Seawal usia dua tahun anak diajar minta maaf sebenarnya membantu anak anda belajar untuk berjiwa besar dan bertanggung jawab terhadap kesalahan yang telah dilakukannya.
Dengan meminta maaf dapat membantu anak untuk mengenali dirinya, menjalin hubungan baik antara anak dan temannya dan memberikan pengajaran untuk rasa empati dan bertanggung jawab pada setiap kesalahan dan tindakan.
Bagi anak-anak kecil mungkin mereka rasa meminta maaf tidak perlu, sedangkan ia satu fasa bagi memastikan anak tidak ego apabila mereka mula pandai bersosial setelah memasuki alam persekolahan.
1) Ibu bapa jadi contoh
Bila anda telah bertindak salah, anda harus berani mengakuinya apalagi berada dalam kalangan anak-anak yang sedang membesar. Hal ini untuk memastikan mereka memahami dan jika salah kena cepat-cepat minta maaf. Mengungkapkan perkataan maaf pada anak bukanlah menunjukkan tanda kelemahan ibu bapa. Sebenarnya ia contoh terbaik dan ungkapan meminta maaf ini akan menjadi spontan apabila anak sendiri yang melakukan kesalahan.
2) Pendedahan sejak kecil
Mendidik anak untuk belajar minta maaf sebaiknya dilakukan sejak kecil lagi. Mula kenalkan anak ketika diusia setahun kerana pada waktu ini mereka dalam proses pembelajaran sehinggalah anak dah mula pandai berinteraksi dengan orang sekeliling. Walaupun di awalnya mereka tidak faham lama-kelamaan mereka akan tahu setiap kali buat salah kena minta maaf.
Contohnya, ketika anak anda melakukan kesalahan seperti mengambil mainan teman sebayanya dan menyebabkan rakannya menangis, anda perlu menjelaskan terlebih dahulu kenapa perlu minta maaf. Anda boleh ajar anak untuk bersalam.
3) Bersikap terbuka
Meminta maaf dan memaafkan terjadi setelah seseorang terluka atau tersinggung. Anda harus memberitahu anak-anak supaya lebih bersikap terbuka dan jangan berdendam. Meskipun tidak perlu meminta maaf secara rasmi tapi cukuplah jika anak mengungkapkan kata-kata “Saya dah memaafkan awak’ atau “Jangan risau semua dah ok”.
4) Meminta maaf bukan setakat pada kesalahan
Ketika anak bersendawa, mahu minum atau apa sahaja yang dianggap memberi ketidakselesaan pada orang lain ajar untuk meminta maaf. Beritahu pada anak-anak bahawa hal tersebut akan mengurangkan ketidakselesaan kepada orang ramai. Meminta maaf bukan sekadar melakukan kesalahan semata-mata tetapi juga pada perkara seumpama ini. Dengan demikian anak anda akan faham waktu yang tepat untuk meminta maaf.
5) Jangan memaksa anak
Kebanyakan anak belajar untuk mengungkapkan kata maaf kerana paksaan dari kedua ibu bapa. Sebenarnya ibu bapa harus tahu apabila terlalu memaksa mereka jadi tak ikhlas. Apa yang harus dilakukan adalah dengan menjelaskan permasalahan dan biar ia berlaku dari hati anak itu sendiri. Sebagai ibu bapa kita nak mendidik perasaan simpati pada anak dan apabila dah besar mereka jadi tidak sombong.
6) Didik anak meminta dan menerima maaf satu kebanggaan
Meminta dan menerima maaf biarlah menjadi satu kebanggaan buat anak anda. Mereka akan tahu apabila berada dalam lingkungan rakan-rakan kena ada sikap tolak-ansur. Memiliki ramai rakan bermakna anak tahu dia diterima baik dalam kalangan rakan-rakan kerana sikapnya. Di sini dapat mengajar mereka lebih merendah diri dan sama-sama memahami.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI