Hati ibu mana tak sedih ada susu banyak-banyak pun lepas pam terpaksa buang macam tu je. Tapi inilah hakikat yang terpaksa dilalui bagi ibu yang oversupply dan tak terminum oleh anak.
Jika nak simpan stok dalam peti pun dah tak termampu kerana terlalu banyak sangat. Bayangkan jam 1 petang pam dah dapat satu jug, jam 2.30 petang pula pam dapat lagi satu jug. Begitulah seterusnya. Mungkin orang anggap macam tipu, hakikatnya ini yang dilalui oleh Puan Halijah Tajon.
Setiap sejam dapat satu jug
Berkongsi pengalamannya yang diberikan rezeki susu meriah, dari anak pertama memang susu dah banyak. Bila dapat anak kedua, situasinya pun sama sehingga terpaksa ambil pil keringkan air susu kerana payudara bengkak jika anak lambat hisap atau pam.
Bila orang tahu saya ambil pil keringkan susu, rata-ratanya cakap ruginya. Memang rasa rugi tapi yang menanggung sakit tu saya. Sampaikan boleh buat saya demam kalau payudara bengkak.
Lambat pam susu menitik sampai basah baju
Memandangkan saya bekerja, kadang di pejabat terpaksa berulang alik pam di surau setiap jam. Jika kebetulan waktu itu tengah banyak kerja memang basahlah baju. Tekap dengan kain pun tak mampu menampung kerana susu menitik-nitik.
Malam tak boleh tidur lena
Waktu malam pula selain bangun menyusu anak, terpaksa tidur-tidur ayam je sebab kejap-kejap bangun untuk pam. Lambat pam baju basah, susu menitik. Dalam pantang nak berurut pun susah. Tiap kali urut, air susu keluar je.. sapu tangan jangan cakaplah berapa banyak guna. Setiap kali basah saya tekap. Memang tak tahu nak buat macam mana lagi. Bayi pun minum bukanlah banyak sangat. Tapi susu saya satu jam dapat satu jug.
Itu pun saya dah usaha elakkan makanan yang boleh menggalakkan susu banyak seperti tak makan sayur bayam serta makanan lain lagi.
Adik terpaksa operate buang susu basi
Susu badan banyak ini bukan pada saya seorang je, adik beradik yang lain pun sama. Memang macam ni. Sampaikan kami takut nak bersalin. Bukan tak mahu anak tetapi risau jadi macam ni.
Adik saya sampai perlu melakukan pembedahan payudara untuk buang susu basi hanya kerana lambat pam.
Pakai tangan pun susu keluar macam air paip
Menurut Halijah lagi, pelbagai jenis pam digunakan sejak dari anak pertama untuk pastikan tak bengkak susu. Ibaratnya pam elektrik tu tak boleh berpisah dengan saya. Berapa banyak dah koleksi pam yang ada dalam simpanan saya.
Kadang kalau sakit sangat, saya terpaksa perah pula guna tangan. Tu pun susu boleh keluar macam air paip.
Apa-apa pun saya tetap bersyukur kerana tak semua wanita diberikan rezeki susu yang banyak. Ramai juga yang tanya dan minta petua tapi yang boleh saya katakan semuanya rezeki dari Allah.
Banyak atau sikit susu ibu, yang penting niat kita untuk menyusukan anak tu pun satu jihad besar dan besar ganjarannya.
Kredit: Halijah Tajon
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)