Siapa kita hendak menolak takdir Allah. Itu yang berlaku kepada pasangan suami isteri ini apabila kehilangan anak yang masih belum puas bermanja akibat kemalangan dan menyebabkan pendarahan dalaman di bahagian kepala sebelah kiri akibat hentakan airbag ketika sedang tidur dan dipegang ibunya di kerusi depan penumpang.

Berkongsi perasaan dan detik ketika berlakunya kemalangan yang mengorbankan nyawa Naufal Hadi bin Saiful Hadi yang ketika itu berusia 1 tahun 8 bulan cukup buatkan Saiful Hadi Zamari dan Hairun Nisa Khamis rasa trauma hingga hari ini.

Hentakan airbag, pendarahan di kepala

“Sebelum ini arwah Naufal akan sentiasa duduk dalam car seatnya. Tapi pada hari kejadian seolah-olah macam ada yang tak kena dan dia asyik merengek serta nak dipeluk sepanjang masa.

“Disebabkan rasa kasihan, saya pangkunya atas riba dan dia tertidur semasa perjalanan balik ke rumah selepas kenduri. Apa yang membuat saya tertanya sebelum ni arwah tak akan tidur dalam kereta tapi pada hari tersebut sikapnya sangat lain.

“Dalam 200 meter nak sampai di kawasan rumah kami sekeluarga kemalangan kerana kereta terbabas sehingga menyebabkan arwah yang ketika itu sedang tidur terkena hentakan airbag dan tercampak ke kerusi bahagian belakang.

“Dalam keadaan kelam kabut, suami terus melihat keadaan arwah dan arwah buka mata dalam keadaan tak bermaya. Tiada sebarang kecederaan di bahagian badan cuma kesan lebam di dahinya.

Melihatkan keadaannya itu, kami terus di bawa ke hospital dan dalam perjalanan itu masih terdengar suara arwah seperti mengerang sakit dan tiba di hospital keadaannya tenat dan doktor tidak dapat memberi jaminan pada kami,” jelas pasangan ini.

Lepaskan Naufal pergi dengan tenang

Menurut Hairun Nisa, sepanjang dua hari ditempatkan di ICU Naufal memang tak sedar dan beberapa kali jantungnya terhenti.

“Doktor pun tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya minta kami sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan.

“Masuk hari kedua di ICU, sebagai ibu saya tak sanggup melihat keadaan anak sehinggalah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir saya cakap di telinganya “Mummy lepaskan Naufal, halalkan susu mummy serta makan dan minum Naufal.”

Kehilangan yang cukup dirasai

Tambah Hairun Nisa, pemergian Naufal ini cukup dirasai oleh kami suami isteri hinggalah saya rasa macam tak mahu berjumpa orang dan suami pula trauma hingga tak boleh pandu kereta dalam tempoh beberapa bulan.

“Selepas beberapa bulan, kami berdua dapat semangat baru dan percaya apa yang berlaku dah ditakdirkan.

“Apa yang buat kami tak sangka, kehilangan Naufal telah digantikan pula dengan kehadiran orang baru dan adiknya kini seiras muka arwah. Bila tengok adik, terubat rindu pada arwah,” katanya.

Duit boleh cara, nyawa tiada gantinya

Sementara itu, menurut Saiful Hadi, walaupun kemalangan yang melibatkan arwah ini dah lebih dua tahun (27 Ogos 2017) namun memori itu masih kuat.

“Sebagai bapa yang pernah kehilangan anak, saya rasa penggunaan car seat sangat penting. Mungkin kita rasa anak menangis tak mahu duduk buatkan perjalanan terganggu tetapi demi menyelamatkan nyawa kena tahan telinga. Betul ajal maut di tangan Allah tapi kita boleh ikhtiar untuk menyelamatkan anak.

“Pengajaran bagi saya untuk anak kedua ini pun setiap kali masuk kereta, kami suami isteri akan meletakkannya dalam car seat. 

“Saya dah tak mahu kehilangan anak buat kali kedua. Jika orang kata kerusi keselamatan kanak-kanak mahal itu sebenarnya bukan masalah besar sebab duit boleh dicari manakala nyawa tidak boleh diganti.

“Lepas ini buat ibu bapa Beli, Pasang & Gunakan kerusi keselamatan anak sebaik mungkin. Jangan setakat ada dalam kereta tetapi sebagai hiasan kerana anak tak mahu duduk. Biasakan dari awal lagi mudah untuk anak faham,” jelasnya.