Penjagaan mulut dan gigi anak sangat penting dan perlu diambil berat seawal usia anak 1 hari. Kenapa penting? Kerana jika tidak dijaga dengan betul, ia akan menyebabkan jangkitan kuman dan kerosakkan gigi yang teruk.
Menurut perkongsian doktor, ada beberapa kes yang memerlukan pembedahan akibat penjagaan yang mulut yang salah. Isu seperti ini perlu dipandang serius oleh ibu bapa supaya penjagaan gigi anak di ambil berat.
Masuk hari ni, hampir setiap minggu ada sahaja kes budak yang dimasukkan ke Dewan Bedah disebabkan karies gigi.
Kasihan sungguh kanak kanak sebegini. Seawal usia 3 tahun perlu dibius dan menjalani pembedahan besar serta pembersihan nanah dan mulut serta cabut gigi sehingga berbelas batang.
Karies gigi ini lah menjadi punca berumahnya bakteria sehingga menjadi nanah yang menjadikan muka mereka bengkak.
Ads
Tolong ye parents semua.
Jaga kebersihan mulut dan gigi. Kurangkan manis- manis dan tidur dengan botol susu. Paling penting sila berus gigi anak anda. Mereka kecil lagi. Tak boleh biar ikut suka hati mereka nak berus atau tidak. Tangkap dan berus gigi mereka. Mula mula mereka marah, lama lama mereka okay sahaja.
Kalau dah jadi macam ni, anak nak makan pun tak boleh. Sakit , menderita, demam, kebuluran dan kurus kering. Seluruh yang rosak perlu dicabut.
Ads
Bayangkan anak sekecil 3 tahun habis tak bergigi. Bagaimana nak makan sementara nak tunggu umur 6 tahun untuk gigi kekal mula tumbuh? Nak kunyah macam mana?
Kasihanlah anak itu.
Untuk ibu bapa yang dah tersedar dari lamunan, sila bawa anak anda berjumpa doktor gigi. InshaAllah doktor gigi boleh bantu anak anda. Tahan sahajalah telinga dengar leteran doktor bagi nasihat.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesedaran awal tentang penyakit kanser amat penting. Salah satu daripada ciri-ciri penyakit kanser adalah keupayaannya untuk berulang walaupun ianya sudah dihapuskan sepenuhnya pada peringkat awal. Sebab itulah mencegah kanser itu lebih baik daripada merawat.
Ibu bapa yang mempunyai anak menghidap kanser dinasihat tidak tunduk kepada pihak yang menawarkan rawatan lain selain disarankan doktor.
Penasihat Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) Dr Nor Azizah Mohd Taib berkata terdapat ibu bapa yang terpengaruh dengan dakyah bahawa rawatan kanser seperti kimoterapi akan membawa kesan lebih buruk dan menolak rawatan tersebut.
“Saya sangat kesal dan ibu bapa hanya ke hospital apabila keadaan anak bertambah buruk serta terlalu lewat untuk dirawat dan menyalahkan pihak hospital selepas itu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Jom KIDS Raya 2018 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Dr Nor Azizah berkata sebaliknya rawatan kimoterapi ke atas anak-anak kanser yang dikesan awal mempunyai peluang 80 hingga 90 peratus sembuh berbanding orang dewasa.
Namun, katanya, sikap segelintir golongan yang mengaitkan kanser dengan maut dan tidak mempunyai harapan sembuh mempengaruhi golongan ibu bapa menjadikan hospital pilihan terakhir merawat anak mereka atau ‘lari’ daripada rawatan sepatutnya.
“Ibu bapa perlu mendengar nasihat doktor kerana rawatan yang kita berikan berdasarkan data dan fakta sains yang dirujuk daripada beribu-ribu kes dalam dan luar negara.
“Yang sakit anak kita, jangan terpengaruh dengan pihak lain yang mencadangkan rawatan lain tanpa adanya fakta dan bukti yang menyembuhkan penyakit itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Nor Azizah menitipkan pesanan supaya ibu bapa atau pihak yang mahu menyebarkan gambar kanak-kanak pesakit kronik untuk tujuan mencari sumbangan atau sokongan, supaya lebih beretika.
