Dilahirkan cukup bulan dengan berat 3.15 kilogram, kehadiran Muhammad Ziyad b. Muhamad Akmal, 4, memberi kegembiraan pada kedua ibu bapanya.
Membesar seperti bayi lain mengikut usia cuma apabila menginjak usia setahun ke atas terdapat beberapa kelainan yang mula diperhatikan oleh ibunya, Dr Fatin Nadhirah Idrus sehinggalah pakar mengesahkan Ziyad mengalami masalah autisme.
Menurut ibu Ziyad, perkara pertama yang dapat dikesan pada Ziyad ketika umurnya setahun ke atas adalah masih tak dapat menyebut perkataan mudah. Nak apa-apa cuma tunjuk atau beri isyarat.
“Biasanya kanak-kanak yang dah nak masuk umur dua tahun paling kurang dah boleh sebut antara 40-50 patah perkataan tapi Ziyad langsung tak bercakap.
“Lagi satu Ziyad kuat tantrum dan boleh berguling-guling jika tak dapat apa yang dia nak. Tak kiralah di rumah atau di tempat awam. Memang masa mula-mula tak tahu masalah ini rasa sangat stres tapi tetap fikir positif.
“Saya juga perasan ketika umur Ziyad setahun lebih juga dia kerap mengibas tangan tak kira masa. Sama ada gembira, menangis atau sedang marah serta dia jadi seorang yang memilih makan sehingga tak mahu makan dan hanya minum susu sahaja,” kongsi Fatin.
Suami Sukar Terima
Disebabkan ciri-ciri yang ditunjukkan oleh Ziyad, ibunya banyak bertanya pendapat dan membaca sehinggalah mendapat keputusan Ziyad benar-benar anak istimewa ketika usianya 1 tahun 8 bulan.
Bermula dari itu, setelah dinasihatkan oleh pakar mengenai rawatan yang perlu dilakukan, ayah Ziyad yang juga seorang doktor tak dapat nak terima keputusan ini.
“Bagaimanapun, kami tak ambil masa lama untuk membantunya terutama meningkatkan kemahiran pertuturan dan kawalan emosi.
“Kami bawa dia pergi melakukan terapi, menghantar ke pusat perkembangan, memanggil guru untuk mengajarnya di rumah dan turut mendaftar ke sekolah tadika supaya ada aktiviti yang boleh dilakukan.
“Kiranya dalam seminggu jadualnya padat dengan aktiviti dan sejak kebelakangan ini dah nampak banyak perubahan pada Ziyad. Walaupun tantrumnya masih ada tapi dah boleh kawal,” jelasnya.
Ada juga terdetik di hati ini, seandainya saya ditakdirkan meninggal dulu apa nasib Ziyad selepas ini? Dan sehingga kini masih belum dapat jawapannya.
Mohon Kad OKU
Fatin menjelaskan sebagai langkah awal, niat saya memohon kad OKU ini bukan untuk dapat keistimewaan tetapi untuk melindunginya.
“Jika tak kena cara dia boleh menggigit, ambil apa saja barang dari orang atau berlari tanpa rasa takut pada orang lain.
“Cuma apa yang saya rasa sedikit terkilan, mentaliti masyarakat di Malaysia masih tak boleh terima lagi anak istimewa ini ketika berada di tempat awam. Pandangan mereka seolah-olah seperti ada sesuatu yang pelik.
“Sebagai ibu saya harap Malaysia boleh mewujudkan bandar “autisme friendly” macam di Ireland,” ujarnya.
Memori Ziyad kuat
Menarik mengenai anak autism ini memorinya cukup kuat untuk menghafal. Macam Ziyad dia boleh hafal semua jenis nama dinosaur, nama semua ultraman dan juga nama negara dalam peta USA.
“Bukan itu sahaja, apa yang dia lihat dan dengar cepat diingatinya sehingga rasa kagum dengan kebolehan anak autism ini,”akhiri Fatin.