-ibu hamil dalam menempuhi fasa wahnan ‘ala wahnin itu.

Semoga dipermudahkan juga urusan buat pasangan yang menanti kehadiran permata hati.

InshaaAllah.

Sumber: Farhana Muhammad 

Published by
Azma ML