Satu Persatu Allah Bukakan Jalan. Ainul Mardhiah Dijangka Berlepas Ke UK Minggu Depan

Share

Kerajaan Melaka akan membantu kos penerbangan dan pengangkutan keluarga bayi berusia 8 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menderita kanser ‘Germ Cell Tumor’ di bahagian mulut, ke United Kingdom (UK).

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk membantu memudahkan urusan keluarga itu mendapatkan rawatan di luar negara.

“Kos pembedahan itu agak tinggi, buat masa ini kita akan berikan bantuan dari segi untuk beliau dan keluarganya ke luar negara, daripada kos penerbangan dan pengangkutan itu kita bantu,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah bantuan yang diberikan kerajaan negeri bagi membantu keluarga dari Ayer Molek itu.

Bapa bayi itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika dihubungi berkata beliau berserah kepada Allah dan memohon kepada semua pihak mendoakan anaknya sembuh seperti biasa.

Beberapa hari lalu, media melaporkan Ainul Mardhiah dijangka berlepas ke UK minggu hadapan, bagi menerima rawatan daripada doktor pakar di negara berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia yang bertugas di hospital UK, Dr Nur Amalina Che Bakri yang menyatakan hasratnya untuk membantu dan cuba menghubungi beberapa kenalannya daripada pelbagai bidang kepakaran bagi membincangkan mengenai kes bayi itu.

Satu Persatu Allah Permudahkan

Sementara itu, di Facebook Ahmad Safiuddin dia sangat bersyukur Allah permudahkan urusan anaknya.

Sebelum ini Ahmad Safiuddin ada bertanya mengenai urusan membuat pasport Ainul untuk persediaan ke UK. Namun beberapa jam selepas itu, Safiuddin menjelaskan telah dihubungi pegawai imigresen yang menawarkan bantuan untuk memudahkan Ainul membuat passport tanpa perlu ke pejabat imigresen.

Ahmad Safiuddin juga mengesahkan mereka turut dihubungi wakil Malayia Airlines untuk menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan urusan perubatan adik Ainul di London.

Semuanya macam Allah dorongkan jalan. Allah gerakkan hati kita semua untuk berbuat baik.

Tadi, pegawai kanan di Putrajaya mahu bantu Ainul untuk buatkan passport tanpa perlu kami pergi ke imigresen. Maksudnya, beliau dengan pegawai lain akan datang ke rumah buat passport di rumah.

Baru ni, orang ramai di Twitter minta MAS Airlines untuk benarkan Ainul naik flight ke London dan semalam Dr. dari department Medical Mas Airlines ada hubungi saya bertanya tentang keadaan sebenar Ainul untuk beliau bantu.

Satu per satu Allah bukakan jalan.

Sebak betul kami sekarang ni. Macam tidak percaya dahulunya kami ini bukan sesiapa, tetapi hari ini rata-rata masyarakat menyebut nama Ainul.

Ke mana sahaja kami pergi sekarang ini, mesti akan disambut orang. Semuanya baik hati!

Sekiranya anda ingin menghulurkan bantuan, anda boleh terus salurkan ke akaun Maybank bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak; 554110509928.

Sumber: Bernama & FBAhmad Safiuddin

Published by
Wan Amy