Semua pasangan yang sudah berkahwin tentu sahaja mengimpikan ada zuriat sendiri. Namun tidak semua pasangan direzekikan mudah mendapat cahaya mata.
Ada ramai yang diuji belum dikurniakan kehadiaran anak meskipun sudah mendirikan rumah tangga sekian lama bahkan ada yang sudah mencecah belasan dan puluhan tahun.
Penyanyi, Indah Ruhaila, 35, yang sudah mendirikan rumah tangga dengan suaminya Ahmad Shariff Ahmad Taufiq, 41, tidak menafikan apabila bersendirian dia kerap terfikir mengenai kehadiran zuriat dalam hidup mereka.
Ini berikutan apabila terlalu kerap menerima soalan tersebut daripada orang sekeliling.
Mengakui dia dan suami sememangnya teringin sangat menimang cahaya mata sejak berkahwin pada 24 Disember 2017, namun akur rezeki mereka belum kesampaian.
“Sebenarnya saya nak sangat anak, cuma belum ada rezeki Allah beri kepada saya dan suami selepas lima tahun berkahwin.
“Hal pasal zuriat ini, bila orang tanya macam senang saja. Tapi bila saya duduk sendirian, saya terfikir memang susah sebenarnya.
Saya terfikir kalau tiada anak, siapa jaga saya bila tua nanti? Tapi saya tak nak fikir yang tak baik sebab Allah lebih tahu masa tepat untuk beri cahaya mata kepada saya,” katanya.
Menurut Indah, ramai saja di luar sana berdepan perkara sama. Ada yang melakukan kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tetapi masih belum memperoleh cahaya mata.
“Saya enggan menekan diri. Kalau orang tanya, saya akan cakap tak nak tekan diri sendiri, suami pun tak tertekan. Tak apa sudah sampai masa nanti akan dapat.
“Masih awal lagi untuk saya buat rawatan sebab baru lima tahun kan. Saya masih lagi mencuba cara semula jadi. Saya pun bukannya tua sangat,” katanya.
Pa&Ma mendoakan agar Indah dan suami dikurniakan zuriat sendiri satu hari nanti. Insya Allah.
Sumber: Harian Metro , Indah Ruhaila
Dengan bayaran RM20, pembukaan akaun Simpan SSPN akan dibuat secara automatik. Lebih menarik, untuk peserta-peserta terawal yang mendaftar akan menerima hadiah istimewa dari Pa&Ma. Jangan tunggu lagi, ayuh daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/ajar-anak-simpan-duit/
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di sini