Sayur Mentah Antara Makanan Yang Mudah Tercekik Untuk Anak Bawah 4 Tahun!

Share

Tercekik makanan adalah perkara berisiko untuk terjadi kepada anak kecil, terutamanya di bawah usia 4 tahun. Tetapi adakah anda tahu untuk mengenal pasti jenis makanan yang harus dielakkan?

Potensi anak tercekik makanan

Biasanya anak mungkin bersedia untuk menerima makanan seperti puri, yang tidak memerlukan kunyahan apabila mereka sudah mampu untuk menyeimbangkan kepala dan dapat duduk dengan sokongan.

Si manja berusia 6 hingga 12 bulan masih belajar cara untuk mengunyah dan menelan makanan. Ini bermakna mereka berisiko untuk tersedak.

Disebabkan itu, adalah penting untuk anda memerhatikan apa yang anak makan dan masukkan ke dalam mulutnya.

Cara penyediaan dan jenis makanan yang diberikan boleh meningkatkan risiko untuk anak tercekik makanan.

Sesetengah makanan yang dihidangkan adakalanya tidak dimasak, dihidangkan dalam potongan besar dan bentuk tertentu menjadikan masalah tersedak makanan dalam kalangan kanak-kanak lebih cenderung terjadi.

Memotong makanan dalam potongan lebih kecil pastinya dapat mencegah masalah tersedak dan tercekik.

Saluran pernafasan tersumbat

Sebagai ibu bapa, memikirkan tentang risiko tercekik makanan, sudah tentu akan menyebabkan anda berasa risau, kan?

Usah bimbang, di sini Hello Doktor senaraikan 9 jenis makanan berisiko tercekik dan tersedak yang harus dielakkan, khususnya jika si manja berusia kurang daripada 4 tahun.

Sosej
Ia antara makanan yang paling suka diberikan kepada anak. Namun ia amat berisiko menyebabkan tercekik kerana bentuknya seperti tiub dan mampat isinya.

Jika anda masih ingin berikan sosej, apa kata anda potong makanan tersebut secara memanjang dan kecil.

Potongan daging
Pastikan daging diberikan dalam saiz gigitan yang kecil dan mudah dikendalikan oleh bayi atau anak kecil.

Sebaiknya elakkan daripada kepingan besar kerana anak cenderung mengigit pada kadar yang tidak sepatutnya. Ia boleh menyukarkan mereka untuk mengunyah atau menelan.

Buah anggur
Umumnya, buah ini memang baik untuk bayi selagi ia disediakan dengan cara yang betul. Bagaimana?

Jika anda selalu memberikan si manja sebiji anggur secara keseluruhan, ia SALAH. Sepatutnya anggur perlu dipotong memanjang dan kecil.

Kulit anggur juga boleh menyebabkan anak mengalami masalah tercekik makanan, jadi sebaiknya kupaskan kulitnya terlebih dahulu.

Gula-gula
Kebanyakan gula-gula dihasilkan dalam tekstur yang keras. Jenis makanan seperti itu membuatkan anak berisiko tercekik apabila ia boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

Gula-gula getah
Jangan terkejut, ada ibu bapa yang memberikan si kecil chewing gum.

Sudah tentu makanan sebegitu berbahaya kerana boleh menyekat saluran udara kanak-kanak serta mengakibatkan tersedak dan tercekik.

Kekacang & bijian
Tidak dinafikan ia jenis makanan yang sihat dan baik.

Pun begitu, ia adalah makanan yang cenderung menjadi punca anak tercekik kerana si kecil tidak mampu mengunyahnya dengan baik.

Anda harus sedar bahawa gigi geraham bagi kanak-kanak di bawah usia 4 tahun mungkin belum tumbuh lagi, malahan mereka masih belajar untuk mengunyah. Jadi elakkan, okay?

Bertih jagung
Siapa yang tidak sukakan popcorn? Rasanya yang manis pasti boleh menambat hati anak kecil.

Walau bagaimanapun, ia tidak sesuai diberikan kerana ketidakupayaan mereka untuk mengunyah.

Apa kata anda tunggu sehingga si manja berusia 4 tahun dan ke atas sebelum memberikannya kepada mereka?

Mentega kacang
Tekstur jenis makanan ini boleh menyebabkan anak berdepan masalah tercekik makanan seperti memakan gula-gula keras atau chewing gum.

Ia boleh menyekat saluran pernafasan mereka.

Sayuran mentah
Bagus jika anak suka memakan sayuran.

Tetapi pemberian sayuran mentah dalam potongan boleh mengakibatkan anak tersedak. Jadi berikan dalam saiz potongan yang lebih bersesuaian.

Kebanyakan anak suka makan sambil berjalan atau bergerak tetapi dengan 10 jenis makanan disenaraikan di atas, ia boleh meningkatkan risiko untuk mereka mengalami masalah tercekik makanan.

Pastikan anda duduk dengan baik dan elakkan daripada menjadi terlalu aktif semasa makan. Risiko akan meningkat sekiranya mereka tidak menumpukan sepenuh perhatian ketika makan.

Aktiviti berintensiti tinggi seperti berjalan, berlari mahupun bercakap haruslah dielakkan.

Mencegah risiko tercekik makanan

Cara paling baik untuk menghindari daripada tercekik atau tersedak makanan adalah untuk menunggu sehingga si manja dapat duduk di kerusi dengan betul sebelum memperkenalkan makanan pejal.

Elakkan jenis makanan berisiko dan pastikan setiap makanan besar dipotong kepada saiz yang lebih kecil.

Sentiasa awasi anak anda ketika makan. Jangan asyik leka menghadap phone pula, ya?

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa