Keibubapaan

“Saya Buang Ego Untuk Dapat Pekin Petra.” Pekin Kongsi Perjalanan 4 Tahun Nak Anak

Share

Selama empat tahun menanti kehadiran cahaya mata, pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim baru-baru ini berkongsi tentang cabaran bersama isterinya, Mona Allen menantikan cahaya mata selama empat tahun.

Menerusi wawancara bersama radio Zayan dalam segmen Kisah Inspirasi Zayan, Pekin memberitahu bahawa dia tidak merancang untuk mempunyai anak pada tahun pertama perkahwinannya bersama Mona Allen.

“Sebenarnya pada tahun pertama tu kita memang merancang untuk tiada anak lagi kerana masih sibuk dengan kerja tapi tahun kedua dah bersedia nak ada anak masih tiada rezeki,” katanya.

Semua ni rahsia Allah

Walau bagaimanapun, setelah kedua-duanya bersedia, pasangan tersebut masih tidak mempunyai rezeki dan gagal untuk menambah ahli baharu dalam keluarga mereka.

“Kita ingat bila dah ready nak anak terus jadi tapi tidak kerana yang bagi itu hanya Allah.”

Tambahnya lagi, dia dan isteri mengalami tekanan dan menggunakan pelbagai kaedah moden dan tradisional untuk menimang cahaya mata.

Pelakon filem Rock Oo! itu juga mengakui bahawa tekanan lebih kepada isterinya kerana melihat rakan-rakan yang hamil setelah berumah tangga.

“Tekanan lebih kepada Mona kerana dia nampak kawan-kawan dia hamil dan bawa anak. Tapi saya stres bila dia beritahu yang dia nak anak tetapi kami belum dikurniakan lagi anak.”

Buat pemeriksaan, dua-dua tiada masalah

Bercerita lebih lanjut, pada tahun keempat perkahwinan, Pekin membuat pemeriksaan kesihatan di hospital dan didapati dia dan isterinya tidak mempunyai sebarang masalah tentang kesuburan.

“Bila masuk tahun keempat kena tawakal lah…Sebagai seorang lelaki kena buang ego maknanya pergi buat pemeriksaan di hospital. Tapi lega kerana masing-masing tiada masalah, cuma Allah belum beri,” ujarnya.

Sekadar info, Pekin dan Mona Allen berjaya menimang putera sulung mereka pada 31 Ogos 2022 di sebuah pusat perubatan swasta di Selangor.

Kredit: Zayan; beautifulnara

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

Published by
Wan Amy