Satu Juzuk Satu Bulan. Setiap Hari Umie Perdengarkan Ayat al-Quran Untuk Aisya

Share

Pelakon terkenal Datin Seri Umie Aida menggunakan pendekatan memperdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk kepada anaknya, Aisya Humaira.

Umie, 46, atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, berkata, method yang digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak itu turut dipraktikkan untuk Aisya.

“Alhamdulillah, sekarang Aisya sudah berusia lebih dua bulan. Jadi, sudah masuk juzuk dua.

“Saya menggunakan pendekatan digunakan Ustaz Hadi Hidayat dalam mendidik anak. Caranya, perdengarkan ayat al-Quran selama sebulan untuk satu juzuk. Begitulah seterusnya.

“Macam untuk diri sendiri, saya buat dengan surah Yassin. Bangun pagi buka dan sebelum tidur pun sama. Alhamdulillah, lama-lama kelamaan sudah boleh hafal.

ARTIKEL LAIN [Seawal 0-3 Bulan Bayi Serap Semuanya. Jika Tenung Muka Pun Anak Boleh Faham]

“Jadi, method sama saya buat kepada Aisya yang otaknya masih segar. Dia serap apa dia dengar. Tinggal nanti, apabila dia boleh baca dan akan terus ingat. Insya-Allah, itu yang saya buat sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Umie yang juga pelakon filem Dukun berkata, pendekatan dibuat itu dapat mendidik dirinya menjadi manusia lebih baik.

“Allah bagi anak ini untuk mendidik kita yang kadang kala alpa dan leka.

“Anak ini mendidik saya menjadi manusia yang lebih baik dan mendekatkan diri kepada Allah. Kita mohon sesuatu yang terbaik untuk anak kita.

“Apa yang kita buat terbaik untuk anak kita, dalam masa sama untuk diri kita juga,” katanya.

Sebelum ini, Umie berkata, kehadiran anak syurga itu dalam hidupnya bersama suami, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah rezeki yang tidak ternilai.

Anak angkatnya yang diambil pada Julai lalu ketika usianya 12 hari adalah hadiah paling berharga dan sangat besar maknanya buat seluruh keluarga Umie Aida.

Umie yang berkahwin dengan Khairuddin Mac 2010 tidak dikurniakan cahaya mata.

Sebelum ini, Umie sudah memiliki dua anak angkat lelaki iaitu Mohd Daniel Firdaus, 26, dan Mohd Dzulhelmy, 25.

Sumber: Harian Metro & Ig Umie Aida

Published by
Wan Amy