“Saya Marah Anak, Isteri Akan Peluk Mereka”. Fazley Yaakob Guna Prinsip Ini Didik Anak

Share

Ibu bapa mana yang tak sayangkan anak. Anak buat silap bukan bermakna kita hanya berdiam diri sahaja tetapi perlu ada cara untuk membuatkan mereka sedar apa kesalahan yang dilakukan.

Begitu juga dengan cara Datuk Fazley Yaakob mendidik anaknya. Chef selebriti berusia 40 tahun ini turut mengenakan hukuman setimpal sekiranya anak-anaknya melanggar peraturan.

“Saya didedahkan dengan dua perkara oleh parents iaitu kasih sayang yang sentiasa dibentuk dan juga disiplin yang disarankan setiap waktu.

“Jadi, untuk anak-anak, bila masa untuk dibelai manja, saya akan layan, tapi kalau time rotan, saya rotan betul,” katanya.

Begitu pun, pelantun lagu Asmara ini berkata, hukuman yang dikenakan masih di tahap berpada-pada.

“Cuma, bila saya rotan, saya ada batas, saya hanya pakai hanger plastik dan tali pinggang kecil.

“Dan… saya hanya akan pukul di tapak tangan kiri dan kalau perlu, saya akan pukul dia punya bambam (punggung), tapi itu pun tak kuat. Biasanya, saya lebih guna suara (tinggi).

“Tapi, saya memang bersikap adil dengan anak-anak. Kalau abang kena rotan, adik kena tengok. Kena jadi saksi supaya mereka tak repeat benda sama. Kadang-kadang, semua pun kena rotan,” katanya sambil tertawa.

Bagaimanapun, juara Masterchef Celebriti Malaysia ini enggan bersikap terlalu garang lantaran bimbang anak-anaknya akan menyimpan perasaan takut dan dendam.

“Saya tak nak benda itu berlaku. Saya sendiri walaupun ayah saya garang gila tapi saya tak pernah berdendam dengan dia.

“Prinsip saya dengan anak-anak, kalau saya rotan tak sampai dua minit. Saya hanya bagi dua minit untuk saya peluk dan cium. Saya takkan biar lama-lama. Begitu juga isteri.

“Biasanya, kalau saya marah anak-anak, isteri yang akan peluk mereka, begitu juga sebaliknya. Selama ini, memang itulah prinsip yang kita kekalkan,” katanya.

Lebih membanggakan, katanya, hukuman yang dipraktikkannya itu dilihat berjaya meninggalkan kesan positif.

“Alhamdulillah, pada saya ia berjaya kerana guru-guru mereka melihat anak-anak saya sebagai unik.

“Malah, mereka (guru) juga memuji tingkah laku anak-anak saya yang saling menjaga di antara satu sama lain ketika di sekolah,” katanya.

Fazley mendirikan rumah tangga dengan Datin Azrene Soraya Abdul Aziz pada 2007.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah (Payish), 10, Ahmad Fieradz Shah (Piyash), 8, Ahmad Firudz Shah (Piyush), 7, dan Alayna Selma, tujuh bulan.

Sumber: Sinar Harian

Published by
Wan Amy