Bagi kebanyakan orang, bayi yang montel lagi tembam nampak sihat dan sangat comel. Jadi, tidak hairanlah jika ramai ibu bapa beria-ia ingin anak mereka makan banyak agar cepat gemuk. Tapi tahukah anda bahawa perbuatan tersebut sebenarnya memudaratkan anak seterusnya menyumbang masalah obesiti.
Kanak-kanak akan termasuk dalam kategori obes jika berat badannya dua kali ganda daripada berat yang sepatutnya. Kajian menunjukkan bahawa sekiranya obesiti di kalangan kanak-kanak tidak dibendung awal, 70 peratus daripada mereka akan terus membesar menjadi orang dewasa yang gemuk. Inilah yang perlu dielakkan.
Obesiti berlaku akibat wujud lebihan tenaga positif dalam badan iaitu berlakunya pengambilan makanan lebih daripada yang diperlukan. Keadaan seperti ini berlaku apabila seseorang itu makan banyak dan tidak bersenam.
Badan menjadi gemuk bukan hanya kerana lemak yang disimpan tetapi juga hasil daripada pembentukan otot pejal. Orang bertubuh besar perlukan lebih banyak otot pejal untuk bergerak dan penggunaan tenaga sewaktu rehat juga lebih tinggi berbanding mereka yang bersaiz normal.
Kanak-kanak biasanya belajar makan daripada orang-orang di sekeliling mereka terutamanya ibu bapa sebab itu ibu bapa mesti mengamalkan tabiat pemakanan yang baik supaya anak-anak boleh mencontohi corak pemakanan.
Pengambilan makanan yang berlebihan oleh kanak-kanak hanya akan menyebabkan mereka menjadi obes. Biasanya kanak-kanak yang gemuk akan makan banyak kerana mereka perlukan lebih tenaga untuk bergerak. Jadi, untuk mengelakkan anak makan tanpa henti, anda mesti memantau pengambilan makanan mereka.
Makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks boleh mengenyangkan. Hasilnya, kuantiti makanan yang diambil berkurangan. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan anak menjadi obes, pastikan dia mengambil makanan kaya karbohidrat kompleks secukupnya supaya tidak rasa lapar.
Biasanya, kanak-kanak mendapat tenaga daripada lemak. Walau bagaimanapun, pengambilan lemak berlebihan boleh menyebabkan 90 hingga 95 peratus daripadanya disimpan di dalam badan. Hal ini juga perlu dipantau. Anak mestilah mengambil lemak mengikut keperluan tubuh mereka sahaja, bukan berlebihan.
Pengambilan makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan secara berkala juga baik untuk kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti kerana makanan tersebut mengenyangkan dan rendah lemak.
Ads
Selain makanan, air yang diambil oleh kanak-kanak obes juga perlu dikawal. Ibu bapa perlu mengehadkan pengambilan minuman manis oleh anak mereka. Ini kerana rasa manis menggalakkan sesuatu makanan itu dimakan dengan lebih cepat.
Ibu bapa dinasihatkan supaya menjaga diet harian anak sebaik mungkin agar tidak obes. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak obesiti pula, tidak ada perkataan terlambat dalam hal untuk mengembalikan berat badan normal anak-anak. Yang penting kerja keras dan mencuba sedaya-upaya.
Panduan elak OBESITI :
1. Jangan Makan Di Depan Televisyen
Jangan sesekali benarkan anak anda makan sambil menonton televisyen. Hal ini adalah kerana mereka akan leka menonton rancangan yang disiarkan tanpa menyedari yang mereka telah makan dalam kuantiti yang banyak.
Ads
2. Sarapan Penting
Ibu bapa mestilah memastikan anak mereka mengambil sarapan pagi setiap hari. Tidak mengambil sarapan pagi akan membuatkan anak anda makan lebih banyak pada waktu tengah hari. Hasilnya, dia berpotensi untuk mengalami masalah obesiti.
