Sayu! Jurugambar Rakam Gambar Pertama, Terakhir Anak

Share

Sebagai seorang jurugambar profesional bersama Reuters, Darrin Zammit Lupi tidak melepaskan peluang merakam dan mengabadikan imej pertama anak perempuannya, Rebecca, sebaik bayi itu dilahirkan ke dunia.

Siapa sangka, 15 tahun kemudian, dia merakamkan gambar terakhir Rebecca, beberapa minit selepas menghembuskan nafas terakhir.

Rebecca, yang mesra dipanggil Becs, disahkan menghidap sejenis kanser tulang yang jarang ditemui, dikenali dengan nama Ewings Sarcoma, pada 2019.

Lebih setahun berjuang, keadaan kesihatan Rebecca semakin merosot pada Krismas lalu.
Dia meninggal dunia pada 3 Januari selepas kira-kira seminggu tidak sedarkan diri.

“Keadaan Becs sangat teruk pada Hari Krismas. Saya tidak menyangka dia boleh bertahan ke penghujung hari, sedangkan Krismas ialah hari yang paling dinantikannya setiap tahun.

“Dua malam berikutnya, dia terjaga. Sangat mengejutkan kerana kami dapat berbual, berkongsi beberapa saat yang sangat berharga.

“Apabila dia kembali tidak sedarkan diri, saya membacakan buku Harry Potter kegemarannya.

“Kata mereka, pendengaran adalah deria terakhir yang akan hilang selepas kita mati, jadi saya mahu dia terus dengar suara saya hingga ke akhirnya.

“Selepas dia ‘pergi’, saya terus bercakap dengannya; yakin dia dapat mendengar saya dan memahami saya lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya memandang ke arah siling. Bukankah roh mereka yang meninggal dunia akan kembali, dan memerhatikan semua dari atas?

“Jadi adakah Becs sedang melihat kami?” cerita Darrin.

Gambar terakhir Becs diambil Darrin beberapa minit selepas dia menghembuskan nafas terakhir. – REUTERS/Darrin Zammit Lupi

Hampir empat bulan, Darrin masih tercari-cari ‘petanda’ seperti yang sering diceritakan, seperti kehadiran Rebecca dalam mimpinya, namun sehingga kini ia masih tinggal harapan.

“Beberapa bulan sebelum dia meninggal, Becs obses dengan permainan Sky Children of the Light di iPhone. Kami main bersama.

“Ketika inilah saya sedar permainan itu melambangkan pelbagai tahap kehidupan, dari awal kanak-kanak hingga kematian dan seterusnya. Dia ajar saya semuanya.

“Tetapi satu yang dia tidak ajar adalah di mana watak anda harus mati untuk maju ke depan. Katanya, saya tidak bersedia untuk itu. Adakah ketika itu dia tahu dia akan mati tidak lama lagi?

“Permainan ini merupakan kiasan apa yang akan berlaku apabila saya sendiri meningggal dunia.

“Dia akan berada di sana menunggu saya, memegang tangan saya dan menemani saya setiap masa.”

Kredit: Astro Awani

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa