Rupa-rupanya sebelum usia 4 tahun, kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan gigi sebanyak 3 kali. Penting untuk elak masalah gigi rosak.
Menjadi kewajipan ibu ayah untuk menunaikan hak anak-anak yang masih kecil. Mereka masih belum tahu melakukannya sendiri terutama sekali pemeriksaan gigi.
Banyak masalah berkaitan gigi anak, belum pun usia dua tahun gigi dah mula rongak gara-gara kurangnya kepekaan ibu bapa kepada pemeriksaan gigi anak. Sepatutnya sebelum usia 4 tahun, gigi anak sudah diperiksa 3 kali!
Ibu ayah jangan ambil mudah bab gigi anak. Bawa mereka buat pemeriksaan bila tiba masanya untuk elak masalah gigi rosak. Kecuaian ibu ayah boleh menyebabkan mereka tidak mampu untuk makan/ mengunyah berkhasiat dengan baik dan keluar masuk hospital sebab sakit gigi.
PEMERIKSAAN GIGI MENGIKUT TAHAP USIA
Banyak perkara berkenaan gigi anak yang akan diperiksa mengikut tahap usia. Ia telah tertulis di dalam buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak (0-6 tahun) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti;
Pada usia 0-9 bulan, bayi akan diperiksa sama ada menghisap susu botol, menghisap puting tiruan atau bayi tidur dengan menghisap botol susu atau susu ibu.
Pada usia 10 hingga 23 bulan pula, antara soalan yang ditanya semasa pemeriksaan ialah adakah anak dibiar tertidur dengan botol sus di mulut atau ketika menyusu badan, ibu bapa pernah mendengar tentang karies gigi dan sebagainya.
Manakala pada usia 2-4 tahun pula, antara perkara yang diselidiki ialah ibu bapa/ penjaga menyelia anak semasa memberus gigi, anak memberus gigi sebelum tidur, menggunakan ubat gigi berflourida semasa memberus gigi dan lain-lain.
Keperihatinan ibu bapa boleh membantu si manja mengelakkan masalah berkaitan gigi sepanjang proses pembesarannya. Amalan baik seperti memberus gigi sebelum tidur juga boleh diterapkan sejak awal lagi sebenarnya.
Hak untuk mendapatkan pemeriksaan gigi mengikut waktu yang sewajarnya.
Ramai ibu bapa yang tidak peka mengenai pemeriksaan pergigian bagi anak-anak di bawah umur 4 tahun.
Ads
Belek-belek sedikit buku kesihatan anak anda itu..
Cuba lihat muka surat 68,96 & 115. Jarang sekali dilihat lengkap semuanya. Tahniah buat yang peka.
SEBELUM 4 TAHUN DIPERIKSA SEKURANG-KURANGNYA 3 KALI
Untuk makluman ibu bapa sekalian, anak berumur bawah 4 tahun giginya perlu diperiksa sekurangnya 3 kali :
0 – 9 bulan
10 – 23 bulan
2 – 4 tahun
GIGI SUSU SAMA PENTINGNYA DENGAN GIGI KEKAL
Kesihatan pergigian perlu seiring dengan kesihatan tubuh badan yang lain.Jangan di anggap remeh walaupun hanya gigi susu yang ada. Gigi susu sama pentingnya seperti gigi kekal.
Ads
KESILAPAN IBU AYAH BOLEH BUAT ANAK MERANA
Mahukah anda lihat anak kecil itu tak lena tidurnya kerana kesakitan gigi?
Sanggup anda lihat anak kecil itu kekurangan zat kerana tak mampu mengunyah makanan dgn baik?
Ada juga anak kecil terpaksa keluar masuk hospital kerana jangkitan kuman akibat kerosakan gigi susu.
BAWA ANAK KE KLINIK PERGIGIAN SEAWAL BOLEH
Bawa anak anda ke klinik pergigian seawal yang boleh. Pasti ada nasihat dan celoteh dari doktor atau nurse yang merawat nanti.
Biarpun sudah disalin lampinnya dan diberi makan, bayi masih menangis seolah-olah dia merasa kurang selesa. Sebenarnya ketika anak membuang air besar, anda boleh melihat warna najis mereka. Keadaan najis (bau, warna dan teksturnya), boleh memberi anda petunjuk masalah yang mungkin anak anda sedang alami.