Katanya, tidak salah untuk ibu bapa berbuat demikian namun perlu mengelak menggunakan gambar kanak-kanak dalam keadaan terlalu mengganggu.
“Bagi saya ia mengaibkan, meletakkan gambar dengan tumor besar di mata, di tangan atau di kepala akan memberi pandangan kanser ini sakit yang tidak boleh dirawat. Juga kanak-kanak nazak dalam keadaan sesak nafas atau sebagainya.
Sebaliknya ibu bapa boleh menggunakan gambar ketika kanak-kanak masih normal atau berada di peringkat awal sakit dan boleh ceritakan keadaan semasa kanak-kanak itu,” katanya.
Sementara itu, Majlis Jom Raya KIDS 2018 mengumpulkan kira-kira 600 ibu bapa dan anak-anak kanser termasuk keluarga mereka.
Turut diadakan sumbangan duit raya kepada anak-anak kanser dan adik-beradik mereka serta persembahan bakat oleh anak-anak kanser berkenaan.
KIDS, sebuah badan bukan kerajaan ditubuhkan sekumpulan ibu bapa kanak-kanak menghidap kanser yang dirawat di Wad Onkologi (Wad KK3), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur bertujuan mengumpul ibu bapa, penjaga pesakit kanser yang sedang dan pernah menjalani rawatan di wad berkenaan serta menyediakan sokongan emosi, semangat dan perkongsian pengalaman
Ikuti pengalaman ibu bapa yang pernah mempunyai anak penghidap kanser dalam rancangan Pa&Ma bertajuk “Wira Kecil Berjiwa Besar” pada hari Selasa, 17 Julai jam 12 tengahari dan ulangannya jam 9 malam di Astro Prima dan Astro Maya HD.
Sumber: Bernama
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Minggu ke-36 dah berlalu tapi bayi masih songsang. Paling banyak yang difikirkan ialah kaedah bersalin, normal atau caesarean?
Menurut Dr Norleen Salleh, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, bayi akan berada dalam posisi songsang dalam tempoh tertentu dan akan kembali ke kedudukan kepala ke bawah menjelang minggu ke-36. Tetapi bagi kes bayi songsang, posisinya tidak berubah.
Lazimnya doktor akan mendiagnosis kandungan berada dalam keadaan songsang apabila menjelang minggu ke-36 melalui ujian imbasan. Pengesahan pada waktu ini agak membimbangkan kerana bayi semakin membesar dan agak sukar untuk bergerak dan mengubah kedudukan kepalanya ke bawah.
Terdapat tiga keadaan songsang yang biasa dihadapi oleh ibu hamil.
1.Complete breech
Keadaan songsang di mana punggung bayi menghadap bahagian bawah uterus manakala kakinya dalam keadaan terlipat di bawah punggungnya.
2.Extended breech
Punggung bayi seperti duduk di dalam saluran kelahiran (birth canal) dengan kakinya berlunjur ke depan.
3.Footling breech
Keadaan songsang ini membabitkan sebelah atau kedua-dua kaki bayi terletak di bahagian bawah seperti dalam keadaan berdiri.
Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya kandungan songsang. Ia sering terjadi disebabkan oleh;
Kedudukan bayi yang songsang boleh diubah dengan cara tertentu bergantung pada keadaan ibu, bayi, tali pusat dan uri. Prosedur External Cephalic Version (ECV) iaitu proses memusingkan kepala bayi ke bawah boleh dilakukan pada minggu ke-32 hingga 36 di hospital oleh doktor pakar yang mahir dengan menggunakan bantuan pengimbas ultra bunyi untuk melihat kedudukan uri, tali pusat dan anggota badan bayi.
Alat untuk mengukur degupan jantung bayi turut digunakan untuk mengetahui tahap kesihatan bayi. Ramai yang mengatakan prosedur ini menyakitkan dan ia mempunyai risiko yang tertentu. Dalam keadaan tertentu, ia boleh mencetuskan kontraksi dan menyebabkan kelahiran.
Urutan tradisional dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepada uterus, putus tali pusat, uri lekang, tumpah darah, kelahiran pramatang dan kematian bayi dalam kandungan.
Ibu juga boleh berusaha dengan mengamalkan kedudukan bersujud (kedudukan melutut dan kepala direndahkan). Tarikan graviti boleh membantu menggerakkan kepala bayi ke bawah. Kedua-dua cara iaitu prosedur ECV dan bersujud boleh dilakukan namun peratusan berjaya adalah rendah sekiranya tali pusat bayi pendek atau berbelit.
Tidak semua kandungan songsang boleh dilahirkan melalui cara normal. Pembedahan Caesarean adalah alternatif utama. Hanya dalam keadaan tertentu sahaja kelahiran normal melalui serviks yang dibolehkan oleh para pakar perbidanan.
Perlu difahami bahawa kelahiran bayi songsang dengan kaedah normal mempunyai risiko komplikasi tali pusat (cord accident) seperti cord prolapse iaitu tali pusat yang terkeluar terlebih dahulu sebelum bayi.
Jika ini berlaku, ia boleh menyebabkan tali pusat tidak berfungsi dengan baik dan bayi berkemungkinan tidak mendapat bekalan oksigen dan boleh menyebabkan kematian. Tali pusat juga boleh menjerut leher bayi dan boleh menyebabkan bayi lemas. Risiko tali pusat berpintal juga perlu diambil kira.
Selain itu, kedudukan kepala bayi di atas juga boleh menyebabkan ia tersangkut di saluran serviks. Hal ini kerana bahagian kepala adalah yang paling besar boleh menyebabkan asphyxia (lemas) yang boleh menyebabkan kecacatan otak dan kematian.
Menurut Dr Norleen, doktor yang merawat akan memberikan kaunseling pasangan terbabit tentang cara terbaik yang boleh dilakukan berdasarkan keadaan dan situasi semasa. Alternatif melahirkan terbaik bagi kehamilan songsang ialah pembedahan caesarean. Pembedahan ini akan dicadangkan apabila kehamilan mencecah usia minggu ke-37 di mana bayi telah matang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melalui fasa selepas bersalin atau dikenali sebagai berpantang adalah tempoh yang perlu dititikberatkan ibu. Apa sahaja sajian yang diambil si ibu boleh mempengaruhi tahap pemulihan dan sedikit sebanyak mempengaruhi jaundis bayi.
Semasa berpantang, tubuh ibu sedang dalam proses pemulihan akibat dari luka bersalin. Justeru, pemakanan seimbang amat dititikberatkan. Sajian pantang seharusnya berkhasiat membantu ibu dalam proses penyembuhan luka. Selain itu, ada juga bahan masakan yang perlu dielakkan semasa paras jaundis bayi masih tinggi.
Menurut Dr Amirah Alia Faizul, Pegawai Perubatan Bahagian O&G, ibu perlu tahu mengatur sajian pemakanan seimbang semasa dalam tempoh berpantang bagi membantu penghasilan susu ibu yang berkualiti. Apatah lagi semasa paras jaundis bayi masih tinggi.
“Ibu yang menyusukan bayi yang jaundis dinasihatkan terus kan penyusuan dengan kerap. Pastikan bayi menyusu setiap sejam. Ibu tidak digalakkan makan makanan yang bercampur halia, kunyit dan lada hitam semasa bayi jaundis.
“Perlu makan makanan seimbang & minum air yang banyak untuk menghasilkan susu yang berkualiti. Sekiranya bayi jaundis adalah dinasihatkan segera ke klinik untuk rawatan susulan,” kata Dr Amirah.
Selepas bersalin, luka episiotomi juga memerlukan penjagaan rapi agar cepat sembuh.
Ibu disarankan untuk menjaga kebersihan bahagian alat sulit serta mencuci setiap kali ke tandas. Selain itu ibu perlu memastikan bahagian luka dikeringkan setiap kali buang air kecil atau besar.
“Makan makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging, soya, tempe untuk cepatkan proses penyembuhan. Jangan takut untuk bergerak perlahan-lahan untuk memperbaiki aliran darah pada bahagian luka supaya oksigen dan nutrisi cukup untuk penyembuhan. Benang akan larut dlm masa 4 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada jenis benang yang digunakan untuk menjahit luka episiotomi.
“Bagi luka caesar ibu perlu mengelakkan makan ikan haruan sebab bimbang organ-organ dalaman akan melekat menyebabkan kesukaran bagi pembedahan caesarean anak pada kelahiran seterusnya.
Bagi penjagaan luka ibu yang bersalin secara pembedahan, Dr Amirah menyarankan agar ibu memperbanyakkan rehat, mengelak dari mengangkat objek berat, mengamalkan pemakanan seimbang untuk menghindari sembelit yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.
Ibu disarankan untuk sentiasa memeriksa luka dan jahitan. Pastikan tiada tanda-tanda jangkitan seperti kemerahan di sekeliling kulit jahitan, bengkak dan berair. Ibu seharusnya tidak mengabaikan preskripsi ubat tahan sakit yang dibekalkan. Bagi ibu bersalin melalui pembedahan caesarean, menyusukan bayi secara sisi atau football hold (lengan tampung badan bayi) boleh mengelakkan bayi daripada terkena pada luka jahitan.
“Bersalin caesarean, ibu perlu memastikan ibu tidak berurut pada kawasan pembedahan. Urutan diluar kawasan abdomen adalah dibolehkan. Ibu juga tidak boleh melakukan urutan sengkak dan bertungku.
“Periksa tekanan darah sebelum melakukan tangas kerana tangas boleh menyebabkan tekanan darah turun mendadak. Pastikan tekanan darah tidak terlalu rendah.
“Sebaik-baiknya rawatan pantang disarankan untuk dimulakan selepas hari ketiga bersalin bagi ibu yang bersalin normal. Ia adalah untuk memastikan badan ibu sudah pulih dari stress semasa melahirkan,” kata Dr Amirah kepada Pa&Ma.
LATIHAN KEGEL & ELAK AKTIVITI BERAT
Dr Amirah juga menasihatkan ibu-ibu yang selepas bersalin tidak terlalu menekan diri dengan melakukan tugas-tugas yang berat. “Dalam fasa berpantang selepas bersalin, ibu yang mengalami perubahan major sewaktu mengandung mengambil masa 6 minggu untuk pulih seperti sedia kala. Dalam tempoh ini ibu memerlukan penjagaan rapi.
“Ibu-ibu dinasihatkan untuk mendapat rehat secukupnya dan mengehadkan aktiviti-aktiviti berat. Masa berpantang ialah masa bondingdengan bayi serta memberi sepenuhnya perhatian keatas kesihatan diri Dan kesihatan bayi. Jangan lupa mengamalkan latihan Kegel untuk menguatkan lantai pelvis yang telah kendur semasa proses kelahiran bayi. Latihan ini dapat mengurangkan risiko rahim jatuh. Dengan usaha yang dilakukan dan ibu kembali sihat seperti sediakala selepas melahirkan dan berpantang,” kata Dr Amirah.
Ketika ditemui dalam acara All About Confinement anjuran Pa&Ma Moms-To-Be & Casabonda, Dr Amirah turut memberikan panduan bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan perkhidmatan perawatan pantang. Katanya sebelum memilih, terlebih dahulu selidiki latar belakang perubatan perawat bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.
Sebaik-baiknya yang telah mendapatkan kursus yang dianjurkan pihak berwajib dan tidak menggunakan ubat-ubatan serta herba terlarang. Pengetahuan tentang resusitasi awal jika berlaku kejadian seperti pendarahan secara mengejut atau ibu tiba-tiba tidak sedarkan diri amat penting bagi menjamin kelancaran proses berpantang.