3. Bekalan Berkhasiat
Seboleh-bolehnya, sediakan makanan yang berkhasiat lagi menyihatkan sebagai bekalan anak ke sekolah. Amalan ini penting bagi mengelakkan anak membeli makanan rapu yang banyak dijual.
4. Pelbagaikan Makanan Anak
Bagi kanak-kanak yang terlalu memilih makan dan hanya memakan sesetengah jenis makanan sahaja, ibu bapanya perlulah kreatif agar anak dapat makan makanan yang seimbang. Sebagai contoh, sekiranya anak anda tidak makan sayur, hancurkan sayur tersebut dan masukkan ke dalam hidangan yang digemarinya. Begitu jugalah jika anak tidak sukakan makanan berprotein, ‘sorok’lah ikan atau daging dalam makanan kegemaran mereka.
Ads
5. Kurangkan Pengambilan Gula
Ibu bapa yang mempunyai anak obesiti dinasihatkan agar mengurangkan atau makanan manis masuk ke dalam rumah. Jika menyediakan sendiri kuih muih, pastikan kandungan gulanya juga dikurangkan. Seelok-eloknya, jangan beri anak makan gula-gula. Sekiranya semua ini dijadikan amalan, anak anda pasti tidak akan obes.
6. Makanan Tinggi Kalori
Semak makanan yang anda berikan kepada anak untuk memastikan anda tidak memberi mereka makanan tinggi kalori.
7. Makanan Segera
Bagi sesetengah keluarga, makanan segera umpama makanan ruji mereka. Alasannya mudah dan cepat. Tabiat inilah perlu dibuang agar pemakanan anak lebih terjaga dan mereka tidak obes.
8. Bijak Memilih
Ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak obesiti perlulah berhati-hati ketika memilih makanan untuk anak mereka agar tidak terbeli makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garamnya. Makanan untuk anak obesiti mestilah rendah kalorinya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kerenah anak umur 3 tahun memang macam-macam. Kadangkala mereka berperangai seperti orang dewasa. Kalau diperhatikan memang agak melucukan apabila si kecil berlagak umpama gaya ibu atau ayah. Tetapi ada kalanya boleh jadi marah bila sesuka hati dia bersikap kasar dan garang pada ibu ayah.
“Shhh. Ma diam, jangan bising.”
“Biar, biar Aina buat sendiri!”
Si kecil boleh bertukar wataknya dalam sekelip mata daripada gadis cilik yang manis dan mahu ibu memeluk dan menciumnya, kepada seorang yang degil dan garang.
Jangan hairan atau marah dengan sikap si kecil anda kerana ini sebenarnya adalah proses semula jadi kanak-kanak berusia 3 tahun yang sedang melalui perubahan besar dalam kehidupannya. Mereka mula hendak membina perasaan sendiri dan cuba untuk berdikari dengan cara meniru perlakuan orang dewasa.
Jika anak anda sedang melalui fasa ini yang dikenali sebagai ‘threenager’ bermaksud si kecil yang berusia 3 tahun, tetapi berkelakuan seperti seorang remaja atau orang dewasa.
Walaupun tanpa sedar sikapnya boleh dianggap biadab, proses perkembangan ini merupakan pengalaman pembelajaran kepada ibu bapa dan anak. Ini masa untuk anak membesar dan membentuk personaliti dan karektor dirinya. Jadi berikan mereka sedikit ruang untuk belajar tetapi dalam masa yang sama bimbinglah dengan cara betul cara untuk meluahkan perasaan dan dirinya.
Sekiranya anda mempunyai anak berumur 3 tahun yang berperangai seperti ini, anda tentu faham cabarannya. Sebelum anda bertindak balas pada tingkah laku si kecil tanpa usul periksa, ingatlah perkara paling penting perlu dilakukan adalah untuk menunjukkan contoh tingkah laku yang baik kepada mereka.
Inilah antara perubahan besar yang dilalui dalam hidup anak umur 3 tahun:
1. Mereka belajar untuk menguruskan emosi
Sekitar umur 3 tahun, kanak-kanak mula belajar memahami emosi mereka. Mereka mungkin mula mengenal pasti perasaan mereka dengan perkataan. Bagaimanapun, mereka masih belum lagi bersedia untuk mengawal emosi sendiri. Jika ada sesuatu yang kelakar, mereka akan ketawa tanpa dikawal. Jika sesuatu berlaku dan rasa sedih, mereka akan menangis tanpa henti.
Emosi mereka kuat dan kadangkala boleh di luar kawalan. Cuba untuk bersabar dan faham pada umur 3 tahun, mereka belum ada keupayaan dengan betul untuk mengawal emosi mereka dengan betul.
2. Mereka mahu kepuasan dengan segera
Kanak-kanak umur 3 tahun tidak mempunyai banyak kawalan gerak hati. Sekiranya mereka rasa keperluan untuk buat sesuatu, mereka akan terus lakukan tanpa perlu banyak berfikir.
Contohnya, si kecil terus mengambil barangan yang anda larang daripadanya walaupun selepas anda berkata “Tidak”, atau dia mungkin akan memukul orang lain sekiranya dia rasa marah. Menangguh sesuatu keputusan perlu dipelajari oleh si kecil dalam tempoh masa yang lama, ia bukan mudah difahami oleh anak usia 3 tahun.
3. Mereka belajar bagaimana untuk menyelesaikan konflik
Kanak-kanak umur 3 tahun mungkin akan memukul, mengigit atau menolak sebagai cara untuk menyelesaikan konflik. Oleh kerana mereka bertindak balas mengikut gerak hati, si kecil tak faham perbezaan kemahiran antara penyelesaian konflik yang sesuai dan tidak sesuai.
Sebagai ibu bapa, penting untuk menunjukkan ‘threenager’ anda cara betul dan tak betul untuk meluahkan emosi dan menyelesaikan masalah dengan yang lain.
4. Mereka sedang membentuk sikap lucu
Biasanya kanak-kanak umur 3 tahun ini mempunyai sikap lucu yang boleh membuat orang lain ketawa. Mereka sedang cuba membentuk sikap lucu. Mereka gemar buat orang lain ketawa. Kadangkala perbuatan mereka terkentut pun dirasakan sangat lucu dan menghiburkan. Ingat, anak comel anda sedang belajar untuk menjadi orang yang kelakar.
5. Mereka belajar menjadi empati
Empati mula terbentuk dalam diri kanak-kanak sekitar usia tiga tahun. Mereka boleh merasakan kesakitan atau kesedihan yang dilalui oleh orang lain dan anda boleh mendapat tindak balas daripada mereka bila anda bertanyakan apa perasaannya. Si kecil mungkin akan menangis jika mereka rasa mereka melukakan anda, terutama kalau mereka tak bermaksudkannya.
6. Mereka cuba belajar untuk bermain dengan orang lain
Kanak-kanak umur 3 tahun belajar untuk bermain dengan orang lain. Pada usia ini mereka mula berminat untuk berkawan dengan orang lain. Mereka juga suka mengajak ibu atau ayah bermain bersama.
Bayi anda semakin membesar dengan pantasnya dan mula membentuk karektor diri sendiri. Sebenarnya seronok menyaksikan fasa perubahan sikap si kecil menjadi diri sendiri. Mereka mula mempunyai minat sendiri atau apa yang tak diminati, personaliti diri dan keinginan tahu tentang kehidupan.
Penting untuk semua ibu bapa yang mempunyai anak umur sebegini sentiasa bersikap konsisten dan bersabar kerana ia adalah kunci utama melalui fasa ini dengan bertenang dan tanpa sebarang stres atau marah-marah. Ingatlah yang fasa mereka membesar sangat pantas dan tanpa sedar si kecil usia 3 tahun anda berubah menjadi anak yang bijak dan matang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dengar je anak menangis ibu bapa tewas. Anak menangis kerana terjatuh sedikit terus berlari untuk dukung dan pujuk. Anak merengek kerana mahukan mainan terus dituruti segala permintaan anak.
Itu belum lagi anak mengamuk tak nak makan kerana mahukan makanan ringan terus diberi segala ‘junk food’ asalkan anak makan dan tidak berlapar.