Keadaan najis boleh menjadi indikator terbaik untuk menentukan tahap kesihatan si manja. Mungkin selama ini anda beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, ikuti artikel ini.
Ciri Umum Najis Bayi
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair kerana mereka hanya minum susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Warna Najis Jadi Petunjuk
Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu. Anda boleh cuba mengetahui keadaan anak dengan meneliti warna najis bayi. Bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi?
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika anak anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Setiap wanita yang sudah menghampiri tarikh bersalin pasti mula berasa risau memikirkan bagaimana agaknya proses kelahiran nanti. Pelbagai petua akan diamalkan bagi melancarkan proses getir itu. Sebenarnya, paling bagus jika si ibu bertenang dan banyak memikirkan perkara baik-baik saat ini kerana ia turut mempengaruhi bayi dalam kandungan.
Melalui posting di laman Instagram, Ustaz Azhar Idrus ada berkongsi doa yang boleh dibaca bagi memudahkan urusan bersalin.
Semoga dengan perkongsian dari Ustaz Azhar ini dapat membantu bakal ibu untuk berhadapan dengan saat-saat melahirkan dengan lebih tenang dan bersedia. Jika kita banyakkan berdoa dan berserah, mudah-mudahan tiada masalah ketika kita berjuang melahirkan si kecil.
Sebelum usia anak mencecah enam bulan, tak perlu bagi makanan lain selain susu ibu atau susu formula (jika si ibu tidak dapat menyusukan bayinya. Sedangkan air masak pun tak boleh diberikan kepada bayi di bawah usia ini, apatah lagi makanan.
Pemberian makanan pelengkap (dikenali sebagai cerai susu) tidak seharusnya dimulakan sebelum bayi berusia enam bulan. Cerai susu bermaksud membiasakan untuk menerima makanan lain selain susu ibu atau formula bagi menampung keperluan nutrien yang semakin meningkat terutamanya zat besi.
Bagaimanakah untuk memulakan makanan pelengkap kepada bayi anda? Pakar menyarankan pada usia enam bulan, bayi perlu diberi makanan yang memiliki tekstur puri dengan kelikatan yang lebih pekat berbanding susu. Mulakan dengan memberi satu suapan sehari dan beransur-ansur meningkatkan kuantiti.
Adalah penting untuk ibu bapa memberi makanan berdasarkan kemampuan penerimaan bayi anda. Jangan terlalu memaksa bayi anda dan jika bayi anda menolak makanan yang diberikan, cuba lagi pada waktu seterusnya. Ketika ini, susu masih lagi berfungsi sebagai khasiat utama untuk bayi.
Memberi bijirin yang diperkaya dengan zat besi adalah dicadangkan pada awal peringkat cerai susu. Ia boleh dicampurkan dengan susu ibu atau formula mengikut konsistensi yang sesuai. Tiada peraturan khas untuk memperkenalkan makanan daripada kumpulan makanan yang mana terlebih dahulu.
Perhatian perlu diberikan terhadap keperluan nutrisi bayi dan tekstur makanan tersebut. Perkenalkan satu jenis makanan pada satu-satu masa. Beri makanan yang sama dalam tempoh tiga hingga empat hari untuk melihat sebarang kesan alergi terhadap makanan tersebut.
Sembelit adalah keadaan yang kerap berlaku apabila bayi mula diperkenalkan dengan makanan pelengkap. Anda akan mengetahui bayi mengalami sembelit jika bayi kelihatan sukar membuang air besar dan terdapat kesan darah yang minima akibat lelasan ketika bayi meneran.
Sembelit dapat dibantu jika pada peringkat awal lagi bayi diperkenalkan dengan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan. Serat yang terdapat pada dua kumpulan makanan ini adalah kategori tidak larut (insoluble fiber), justeru ia membantu penghasilan dan memberi bentuk kepada najis.
Sembelit juga berlaku akibat pengurangan susu apabila bayi mula makan makanan pelengkap. Pastikan bayi diberi minum secukupnya dan mendapat kebaikan serat daripada sayur-sayuran dan buah-buahan.
Pada tempoh awal memperkenalkan bayi dengan pelbagai jenis puri, jangan harapkan anak untuk makan banyak. Pada waktu ini, lidahnya sedang merangsang rasa-rasa baharu jadi tidak perlu tertekan untuk anak makan seperti kita. Perlahan-lahan perkenalkan si manja dengan varian rasa untuk melihat kegemaran dan keserasiannya.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!