“Saya Kelihatan Sangat Gemuk, Berat Naik 30 Kilogram”. Adira Akui Selera Makan Bertambah Sejak Hamil

Share

Penyanyi Adira Suhaimi bakal menimang cahaya mata lelaki pada awal bulan hadapan.
Adira berkata dia gembira apabila mendapat tahu berita tersebut.

“Alhamdulillah, bayi dalam kandungan sihat. Insya Allah saya akan melahirkan anak lelaki. Apabila dimaklumkan perkara ini, saya sangat gembira. Jadi, cukup sepasang.

“Cuma, sejak kehamilan saya kerap demam. Mungkin ia pembawaan budak. Disebabkan itu, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Kalau keluar pun pergi tempat yang tidak ramai orang.

“Saya juga ambil keputusan berehat daripada menyanyi sejak usia kandungan tujuh bulan. Saya mahu berehat dan fokus kepada kandungan,” katanya.

Berkongsi mengenai kehamilan keduanya itu, Adira berkata selera makannya bertambah hingga berat badan naik mencecah 72 kilogram berbanding sebelum ini 42 kilogram.

“Ketika mengandungkan anak sulung, berat badan naik dan saya kelihatan sangat gemuk. Sama macam sekarang. Ditambah pula selera makan bertambah.

“Pada mulanya risau juga kalau terkena kencing manis, tetapi selepas membuat pemeriksaan doktor memaklumkan keadaan kesihatan okey.
“Cuma, untuk proses bersalin nanti saya berharap dapat bersalin normal kerana anak sulung dilahirkan secara pembedahan. Jadi, doakan segalanya dipermudahkan nanti,” katanya.

Adira berkahwin sebagai isteri kedua kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Mereka dikurniakan anak perempuan, Anggerik pada 10 Mac 2017 yang kini berusia setahun enam bulan.

Sumber: Harian Metro & ig adira.suhaimi

Published by
Wan Amy