Jawapan kepada semua situasi ini adalah biarkan saja anak anda menangis.
Tip menangani anak
1)Anak menangis kerana terjatuh
Kalau anak terjatuh, kita perhatikan saja dulu dari jauh dan jika ia tidak teruk biarkan sahaja anak tersebut walaupun dia sedang menangis. Apabila si anak mula berhenti menangis baru lah kita menghampiri dia untuk memujuk sambil menasihati bagaimana untuk mengelakkan kejadian itu dari berulang.
2)Anak merengek mahukan mainan
Anak merengek mahukan mainan setiap kali keluar berjalan? Biarkan saja. Walaupun kemungkinan besar si anak akan meraung dan bergolek di lantai seperti di tepi pantai, abaikan saja. Proses ini mungkin agak sukar untuk dihadapai oleh ibu bapa kerana khuatir dipandang pelik oleh orang keliling, namun percayalah ini antara salah satu proses terbaik untuk mendidik anak-anak.
Setelah anak mula berasa tenang, hampiri mereka dengan cara yang baik dan terangkan kenapa tidak boleh. Letakkan syarat setiap kali anda mahu belikan barang kegemaran si anak. Contohnya seperti siapkan kerja sekolah terlebih dahulu, solat 5 waktu, atau bantu kemas mainan di rumah.
3)Anak tidak mahu makan
Jika anak mengamuk tidak mahu makan kerana inginkan makanan ringan, jangan dituruti. Biarkan saja anak kelaparan pada waktu itu. Dengan cara ini anak akan lebih beringat jika dia tidak makan, dia tidak akan dapat makanan lain dan akan berlapar. Maka pada sesi makan seterusnya, si anak tidak mempunyai pilihan lain selain memakan makanan yang telah disediakan.
4)Anak menangis bila kalah sewaktu sedang bermain ‘game’ atau dengan kawan-kawan
Biarkan saja anak dengan perasaan ‘frust’ kerana kalah itu. Didik anak untuk tenangkan diri sendiri dan belajar untuk terima kekalahan. Secara tidak langsung ia menunjukkan sifat positif anak iaitu suka bersaing. Elakkan untuk didik anak sentiasa menang dalam semua perkara.
Kebaikan biarkan mereka menangis
Menangis merupakan salah satu cara komunikasi anak-anak. Masalah terjadi apabila kita salah mendidik, kerana tidak mahu si anak menangis. Segala permintaan anak dipenuhi kerana tidak tahu cara untuk mengawal mereka.
Biarkan si anak menangis selagi ia tidak memudaratkan. Ini adalah kerana semakin anak itu membesar, semakin sukar untuk dikawal dan dibentuk. When No means No. Pastikan anak jelas dengan prinsip itu agar mereka hormat dengan setiap keputusan yang dibuat ibu dan ayah mereka.
“Frustration Tolerance”
Ia sangat penting sebagai persediaan emosi anak-anak untuk menghadapi dunia luar yang lebih mencabar. Didik anak untuk belajar menerima sesuatu yang diluar kawalan serta kawal perasaan ‘frust’ tersebut. Ini adalah kerana di dunia luar, tidak semua yang kita inginkan akan kita peroleh melainkan dengan usaha.
Oleh itu, ibu bapa seharusnya berfikiran lebih jauh dalam mendidik anak-anak. Jangan anggap menangis itu suatu perkara yang tidak elok.
Biarkan si anak belajar untuk memujuk diri sendiri agar mereka lebih matang, berdikari, dan patuh arahan.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dari sudut perubatan, autisme ialah keadaan di mana interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.
Pelbagai tanda-tanda awal autisme yang boleh ibu bapa perhatikan dan jika terdapat tanda-tanda ini, anak anda perlu dihantar kepada pakar dengan segera kerana anak autisme perlu dibantu dengan kadar segera seperti perkongsian daripada doktor kanak-kanak ini.
Mak ayah risau anak ada tanda-tanda awal autisme?
Cuba isikan dulu saringan M-Chat yang ada dalam buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak.