Kehilangan orang tersayang ibarat kesakitan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata walaupun orang nampak tenang di wajah. Walaupun hati dah reda kerinduan pada orang yang pergi itu tetap kuat di hati.
Bagi seorang suami, Izrul Mat Taib yang baru sahaja kehilangan isteri tercinta, Norehan Zainal ketika 40 hari berpantang, semua dugaan ini sangat besar lagi-lagi bayi perempuan mereka, Annur Ayesha yang masih memerlukan kasih sayang dan susu seorang ibu.
Namun takdir Allah tiada siapa mampu menolak. Hanya demam biasa sehari sebelum pemergian sebelah petangnya, keesokannya Allah ambil buat selama-lamanya selepas doktor sahkan arwah ada darah beku di jantung.
Arwah isteri dah bagi petanda awal
Menurut Izrul tarikh pemergian arwah isterinya 14 Januari lalu sepatutnya due date arwah melahirkan permata hati mereka. Namun arwah melahirkan Annur Ayesha awal di usia kandungannya 34 minggu seberat 2.3 kg dengan selamat walaupun tak cukup bulan.
“Kelahiran Annur Ayesha ini memberi sinar kebahagiaan kepada kami berdua. Masa awal kelahiran Annur Ayesha memang arwah isteri dah serahkan tugas jaga anak pada saya. Arwah selalu pesan suruh saya belajar dan ajar macam mana nak urus bayi. Dia juga kata saya kena tahu semua kerana dia dah penat dan nak berehat.
“Arwah pun sempat pesan suruh saya bawa anak pergi check up dan saya ada cakap mana boleh. Nanti semua golongan ibu je bawa bayi. Dia sempat membalas ‘habis tu macam mana ibu yang meninggal tinggalkan anaknya’?
“Memang saya tak terlintas pun dia akan tinggalkan kami buat selamanya. Setiap malam dia suruh saya tidur sebelah anak dan dia akan tidur di hujung sambil perhatikan saya menguruskan bayi.
“Arwah juga selalu cakap biarlah Ayesha rapat dengan ayah dan semua keperluan Ayesha dari A-Z saya buat. Arwah hanya ajar dari jauh saja dan macam tak nak rapat.
“Susu pun apabila arwah pam saya akan bagi dalam botol dan dia cakap terpaksa buat macam ni kerana apabila dia tiada nanti anak tak lah menangis mencari ibu apabila dah tiada. Masa tu langsung tak terfikir kata-kata itu,” kongsinya.
Izrul menambah, ketika doktor mengesahkan arwah isteri dah tiada macam tak percaya walaupun dari awal lagi doktor kata harapannya hanya 50:50.
“Kalau saya tidur, dah tak akan bangun lagi..”
Mengimbau kembali saat arwah isteri jatuh sakit, Izrul menjelaskan sebelum Allah ujinya perasaan tak sedap hati itu dah ada.
“Ini kerana setelah saya bawanya ke klinik dan makan ubat pada hari tersebut, arwah kata badan dah rasa ok sikit dan mula berpeluh. Lepas tu saya ke tempat kerja sekitar jam 2 petang dan meninggalkan di bawah pengawasan mak.
“Dalam jam 5 petang, arwah mesej beritahu “Ibu dan Ayesha rindu ayah, balik cepat”. Masa tu tergerak hati nak balik cepat dan sampai di rumah tiba-tiba mak cakap arwah rebah. Terus bawa ke hospital. Sampai di sana kuku dan mata arwah kebiruan. Doktor syak jantung.
“Sepanjang menerima rawatan di kecemasan, arwah masih sedar dan boleh bercakap tapi dalam keadaan lemah kerana doktor nak stabilkannya. Masa tu arwah nak sangat jumpa Ayesha tapi saya suruh dia rehat dulu dan tidur.
“Tapi dia kata kalau dia tidur, dia tak akan buka mata dan bangun buat selamanya,” jelasnya.
Meninggal dalam ambulans
Masa dalam ambulans untuk pindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), doktor cakap harapannya 40:60. Arwah sempat pesan suruh semua ahli keluarga tunggu di HTAA.
“Waktu itu juga saya peluknya dan halalkan makan minum serta berjanji akan menjaga amanah yang ditinggalkan pada saya.
“Sampai di hospital memang arwah dah meninggal dan tak sempat jumpa anak kami buat kali terakhir dan pada tarikh sepatutnya dia melahirkan Ayesha,” katanya.
Allah uji pula Annur Ayesha sakit
Selepas beberapa hari pemergian ibu, Annur Ayesha pula sakit.
“Doktor telah mengambil air tulang belakangnya untuk mengesahkan apa penyakit anaknya.
“Kemungkinan apa yang diberitahu doktor Ayesha terdedah pada kuman dari orang ramai semasa melawat jenazah ibunya.
“Waktu itu memang ramai yang pegang dan menciumnya. Kebetulan pula dia masih bayi antibodi pun belum kuat lagi. Kini doktor terpaksa tahan wad selama 2 minggu untuk pemantauan.
“Doakan Ayesha kembali sihat seperti biasa dan saya boleh membesarkan cinta hati saya dan arwah isteri dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Sumber: Izrul Mat Taib